Showing posts with label Cuti-Cuti. Show all posts
Showing posts with label Cuti-Cuti. Show all posts

Monday, April 27, 2020

Catatan perjalanan tertunda: Shenzen (China)

Monday
27-04-2020

Saya menyambung menulis catatan perjalanan/percutian saya pada tahun-tahun lepas yang belum ditulis.

Selepas kisah percutian ke Padang ~ Bukit Tinggi, Indonesia, saya bercuti ke HongKong & Shenzen, China pada Disember 2016.

Airport Hongkong berada di bawah satu bumbung (jika boleh dikata bumbung) dengan sempadan Shenzen, bangunannya bersambung terus dengan bangunan imigresen China. Lepas cop passport di Hong Kong, terus chop passport masuk China pula.

Hari pertama dan kedua, kami berada di Shenzen.



Bandar Shenzen, seperti melihat KL juga. Agak sibuk. Turun berjalan ke street, tidak ubah seperti berada di Petaling Street. Barangan sangat murah, memang gila nak shopping.


Kami singgah ke Window of the World. Di sini, terbina replika tempat-tempat ajaib di dunia. Terdapat banyak binaan dibina di taman ini, dalam bentuk yang lebih kecil untuk kita lihat.

Kawasan ini sangat luas, untuk menjelajah ke seluruh kawasan, kami menaiki keretapi comel seperti kita melawat zoo di negara kita.





Replika Effiel Tower. Jika tiada tulisan merah itu, pasti ramai yang ingat saya berada di Paris.

Replika India Gate


Shopping di sini, boleh tahan. Kena pandai pilih. Kebetulan masa kami di sana, musim Krismas. Jadi banyak jualan murah.

Selepas 2 hari berada di Shenzen, kami bergerak semula kembali ke Hong Kong.




 ~...jika apa yang disebut merajuk itu boleh dibeli saja bertimbang-kati di kedai pandu-laju, sudah lama SERI BULAN mahu membeli secara ansuran sebulan lima kilo demi menebus rasa bengang dan bersalah pernah bersangka HISYAM pengecut berlari pecut...~ ...~



Sunday, April 19, 2020

Catatan Perjalanan tertunda sekian lama: Padang – Bukit Tinggi

Sunday
19-04-2020

Saya bercadang hendak menulis kembali siri percutian saya, yang tidak sempat saya tulis sebelum ini. Ianya mungkin akan mengambil masa, dan harus secara berperingkat. Kali akhir saya menulis catatan perjalanan, adalah percutian ke Sri Aman, Sarawak (Oktober 2015) dan percutian ke Bali (2015 juga).

Selepas itu, saya semakin kurang menulis, malah catatan pengalaman bercuti ke negara orang tersimpan dan terlupakan terus. Sedangkan, ianya mungkin boleh memberi suatu faedah dan panduan bagi orang lain. Yang mungkin akan bercuti ke tempat yang sama.

Saya mulakan dengan kisah percutian ke Padang–Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia pada Februari 2016. Lama sangat dah tu kan? Dah lebih 4 tahun.



Percutian 4 hari 3 malam.

Kerana sudah lama sangat, saya hampir lupa butiran perjalanan. Apapun, tetap menyeronokkan.

Padang sendiri sangat indah. Perkampungan yang ada sawah teres, sawah padi seperti kita, bukit dan gunung, tasik-tasik yang luas dan mempersonakan. Padang adalah daeerah Minang. Sangat kuat dan kukuh Minangnya. Itu yang menarik tentang Padang.




Kami pergi ke kawasan Batu Hampar, Kampung Pandai Sikek, dan beberapa nampak tempat yang saya sudah lupa. Ada sedikit cerita di FB ketika itu, tetapi terlalu jauh (4 tahun lepas), lambat saya dapat cari gambar dan stori nya.

Jika hayati lagu Ayam Den Lapeh, hampir semua tempat yang disebut dalam lirik lagu itu, kami pergi.

Kami juga singgah di rumah HAMKA, ulama terkenal Indonesia itu. Mendengar sejarah kehidupannya dan melihat segala hasil penulisan beliau. Siapa pernah baca/tonton Tenggelamnya Kapal van Der Wijck? Kisah Zainuddin dan Hayati? Yaaa... kami merentasi kampung Batipuh dan Padang Panjang. Semua ini disebut dalam novel itu.




Singgah juga di sebuah rumah Panti Asuhan. Daerah mana, lupa dah. Sambutannya, hebat sekali. Kami menaja makan tengahari di situ, dan bersama-sama anak-anak panti asuhan itu sehingga ke petang.



Lawatan ke kawasan bekas penjajahan Jepun. Terowong atau dikenali sebagai Lubang Jepang. Saya ada masalah jika berada dalam kawasan gelap sempit. Saya ngeri takut dan saya rasa saya akan sesak nafas. So saya tak masuk.


Tidak sah ke Padang, jika tidak ke kawasan muzium Rumah Minang yang terkenal ini.


Sewa baju Minang dan pakej mengambil gambar (siap-segera), berharga kira-kira RM30.00 agaknya. Saya dah lupa.


Last shopping di kawasan bandar, berhampiran dataran Jam Gadang.

Apa yang paling best shopping di sini, baju/telekung bersulam. Padang terkenal dengan sulaman kerawang tak kerawang yang indah. Kain ela paling best. Saya borong banyak juga kerana sangat berbaloi. Sehingga hari ini kainnya masih elok. Tak rugi jika shopping kain sulam di sini.


Well, tidak panjang catatan perjalanan yang ini.

Nanti kita jumpa di catatan perjalanan yang lain pula. Terimakasih sudi membaca.




 ~...walau berkali sudah Mak Utih menarik tangan HISYAM untuk turut serta ke pasar malam minggu dengan niat hendak bersama mencuba Sate Minang, kerana SERI BULAN tidak membuka mulut mempelawa dia jadi malu kerana ada orang sudah tidak sudi makan belanja, kerana tersanggit hati di waktu siangnya pernah menyindir kuat makan...~



Friday, December 18, 2015

Girls Day Out — siri-siri yang harus disimpan kenangan...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
18-12-2015


Selain dari koleksi gambar dan cerita percutian, saya juga suka simpan gambar-gambar kenangan bersama anak-anak dara saya dalam siri yang saya sebut Girls Day Out.

Sejak anak-anak saya dah besar-besar — dalam ertikata depa dah macam kawan geng sekepala saya — kami selalu keluar bersama-sama. Sejak zaman skulah pun depa tak berapa rajin nak kuar dengan kawan-kawan malah kalu nak tengok wayang pun sayalah biasanya jadi tukang bawak dan bodyguard walaupun depa dah kerja.



Ini lawatan pertama kami ke IKEA Cheras yang baru dibuka. Pada hari pertama pembukaannya dikhabarkan orang bersesak jadi kami menunggu beberapa hari kemudian. Ikea Cheras di Jalan Cochrane hanya 5 minit dari rumah saya. Malah dari bulatan Kg Pandan tu saja dah boleh nampak bumbung dan sigboard besar Ikea.

Tak beli pun sekadar survey saja. Orang ramai tapi tidak bersesak. Hanya mesin automatik bayar parking yang berjela orang beratur. Mujur kami bayar di kaunter bayar barang. 3 jam pertama adalah free.

Agenda paling popular selain wayang dan jimba-jimba kat mall ialah jalan-jalan cari makan.

Last week kebetulan my anak sulung, Dak Amoi balik cuti Keputeraan Sultan Selangor, so kami Girls Day Out lagi. Kali ini Shah Alam Seksyen 7.


Dah lama tak makan di Pak Li’s Kopitiam. Sejak Dak Amoi dah habis skulah kat area situ, kami jarang pegi area Shah Alam.


Saya memilih Kuey Teow Goreng. Sebenarnya tak tau nak pilih apa, sebab di Pak Li’s ni semua sedap-sedap!


Antara menu popular ialah Nasi Ayam. Dak Amoi memilih Nasi Ayam Lemon.


Chak dan Alia masing-masing memilih Chicken Chop. Pun menu popular di Pak Li’s.


Selpiaq baq hang...!



Dessert diorder awal tetapi diminta hantar selepas makan. Ramai tahu, dessert paling top di sini ialah cendolnya.

Selain itu, Snowy Mango. Macam ABC.





Kemudian berpusing-pusing sekitar Seksyen 2 melihat-lihat kawasan skulah Dak Amoi belajar dulu.

Walau dulu agak kerap ke sini belum pernah sekalipun saya masuk Jakel Mall di situ. Takut pun ada sebab mahal.

Kali ini kami singgah. Kerana cuti umum agaknya, Jakel Mall agak lapang. Bestnya meronda dan memilih selain dari staf Jakel yang sangat sabar membantu. Depa macam consultant pulak. Bestnyaa...




Warna blue black agak susah nak cari tapi akhirnya dapat juga.

Phiewww kesat peluh...!




 ~...setiap hari minggu memang ada pekan sehari di hadapan balai raya dn warga Kampung Separuh Desa berduyun keluar berniaga dan tidak kurang sengaja membuang waktu dengan alasan melihat kain tetapi sebenarnya berharap HISYAM akan datang bergandingan dengan SERI BULAN mencari sate burung kuang...~




Friday, December 4, 2015

Putu Perak vs Putu Kelantan: terimakasih pembaca

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
04-12-2015


Sekali sekala bila ada sedikit masa luang yang ada, klik sana sini meninjau beberapa komen yang belum sempat dibaca (malahan lebih banyak yang tidak sempat dibalas), saya sering tertarik dengan sekian banyak perkongsian info dan pengalaman rakan-rakan pembaca.

Entri tentang Putu Perak ni dah lama sangat. Dah 2,3 tahun dulu dah tetapi saya masih menerima komen pada Oktober 24 yang lalu.

Terimakasih kepada sekian ramai pembaca yang sudi berkongsi info bukan sahaja dengan saya tetapi juga pembaca yang lain.


Untuk pengetahuan ini memang gambar ulang siar dari entri tersebut, tetapi pic snap sendiri tidak cilok orang punya.



Kisah tentang Putu Perak ini tersiar di SINI.

Saya juga pernah makan Putu yang ada halba di Kota Bharu Kelantan (tidak tahu di tempat lain ada atau tidak, tak pernah jumpa).




Kisah Putu Kelantan ini juga sudah lama, selama itu juga saya tidak lagi menjejak kaki di bumi Kelantan. Aduhai...rindu Kelantan!

Entri: Jumpa Putu bukan di Pudu.

Entri ini sebagai penghargaan kepada sekian ramai para pembaca yang sudi berkongsi info dan masa untuk memberi komen.

Sekali sekala kita kenang kembali entri lama...





 ~...petang itu Mak Utih begitu gigih membuat Bingka Ubi untuk penganan petang bagi menjamu HISYAM si buah hati teruna pujaan sekampung yang sudah menjadi anak angkat paling tersayang, lalu apabila SERI BULAN disuruh mencari daun pandan, ingin sekali dia menukar daun pandan kepada daun mengkuang...~




Thursday, October 29, 2015

Sri Aman 4D3N: Hari Langsung mujur tiada jerubu langsung

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
28-10-2015


Akhirnya tiba, Ahad 20 September hari langsungnya. Dan tidak diduga, cuaca begitu cerah sekali malahan tiada langsung kesan jerubu. Langit cerah, matahari memancar cantik.

Di sini (dan saya yakin di seluruh negeri Sarawak), majlis kenduri kahwin depa bermula sebelah pagi. Sebab itu persiapan makan minum harus disiapkan seawal jam 4 pagi.


Ini kawasan tukang masak berhampiran bangsal menyediakan lauk pauk. Pemandangan sama seperti juga yang kita lihat di majlis-majlis kenduri kahwin di kampung-kampung kita. Sama.


Seawal jam 8.30 pagi, kumpulan berdikir ini sudah bersedia dengan pakaian sedondon depa dan juga gendang dan beberapa alat muzik lain. Ini dipanggil Zikir Burdah. Mereka akan berdendang lagu seperti marhaban juga.


Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang kenangan bersama depa ni. Kaum suri rumah ini sangat mesra dan peramah dengan saya. Wahhh seronoknya saya dapat kenal dengan depa ni. And saya kagum dengan aktiviti depa nih...!


Para tetamu iaitu orang-orang sekampung yang dijemput akan hadir seawal jam 8:30 pagi juga dan sama-sama duduk menikmati alunan lagu Zikir Burdah.

Ada seorang emcee wanita (jika tak silap Dayang Nafsiah namanya) yang bercakap dari atas serambi rumah (saya lupa nak snap dia). Celotehnya menghiburkan.


Selpiaq...!


Para tetamu kemudian dijemput ke khemah makan secara serentak. Itulah yang saya rasa berbeza dengan cara kenduri kita. Di tempat kita, tetamu makan dalam tempoh masa yang ditentukan (beberapa jam mengikut jadual dalam kad jemputan). Di sini, tetamu makan secara serentak dan amat jarang tetamu yang datang lambat. Budaya yang sudah sebati.


Makan secara bufet.



Ini ialah umbut kelapa yang saya tayang dalam entri sebelum ini. Walaupun nampak macam Masak Lemak Cili Padi, tetapi ianya tidak pedas hanya lemak. Saya rasa kuning itu hanyalah sekadar warna kunyit.


Dan di sini, hampir semua tetamu makan menggunakan sudu dan garfu. Tempat basuh tangan tidak disediakan, tetapi kumpulan penanggah (tidak pun berbaju t-shirt sedondon seperti di tempat kita), akan berulang alik mengutip pinggan dan sudu untuk membasuh bagi diulang-guna.

Apapun, saya lebih selesa makan dengan tangan.



Pengantin tiba seawal jam 11:00 pagi. Lihat serambi di atas situ, di mana set karaoke dikawal dan majlis diselia oleh seorang emcee.


Ini adalah bacaan gurindam dan pantun nasihat oleh orang lama. Ada nama khasnya, tetapi saya dah lupa. Ianya lebih kepada gurindam nasihat kepada pasangan mempelai. Seronok juga. *Pakcik berbaju kuning coklat itu adalah pasangan saya bertandak malam tadi.


Berbaju merah ialah rombongan pengantin perempuan dari Kelantan.


Dan di tengah kemeriahan pengantin bersanding, direnjis mawar dan tepung tawar, tiba-tiba depa umumkan pemenang Pertandingan Bertandak malam sebelumnya.

Wakakakkaa! Saya adalah pemenang utama. Menerima hadiah wang tunai (RM100 berbahagi dua dengan pasangan) dari penaja yang anggun berbaju merah menyala. Orang kaya dari Miri tuh...!

Pemenang kedua dapat RM50. Saya rasa depa sengaja nak bagi saguhati kepada tetamu-tetamu luar yang datang dan bersikap sporting. Apapun ianya menjadi kenangan manis buat saya.


Selepas makan (di mana jamuan saya nampak selesai sekitar jam 11:00 sebelum pengantin tiba) tetamu dijemput untuk berhibur dengan berkaraoke dan berjoget lambak lagi di laman pelamin.

Majlis berakhir secara beransur sekitar jam 1:00 petang di mana saya lihat depa sudah mula mengemas dan menjelang Zohor tiada lagi sebarang aktiviti kenduri di khemah makan.


Saya pulang pada hari yang sama dengan penerbangan pukul 4:00 pm. Alhamdulillah saya selamat tiba pada petang itu dengan selamatnya walaupun pulang bersendirian dan cuaca di KL terutama sekitar KLIA, dikhabarkan agak kurang baik dan beberapa penerbangan tertangguh.

Dan tanpa diduga lagi, esoknya (Isnin), jerubu kembali melanda Sri Aman dan ia menjadi kawasan paling tinggi IPUnya.

Tayang-tayang:


Buah tangan dari tuan rumah pengantin kepada saya. Ada kek lapis, kuih karas dan bunga telor. Ada juga kraftangan (letter holder) yang menarik. Saya suka!



Ini kek lapis Sarawak yang beli sendiri di Pasar Tamu semasa saya singgah pada hari semalamnya. Saya tempah dari peniaga di situ. Dia buat pada hari saya menempah dan dihantar ke rumah saya menginap pada malam itu juga. Fresh!

Kenangan ke Kampung Hulu sangat indah dan menyeronokkkan. Tidak pernah saya menduga pengalaman ke sana menjadi suatu pengalaman mahal dan bermakna.

Di kesempatan ini, saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada seluruh warga Kampung Hulu, Sri Aman terutama sekali keluarga Kak Roskalas, keluarga Abang Wahab (keluarga pengantin), dan juga keluarga Syukri dan Kamisah tempat di mana rumah mereka menjadi tempat penginapan saya sepanjang di sana. Sungguh selesa kerana saya diberi bilik lengkap dengan bilik air untuk saya seorang.

Semoga suatu hari nanti saya berkesempatan untuk ke sana lagi.

Sarawak memang best!




 ~...HISYAM akhirnya menyatakan hasrat hatinya untuk pulang sebentar ke kota metropolitan menjengah segala peninggalannya yang dulu sangat ingin ditinggalkan tetapi apabila SERI BULAN sering mengingatkan bahawa yang ditinggal pergi bukan bererti tidak bermakna tetapi menjadi kenangan abadi yang harus dihargai, lalu HISYAM berkira-kira hendak membeli aset tambahan buat bekal di hari muka...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails