Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts
Showing posts with label jalan-jalan. Show all posts

Thursday, April 30, 2020

Catatan perjalanan tertunda: Disneyland Hong Kong

Khamis
30-04-2020

Keluar dari Shenzen, pada hari berikutnya, kami berada di Hong Kong.

Lokasi utama yang hendak dilawati sudah pasti, Disneyland Hong Kong. Kami masuk seawal pintu pagar dibuka. Kira-kira jam 9.00 pagi. Saya tak ingat berapa harga tiket. Rasanya melebihi RM260++ duit kita. Ya, dolar Hong Kong memang tinggi.

Di pintu masuk, setiap beg akan diperiksa. No food kecuali makanan untuk bayi bagi mereka yang membawa bayi. Makanan hanya boleh dibeli di dalam taman Disney sahaja. Ada banyak restoren halal juga (Pakistan, Indonesia, India).




Taman Disney ini sangat luas. Kami berada seharian di sini. Untuk menjelajah semua taman di dalamnya, sangat mencabar. Berjalan kaki dari satu tapak ke satu tapak. Ada banyak pilihan. Boleh naik bot mengelilingi tasik dengan pemandangan binatang (replika) juga air terjun serta gunung berapi buatan di sekeliling tasik. Juga boleh naik keretapi pendek untuk menjelajah beberapa kawasan.

Tidak sah taman hiburan sebegini tanpa roller coster, kan? Ya... saya naik yang sederhana sahaja. Nak naik yang laju tinggi melayang, belum ada keberanian.


Saya tak ingat berapa jumah sebenar harga lunch saya ini. Rasanya, kira-kira RM180++ untuk Nasi Goreng, seketul ayam peha, sate ayam 2 cucuk, salad timun, tomato, telur rebus dan sebotol air mineral.

Istana Snow White, tersergam paling besar ini menjadi mercu tanda Disneyland HongKong. Ini pemandangan waktu siang.

Nampak macam terang-benderang, tapi sebenarnya sangat sejuk. Cuaca HongKong waktu ini berangin dan dingin.


Kami masuk dalam beberapa auditorium menonton persembahan live – berdasarkan animasi Disney yang biasa kita tengok di tv. Kami sempat tonton teater muzikal Lion King.





Acara kemuncak di Disneyland ialah, pertunjukan terakhir sebelum theme park di tutup kira-kira jam 9 malam. Parade.


Ada banyak sebenarnya. Cantik dan menakjubkan. Hampir semua watak kartun Disney dipertunjukkan di dalam perarakan ini. Sebab itu, theme park ini menjadi pilihan orang bercuti membawa anak-anak terutama di musim cuti sekolah. Cuma... bagi saya, ianya mahal.


Penutup ialah pertunjukkan bunga api yang besar di sekeliling istana.


Pada siang esoknya, kami akan pergi ke Madame Tussauds Hong Kong. Nanti kita lihat di next entri.



 ~...kerana terlalu lama juga HISYAM pernah menjadi pemastautin negara bermusim 4, sehingga dia lupa tentang pelikat dan batik sarung, lalu bila melihat SERI BULAN terkial dengan batik lepas, tersenyum dia lalu membayangkan gadis itu berkemban di sungai belakang Teratak Nyatuh. Sah gatai...!~



Monday, April 27, 2020

Catatan perjalanan tertunda: Shenzen (China)

Monday
27-04-2020

Saya menyambung menulis catatan perjalanan/percutian saya pada tahun-tahun lepas yang belum ditulis.

Selepas kisah percutian ke Padang ~ Bukit Tinggi, Indonesia, saya bercuti ke HongKong & Shenzen, China pada Disember 2016.

Airport Hongkong berada di bawah satu bumbung (jika boleh dikata bumbung) dengan sempadan Shenzen, bangunannya bersambung terus dengan bangunan imigresen China. Lepas cop passport di Hong Kong, terus chop passport masuk China pula.

Hari pertama dan kedua, kami berada di Shenzen.



Bandar Shenzen, seperti melihat KL juga. Agak sibuk. Turun berjalan ke street, tidak ubah seperti berada di Petaling Street. Barangan sangat murah, memang gila nak shopping.


Kami singgah ke Window of the World. Di sini, terbina replika tempat-tempat ajaib di dunia. Terdapat banyak binaan dibina di taman ini, dalam bentuk yang lebih kecil untuk kita lihat.

Kawasan ini sangat luas, untuk menjelajah ke seluruh kawasan, kami menaiki keretapi comel seperti kita melawat zoo di negara kita.





Replika Effiel Tower. Jika tiada tulisan merah itu, pasti ramai yang ingat saya berada di Paris.

Replika India Gate


Shopping di sini, boleh tahan. Kena pandai pilih. Kebetulan masa kami di sana, musim Krismas. Jadi banyak jualan murah.

Selepas 2 hari berada di Shenzen, kami bergerak semula kembali ke Hong Kong.




 ~...jika apa yang disebut merajuk itu boleh dibeli saja bertimbang-kati di kedai pandu-laju, sudah lama SERI BULAN mahu membeli secara ansuran sebulan lima kilo demi menebus rasa bengang dan bersalah pernah bersangka HISYAM pengecut berlari pecut...~ ...~



Sunday, April 19, 2020

Catatan Perjalanan tertunda sekian lama: Padang – Bukit Tinggi

Sunday
19-04-2020

Saya bercadang hendak menulis kembali siri percutian saya, yang tidak sempat saya tulis sebelum ini. Ianya mungkin akan mengambil masa, dan harus secara berperingkat. Kali akhir saya menulis catatan perjalanan, adalah percutian ke Sri Aman, Sarawak (Oktober 2015) dan percutian ke Bali (2015 juga).

Selepas itu, saya semakin kurang menulis, malah catatan pengalaman bercuti ke negara orang tersimpan dan terlupakan terus. Sedangkan, ianya mungkin boleh memberi suatu faedah dan panduan bagi orang lain. Yang mungkin akan bercuti ke tempat yang sama.

Saya mulakan dengan kisah percutian ke Padang–Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia pada Februari 2016. Lama sangat dah tu kan? Dah lebih 4 tahun.



Percutian 4 hari 3 malam.

Kerana sudah lama sangat, saya hampir lupa butiran perjalanan. Apapun, tetap menyeronokkan.

Padang sendiri sangat indah. Perkampungan yang ada sawah teres, sawah padi seperti kita, bukit dan gunung, tasik-tasik yang luas dan mempersonakan. Padang adalah daeerah Minang. Sangat kuat dan kukuh Minangnya. Itu yang menarik tentang Padang.




Kami pergi ke kawasan Batu Hampar, Kampung Pandai Sikek, dan beberapa nampak tempat yang saya sudah lupa. Ada sedikit cerita di FB ketika itu, tetapi terlalu jauh (4 tahun lepas), lambat saya dapat cari gambar dan stori nya.

Jika hayati lagu Ayam Den Lapeh, hampir semua tempat yang disebut dalam lirik lagu itu, kami pergi.

Kami juga singgah di rumah HAMKA, ulama terkenal Indonesia itu. Mendengar sejarah kehidupannya dan melihat segala hasil penulisan beliau. Siapa pernah baca/tonton Tenggelamnya Kapal van Der Wijck? Kisah Zainuddin dan Hayati? Yaaa... kami merentasi kampung Batipuh dan Padang Panjang. Semua ini disebut dalam novel itu.




Singgah juga di sebuah rumah Panti Asuhan. Daerah mana, lupa dah. Sambutannya, hebat sekali. Kami menaja makan tengahari di situ, dan bersama-sama anak-anak panti asuhan itu sehingga ke petang.



Lawatan ke kawasan bekas penjajahan Jepun. Terowong atau dikenali sebagai Lubang Jepang. Saya ada masalah jika berada dalam kawasan gelap sempit. Saya ngeri takut dan saya rasa saya akan sesak nafas. So saya tak masuk.


Tidak sah ke Padang, jika tidak ke kawasan muzium Rumah Minang yang terkenal ini.


Sewa baju Minang dan pakej mengambil gambar (siap-segera), berharga kira-kira RM30.00 agaknya. Saya dah lupa.


Last shopping di kawasan bandar, berhampiran dataran Jam Gadang.

Apa yang paling best shopping di sini, baju/telekung bersulam. Padang terkenal dengan sulaman kerawang tak kerawang yang indah. Kain ela paling best. Saya borong banyak juga kerana sangat berbaloi. Sehingga hari ini kainnya masih elok. Tak rugi jika shopping kain sulam di sini.


Well, tidak panjang catatan perjalanan yang ini.

Nanti kita jumpa di catatan perjalanan yang lain pula. Terimakasih sudi membaca.




 ~...walau berkali sudah Mak Utih menarik tangan HISYAM untuk turut serta ke pasar malam minggu dengan niat hendak bersama mencuba Sate Minang, kerana SERI BULAN tidak membuka mulut mempelawa dia jadi malu kerana ada orang sudah tidak sudi makan belanja, kerana tersanggit hati di waktu siangnya pernah menyindir kuat makan...~



Friday, June 10, 2016

Mee Ketam di Parit Tiga Puluh...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Day?
00-06-2016


Mungkin sudah ramai yang pernah dengar nama tempat ini. Atau mungkin juga tidak pernah dengar lagi.

Saya sendiri baru tahun lepas mendengar nama tempat ini. Sebenarnya, tempat ini terletak tidak jauh dari kampung saya pun. Masa saya kecik dulu, nama tempat ni tak wujud pun. Belum wujud. Apabila ada beberapa pembangunan dan kawasan pinggir laut di kampung saya yang kami panggil Ban Pecah itu melalui beberapa fasa pembaikan dan perubahan, nama tempat ini wujud dan menjadi tumpuan seperti juga Ban Pecah.

Pemandangan dan suasana sekitar sama sahaja seperti Ban Pecah. Air laut masin, hutan kecil kayu bakau, tempat memancing, batu-batu besar yang disusun untuk menahan hakisan ombak bagi mengelak tanah runtuh dan air laut melimpahi kampung... semuanya serupa.

Dan tidak ketinggalan pastilah tempat makan-makan.


Kerana agak awal kami sampai (sekitar jam 3:00pm), jadi masih belum ramai orang tetapi gerai-gerai makan sudah mula beroperasi.


Ini merupakan kunjungan saya kali ke-2 apabila saya balik kampung.

Menjamu selera di Kedai Mee & Udang Ketam.



Semangkuk Mee Udang biasa = RM4.50. Mee Ketam biasa (seekor) RM15.00 semangkuk. Kalu spesel ketam 2 ekor. Kalu mintak Mee Udang Laut RM15.00 semangkuk. Semangkuk seperti dalam gambar, portionnya banyak jugak. Puas hati laa.

Menjelang petang, dan kebetulan ketika itu cuti Hari Buruh, semakin banyak kereta yang masuk dengan tujuan untuk merasai Mee Ketam. (Sebenarnya ada banyak kedai Mee Udang/Ketam di sekitar kampung saya). Kebanyakan kereta yang saya nampak, adalah dari luar kampung. Plate Wilayah paling banyak.

Bagi yang teringin nak rasa, harus menuju ke kawasan Kuala Kurau melalui jalan kampung menghala ke Tanjong Piandang. Akan nampak sign board besar di tepi jalan. Boleh waze rasanya.




 ~...sejak bermastautin di Kampung Separuh Desa, Mak Utih sangat memahami karenah dan kehendak selera si teruna kesayangan yang sangat gemarkan makanan kampung walhal dulu dia begitu ego menyebut tak akan mungkin terpikat ramuan tradisional tetapi sekarang SERI BULAN juga yang sering menjadi peneman mencari pucuk cemperai, huhh.. sungguh geram...~




Wednesday, June 8, 2016

Salam Ramadan: Panik kereta hilang di Ikea...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
08-06-2016


Alhamdulillah dah masuk Ramadan dah. Hari ini merupakan hari ke-3 kita berpuasa.

Banyak sekali cerita Ramadan yang pernah saya tulis sejak menjadi blogger. Tahun ini, agak lemah. Malah rasanya hampir tiada masa untuk menulis.

Sebagai bahan, saya copy paste status saya dari FB haritu:

BILA KERETA HILANG DI PARKING:
Korang...pernah tak korang terfikir sesuatu yang tak mungkin berlaku, tapi terjadi?

Sebelah pagi saya bersama Kakak Ipar & Adik Ipar saya berjimba di Nilai 3. Meronda tak sampai pun 2 jam. Tak sempat nak bergambar-gambar pun seperti lazimnya saya bila kuar jalan-jalan.

Sebelum tu saya dan adik ipar leka sembang sehingga terlepas simpang Serdang untuk ambil Kakak Ipar. Mujur sempat exit Bangi pusing bulatan untuk patah balik. Hahahaha ini saja dah jadi petanda sebuah kelalaian.




Tayang-tayang pic: lunch kami bertiga hari itu, di Sate Hj Samuri, PKNS Bangi.

Selepas lunch di Bangi, kami menyambung shopping di Ikea Cheras yang sepelaung dari rumah saya.
Kelekaan dua orang wanita pertengahan umur ni rancak sembang dan tengok barang memberikan suatu kejadian yang tak terduga.

Lepas sorong troli (yang cuma ada 1 barang sahaja, hahaha) kami keluar ke lot parking. Eh eh... mana kereta?

Hampir seluruh kawasan saya tawaf, tempat yang saya park kereta tu kosong. Rasa macam ghaib camtu jer. Berpeluh makcik ni nak oiii... apa aku nak jawab dengan Toklaki satgi?

Habis ikhtiar, pergi jumpa guard (yang biasanya guna basikal untuk meronda kawasan parking) untuk minta bantuan. Dia tanya, “Park sini atau atas?”

Hahaha masa tu baru terfikir ada satu lantai lagi di atas. Dalam keta, bantai gelak tak hengat.

Selalunya saya akan snap kawasan jika saya park keta dalam bangunan tapi kali ini terlupa terus.

Korang, bila Tuhan nak uji ketika kita leka dalam seronok sangat, sikit jer DIA uji kita dah panik tak ketahwuan. Cemana kalu DIA uji, yang kita betul-betul hilang barang?
Selamat berbuka puasa kawan-kawan....!



 ~...belum pernah sekalipun HISYAM terfikir hendak meninggalkan SERI BULAN, tetapi banyak sebab yang membuatkan SERI BULAN bagai sudah tidak ingin ditemani lagi dan saat itu dia merasa perasaan HISYAM itu bukan lagi penting untuk dia jaga...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails