Showing posts with label menu. Show all posts
Showing posts with label menu. Show all posts

Friday, January 17, 2014

Kantan tak turun harga?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
17-01-2014

Cuti umum Thaipusam bagi beberapa negeri. Tapi saya pun tak pasti negeri mana lagi yang terlibat. Yang pasti kami cuti.

Semua bebudak ada kat rumah dan makan beramai-ramai (wpun yang masaknya saya sorang) adalah agenda yang harus diadakan dan tiada seorang pun boleh tercicir.

Tapi selepas yang lelaki balik dari solat Jumaat, ALIA tak ada sebab kuar beli barang Biologi dengan kawan. Takpa, makan tetap makan.

Dalam orang sibuk perkataka tentang sayur kangkung yang cuma secekak lima kupang di Pasar Pudu, saya malas nak tulis apa-apa. Jemu.

Sekarang ni kepala otak dok ingat nak cuti lagi... dan lagi.

Tayang-tayang:


Bunga Kantan tengah bermusim sekarang. Tapi macam biasa, dah tak murah macam dulu. 2 kuntum sebegitu saya dapat RM2. Tu kira murah dah banding mini market jual 2 kuntum sampai RM3.50.

Lama tak buat Laksa (Laksa Kedah yang resepinya ambil dari orang Sarawak) dan kebetulan last Sabtu adalah off-day saya, sangat sesuailah memuaskan tekak sepanjang hujung minggu 2 hari itu.


Laksa Kedah saya tak lengkap bumbu hiasannya tapi rasa tak pernah derhaka. Tetap seperti yang dihajatkan.

*Link untuk resepi saya pernah tulis di entri ini...

Petang ni nak rebus ubi kayu!



 ~...peluang untuk melepaskan diri dari jelingan HISYAM sepanjang diberi ruang untuk menyendiri tidak pernah menggembirakan SERI BULAN kerana baginya bersendiri adalah lebih bermakna apabila HISYAM ada bersama walaupun nanti mereka akan berbalah bagai tiada benda yang parah dan tiada siapa yang akan mengaku kalah...~




Friday, December 27, 2013

Salam, JumAAt terakhir 2013....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
JumAAt
27-12-2013


Semalam 26 Dis, hari ingatan tentang kejadian Tsunami, 2004 dulu. Yeaa banyak channel tv menunjukkan filem, kisah benar, dokumentari, temubual, dsb tentang tsunami. Saya rasa, itu wajar menjadi pengajaran dan keinsafan. Sedikit sebanyak.

Ada tsunami lain? Bentuk gegaran yang boleh menggoncang iman dan kesabaran? Dalam erti kata lain, mungkin. Di tempat kija saya, kesabaran dan kekentalan jiwa menjadi kunci untuk menjadi pekerja yang boleh diterima ke tengah ke tepi. Walaupun tidak semua suka kita, (and vice-versa), setidak-tidak berusaha untuk tidak menjadi seseorang yang dibenci, jauh sekali menjadi orang yang digelar ‘virus’.

Dalam sekian ramai orang, tentu ada sorang dua yang degil, ketegaq tak-tau-nak-habaq, perasan kebal dengan buat ikut kepala sendiri saja. Beberapa arahan tak boleh nak ikut (well, bukan tak boleh, tapi saja takmo nak ikut). Menjadi buah mulut juga, bila ada beberapa orang yang selamba-badak (kenapa badak?) yang buat tak kisah saja dengan beberapa peraturan tempat kerja.

Contoh, makan mesti di ruang makan (luar area work-station). Maksudnya kalu makan yang berkuah, yang berat mesti makan di luar. Jangan makan di meja kerja yang mungkin boleh mengotorkan keyboard. Jika setakat sekeping dua biskut or seketul dua kuih, memang dibenarkan.

Tapi, ada orang buat taktau saja. Selamba-badak (badak lagi?) jer suap Mee Rebus, kadang meggi depan keyboard sambil layan chat di FB. Awat, FB tu tak boleh tinggal sat ka? Keghairahan tu saya rasa biarlah orang muda saja, kita yang dah level mak-mak orang ni, berpada-pada la berfesbuk pun. Malu kat anak...!

Tayang-tayang:


Nasi Goreng Western. Tapau, dinner semalam. Nasi Goreng Cina + Ayam Goreng (Chicken Chop sebenarnya), Fries. Salad. RM6.00 yang saya rasa sangat berbaloi.

Black Pepper Sauce wpun sedikit cair tapi rasanya sangat sedap. Lain kali boleh cuba lagi. Sebungkus boleh makan berdua (saya beli 2 bungkus). Sapa yang memonopoli Fries, kalu bukan si CHAK yang manja kededek tuh!







 ~...rupanya kisah SERI BULAN bukan lagi orang biasa kepada HISYAM sudah lama menjadi buah mulut di majlis-majlis seantero Kampung Separuh Desa, hanya si puan diri yang tidak pernah mendengar sebarang tempias tiba di telinganya, kecuali HISYAM yang sangat berjaga agar cerita tidak pecah dalam rumah kerana tidak mahu airmata pecah dari empangan mata teman setia, dan ketika itu Mak Utih tidak berani hendak memujuk Pak Utih pun tidak tahu pada siapa hendak cerita dirujuk...~




Thursday, December 26, 2013

Buah kundang, kenapa bukan PURPLE?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
26-12-2013


Alaaaa... malasnya nak update. Ada cerita pun, macam tak sempat jer nak taip. Kalut.

Cuti sehari semalam, rasa macam cuti Ahad. Lalu pagi tadi agak kelibut, terlewat mujur sempat. Sebab tu, saya cuma sempat capai T-shirt company. Ahhh janji pakai baju.

Kita dah matang, bukan budak muda lagi. Kalu lewat skit jer, mula la putus asa. Terus ponteng. Itu bukan saya. Lewat takpa, jangan terus ponteng.

Tayang-tayang:


Buah kundang. Kawan sekerja beli banyak masa balik kampung. Agak ranum. Mula-mula blur taktau nak buat apa (selain Sambal Belacan), tapi bila baca status seorang teman blogger yang gunakan Buah Kundang ni sebagai bahan sayur dalam Kari Ayam, lalu saya dapat idea. Masak Lemak Cili Padi ikan then boh Buah Kundang, mesti syok, kan? Yessss!

Cuma, hmmm kenapa Buah Kundang yang ini bukan kaler PURPLE? Selama ni saya dok sangka Buah Kundang semua kaler PURPLE. Bellum ‘banyak berjalan jauh’ saya ni rupanya....





 ~...usikan sekian ramai anak muda tentang SERI BULAN yang hendak disamakan dengan si bulan purnama bukan memberikan rasa lambungan pun kepada si puan diri malahan memberikan rasa marah terpendam kepada HISYAM yang tidak disedari sesiapa melainkan SERI BULAN nan seorang tetapi apa daya dia hendak menutup mulut orang yang sampai bila pun tidak akan sama seperti si mulut tempayan yang sering bergandingan dengan batok di tepi tangga menaiki ambin Teratak Nyatuh...~




Saturday, December 14, 2013

Pengat Duriyan: dalam kegilaan nak main ujan...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabtuday
14-12-2013


Hari ceria dan cerah. Selepas semalam JumAAt, petang muram durja. Hujan lebat bersama angin kencang beserta guruh. (tapi dalam hati dok sebut, “heeee bestnya kalu dapat main ujan!”)

Saya pernah buat gila beberapa kali main hujan. Sekali di KL (jalan kaki dari tempat makan selamba redah hujan ke parking).

Dan sekali masa Dak AMOI dan Dak IKA kecik. Kami balik kampung dan kebetulan ada hujan. Kami main hujan di laman Rumah Bonda, yang luas bersimen. Ahhh!

Tu belum kira masa kecik-kecik. Pernah juga sengaja main hujan dan tadah kepala di pancuran air hujan di cucur bumbung zink rumah. Air hujan lebat turun dari bumbung macam air terjun sampai sakit kepala. Tapi... best sangat!

Dah tua mana leh buat camtu walaupun sangat-sangat la teringin! Keinginan yang gila!

Tayang-tayang: suatu keinginan yang gila juga juga dari seorang tua. MyTOKLAKI punya kehendak!


Durian kampung sedang bermusim sekarang. Agak murah, tapi rasa semua hampir sama, tak kira kecik besar or putih or kuning.

Bersama pulut ditanak atas dapur.

Ada orang tak pandai tanak pulut, manjang lembik. Saya belajar dari arwah MyAyah. Cara dia: didihkan air dalam periuk dulu. Bila dah didih baru masukkan beras pulut. Air tak boleh banyak, cukup sekadar tenggelam beras saja. Kacau dan terus perlahankan api. InsyaAllah, wpun nampak macam ‘tak cukup air’ tapi kanji pulut akan memasakkan pulut tu dengan elok dan berkilat.





 ~...ketika dusun durian mula rahat bermusim, pondok yang pernah menjadi sejarah teduhan antara HISYAM dan SERI BULAN dalam sebuah peristiwa terperangkap dek hujan lebat, ingin sekali diroboh dengan sekali tunjal kerana malas hendak mengenang apa yang pernah mereka lalui walaupun hanya mata bertentang mata, tangan berpaut kerana takut tetapi andai hujan lebat sekali lagi HISYAM tidak yakin dia takut lagi dan SERI BULAN bimbang dia pula yang menjadi lebih berani...~




Wednesday, November 6, 2013

WW — Tolo dadar: macam cantik jer! macam comel jer!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
06-11-2013


Selamat menghadapi SPM 2013 buat semua, anak-anak blogger!


WW: Tayang-tayang telur dadar saya malam tadi (sambil melaram frying pan baru yang diburu di Ikea hari tu)



Mewah dengan hotdog.

“Macam cantik jer! Macam comel jer!”

Hahahahaha!






 ~...adakah yang tidak rindu? HISYAM vs SERI BULAN...~




Wednesday, October 30, 2013

WW: anak udang anak tenggiri — kuih moden vs kuih lama buat sendiri...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
30-10-2013


Kuih moden. Beli:



Mana sama dengan kuih lama:


Yang dibuat sendiri oleh kawan sekerja. Lepat ‘bodo’ orang sebut. Kalu kami di kampung (orang Banjar), Lepat Pisang adalah tanpa inti kelapa.

Ahhh... terkenang pula!





 ~...bila hasrat bercuti dan pergi sebentar dari Kampung Separuh Desa menjadi isu balah antara Mak Utih dan Pak Utih, HISYAM menegaskan perginya bukan kerana gentar kata nista tentang surat bawah tempurung yang terapung ketika hujan, tetapi kerana ingin menguji kegigihan SERI BULAN menanti walaupun tali buaian di tepi Sungai Menghijau Lumut hampir reput dihayun digoyang...~




Saturday, October 19, 2013

Yong Taufu: tak habis-habis nak makan sedap...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabtuday
09-10-2013


Walaupun hari ini my off day, tapi saya kena la jugak masuk opis. Tak suka, tapi suka. Tak suka tu sebab patutnya rehat la kat rumah, kan. Tapi suka tu sebab today punya OT rate tinggi compare hari biasa. Heh heh heh...

Sabtuday kat tempat saya ada pasar malam. Saya dah muak sebenarnya sebab benda yang sama jer, tapi antara paberet saya ialah beli Yong Taufu.

Ada 2 stall yang jual Yong Taufu. Kerana dah lama melanggan saya dah boleh beza yang mana satu yang saya lebih gemar.


Lihat sotong kembang yang bergantungan itu. Tu jer dah cukup menggoda saya, walaupun saya tak pernah amik pun sotong tuh...! Chee Ceong Fun tu pun saya tak pernah amik.




Lately, saya suka beli Yong Taufu tanpa direbus sebab saya nak simpan untuk dibawa ke tempat kerja (selalunya pasar malam hari Selasa). So saya akan minta sekali dengan sup rebusan tu dibungkus untuk saya reheat-rebus di tempat kerja. Makan time lunch, adalah sangat best...!



Berbanding 10-15 tahun dulu, Yong Taufu hari ini sangat-sangat variety. Ada banyak bahan tambahan yang sangat sedap. Dulu, mana ada hotdog dan sosej berkeju (Cheese Sausage) tu dalam Yong Taufu. Sekarang ni, itulah yang saya akan make sure dibungkus sekali. Yummy!

Saya snap pic ni minggu lepas, dan brother yang jual tu (dia dah kenal benor dengan saya), hanya sengih. Sporting arrr... Yang penting saya suka sebab gerai Yong Taufu (kedua-dua gerai) tu sangat-sangat bersih!





 ~...antara menu selatan berbanding menu utara SERI BULAN hanya pandai menu Tenggara kerana HISYAM pernah kata, antara menarik air manis dan meneguk air suam dia lebih gemar untuk menimba air di lopak sawah kerana hasilnya jika bukan sepat sekali pun sekurang-kurang si ikan puyu yang tidak kuyu yang boleh di-sambal-tumiskan oleh Mak Utih sambil diganding dengan pulut tanak berulam nyior parut...~




Wednesday, October 9, 2013

Koci Labu: sedetik saya rasa macam nak nangis tak berlagu....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
09-10-2013


Semalam, semua staf yang sama aliran dengan saya dibenarkan balik awal tanpa perlu buat OT. Sebahagian besar staf di lantai yang sama dengan saya selalunya akan ‘dikerah’ (can I use that word?) stay sehingga jam 7:00pm tapi selalunya sehingga 8:00 malam sepanjang minggu dan Sabtuday pula stay sampai 4:30 pm.

Memang jarang kami dapat pelepasan sebegitu, kecuali waktu-waktu tidak mendesak bila job masih belum berada di bahagian kami. Mereka sebut, ‘job belum naik.’ (sebab kami berada di tingkat paling atas.

Dengan cuaca yang membahang sepanjang hari selama lebih sebulan ni, jerebu yang on-off dan saya yang batuk dah masuk minggu ke-2, peluang balik awal adalah sangat awesome!

Ehh ehh! Citer pasal balik awal pun sampai 3 para? Cehhh...! hahahaha

Okey okey.. lets tayang-tayang:


Seorang kawan sekerja berjaya beli Kuih Koci Labu Manis di gerai area rumahnya di Ampang. Lalu saya dapat seketul.

Saya tak pernah jumpa Kuih Koci Labu Manis nih. Selalunya orang buat Kuih Koci guna beras pulut hitam, kan? Unik sungguh kuih tradisional kita.

Arwah MyMak Mertua dulu sangat handal buat kuih tradisional termasuklah Kuih Koci nih. Zaman anak-anak kecik dulu, arwah memang meniaga kuih-muih di berek polis. (Yup, MyToklaki tu anak bekas polis, sebab tu disiplin macam askar Jepun!)

Huhuhu sedih teringat arwah MyMakMertua yang sangat rapat dengan saya.


Rasa dia? Ohh sangat lazat. Inti kelapanya cukup lemak manis, kuah santannya cukup garam dan lemaknya, labu manisnya pula cukup lembut dan wangi... Ahhh!

Walaupun saya cuma dapat seketul (buat rasa katanya), tapi peluang nak snap gambar tak harus dilepaskan. Bukan senang nak jumpa kuih lama cenggini. Kan?




 ~.....SERI BULAN: “Saya tidak tahu akan bagaimana keadaan saya tanpa awak kerana awak sentiasa tahu apa yang terbaik untuk saya.” HISYAM: “Apa yang terbaik untuk awak, adalah kemanisan hidup bagi saya, apa jua keadaan awak akan menjadi keadaan kepada saya dan saya akan terus berada di sisi awak selama mana awak kukuh menyokong saya tak kira saat tegak atau condong”....~




Friday, August 16, 2013

Kisah Laksa: Man Laksa baca ni, menangeh diaa...!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
16-08-2013

Salam Jumaat.

Okeh atas permintaan beberapa orang yang nakkan resipi Laksa seperti dalam entri saya sebelum ini, saya kongsikan di sini dalam sebuah entri khas.

*kaum lelaki yang tak minat, or tak faham boleh abaikan saja entri ini.

Laksa Kedah ni (Laksa Utara) saya dah pernah citer sebelum ini. Terbaru saya berjaya dapat resipi kuah laksa dari sorang kakak orang Sarawak. Handal masak, lalu bila makan Laksa dia terus MyToklaki terpikat. Kena la bini dia gigih belajar resipi tuh. (Sebenarnya kakak tu juga handal masak Laksa Sarawak, tapi bersuamikan orang Kedah dia pun handal masak menu Kedah juga).

Entri lain tentang resipi ni juga boleh klik di sini: “Laksa Kedah tapi menu orang Sarawak... ” Resipi ni sekadar ulangtayang saja:
  1. Tumis cili kisar (cili kering) dengan sikit minyak sampai masak/garing/pecah minyak. (saya tambah cili padi sikit)
  2. Then, masukkan bawang besar, bawang putih (yg putih sikit saja) yang telah dikisar. Masuk BELACAN.
  3. Seterusnya, masuk bahan utama lain yang biasa kita buat kuah laksa. Isi ikan kisar, bunga kantan, daun kesum, asam keping, garam...
Kalu sedikit malas (macam saya), blend jer serentak bawang + cili + belacan, then tumis. Mudah. Kuah Laksa ni, lagi lama lagi sedap. Kena rajin panaskan.



Ulangtayang pic Laksa, yang saya makan di rumah Kak Ros masa Raya tahun lepas.


*****


Selain tu, ada juga yang minta resipi Fetuccini Chicken Carbonara. Menu ni sangat ringkas.

Bahan utama:
  • Fetuccini — sejenis pasta. Ada orang tanya saya apa itu fetuccini. Saya pun tak reti nak explain. Saya cuma jawab, itu sejenis pasta selain spagheti, macaroni, lasagna, linguine. Itu jer pun yang saya tau.
  • Krim carbonara — cari di pasaraya. Mudah sangat. Jenama Prego paling banyak. Botol biru, isi krim warna putih. Selalunya sebungkus fetuccini, saya gunakan 3 botol krim carbonara.
  • Cendawan — utk cabonara saya gunakan Straw Mushroom. Dalam tin. Buang airnya, hiris nipis.
  • Minced chicken — ayam kisar. Jenama Ramly paling sedap.
Bawang besar potong dadu, tumis. Masukkan ayam kisar, tumis sampai ayam masak. Masukkan kuah krim cabonara. Kalu nak pedas, tambah pepper.

Masukkan cendawan dan garam. Masak pekat. Siap.



Ulangtayang koleksi gambar lama saya.

Versi orang lain mungkin berbeza. Kalu ikut cara saya, memang cara orang nak cepat saja.


Oh ya.. Pulut Kuning? Ahhh... jemu dah bercerita pasal Pulut Kuning. Tapi nanti kalu jadi nak dating di Bangi, saya akan usahakan Pulut Kuning tuh yaaa...!






 ~...jangan pandai menggoda tapi tak pandai menukar reda, jangan pandai berjanji tapi bila bersua mulut terkedu macam kena kanji dan HISYAM sering dikritik manja kerana tidak lagi pandai memujuk SERI BULAN yang kelelahan bagai burung pungguk yang semput lelah...~




Monday, August 5, 2013

Ramadan 27: BerAbuk jugak tahun ni, ingat dah tak berAbuk dah...!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
05-08-2013


Sejak 4,5 tahun kebelakangan ni, tiap kali Ramadan memang saya akan pastikan buat Kuih Abuk-Abuk ni. Sekali dalam sebulan tu. Tak banyak, sikit pun memang nak buat. Semua orang suka makan. Buat pun tak susah.

Yang penting kena ada sagu dan daun pisang.

Saya bukan blogger chef or blog resipi. Jadi saya boh gambar la, so that korang boleh faham kot cara nak buat. Kuih ni saya belajar masa Tingkatan 3, kelas Sains RumahTangga. Skang mana ada lagi dah subjek tuh, kan?

Terimakasih pada cikgu SRT saya masa tu. Cik Zarina yang garang tegas, tapi lawo!


Sagu dicampur dengan kelapa parut. (kalu boleh kelapa yang putih saja, saya beli belasah jer, sebab nak cepat). Sagu tu saya rendam kira-kira 5 minit dalam air untuk buang kanjinya. Sebab kalu tak rendam camtu, nanti bila masak kanjinya banyak dan kita akan makan ‘gam’ pulak.

Tos sagu, gaul bersama kelapa parut + garam.



Buat kelonsong daun pisang (jangan lupa layur daun pisang, senang nak bentuk). Masukkan sesudu sagu, then isikan gula merah or gula melaka. Kemudian tutup dengan sagu semula. (ada 3 lapisan sekarang).


Kecik besor, kecik besor. Belasah jer lah Zie...!

Dapat satu kukusan.



Hasilnya. Rupa memang tak lawo, macam Puan yang buat jugak (sebab saya rasa macam kelapa parut tu tak cukup jer), tapi rasa.. woooo sedap habaq hang!

Alhamdulilah, berjaya juga saya buat meneruskan tradisi buat Kuih Abuk-Abuk setiap kali bulan Ramadan.






 ~...melihat HISYAM yang tersengih dan tersenyum bagai dipaksa ketika melayan sembang borak-rancak dengan anak dara Pak Imam, SERI BULAN hanya mampu mengintai di sebalik kain tutup tingkap sambil Mak Utih menggeleng dari jenang pintu dapur, lalu Pak Utih melintas ingin sekali dia bertanya apa cerita tetapi Pak Utih terlebih dahulu mengangkat tangan beramaran jangan ditanya apa-apa kerana ada hati sedang kerasan...~




Saturday, July 27, 2013

Ramadan 18: sebenarnya saya tak suka apa yang saya dengar...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabtuday
27-07-2013


Dah 5 bulan saya kerja di tempat baru. Saya sentiasa sedar saya masih dalam proses pembelajaran dan penyesuaian diri. Malah saya sentiasa tahu, setiap orang akan melalui proses belajar setiap hari. Apatah lagi bidang kerja saya, sentiasa ada benda baru, almost every day. Jadi setiap orang bersaing untuk ‘menakluki’ setiap perkara baru dan juga project yang naik dari Lantai Bawah.

Saya berani kata, dalam beberapa perkara saya sudah bersaing sama dengan beberapa orang staf ‘senior’. Malah ada beberapa project saya sudah boleh menunjuk dan membuktikan saya berjaya agak cemerlang, dan ada ketika saya tidak berbeza sedikitpun dengan mereka yang lain (dalam ertikata hasil kerja).

Namun begitu masih ada segelintir yang melihat saya ‘orang baru’, melayan saya sebagai baru... bereaksi saya sebagai orang baru yang dilihat mentah. Well... saya terima. No harm.

Tetapi, saya tak berapa suka dengan beberapa hal yang saya dengar (dalam ertikata saya diceritakan terus ke telinga) walaupun saya langsung tidak pernah join mana-mana grup berlonggok-sembang-mesorat-tingkap ketika mana pun. Kecuali masa lunch (sebelum posa dulu — yang hanya 15 minit bagi saya, pastu saya blah). Apapun saya tetap terdedah dengan beberapa stori yang disampai terus ke telinga saya walaupun kebanyakan cerita tu saya tak berapa suka nak dengar.

Seolah-olah cerita-cerita tu bertujuan nak menunjuk kepada saya (sebagai orang baru, kan?) bahawa orang itu hebat... orang ini bagus... orang ini kaya... orang itu rumah besar... Nak bersaing dan berlawan harta ker?

Saya bukan tak heran, tapi saya tak kagum pun. Saya orang yang simple dan sederhana. Setakat orang bagitau saya rumah dia sebesar padang bola, saya tak takjub mana pun. Saya hanya tabik, respek rezeki orang itu mewah.

Cerita yang saya diperdengarkan tu bukan saja melibatkan orang lain dalam opis saja, tapi kadang-kadang sampai adik beradik toknenek orang tu pun boleh disebut sekali. Sampai saya pernah sebut, “Amboi... sampai seluruh keturunan punya story pun awak boleh tahu?” Hebat sungguh depa punya bijak korek rahsia peribadi orang.

Kemudian saya juga rasa kelakar bila terselit juga dialog sebegini, “Abang J (salah seorang staf lelaki di department bawah) tu popularrrrr....! Dia kawan dengan artis!” > of course la dengan memek muka yang serius untuk meyakinkan akan kehebatan Abang J tuh!

Hahahahaha...! saya sorok gelak di balik tudung. Awat, nak lawan ker? Kalu saya sebut saya pun berkawan dengan artis, dah jadi saya pun tak mo kalah. Hahahahaa... tak kuasa aku!

Jujur, saya tak pernah tanya pada kengkawan sekerja dengan soalan sebegini:
  • Suami awak kerja apa pangkat apa?
  • Anak awak belajar apa level apa?
  • Rumah awak berapa tingkat berapa ratus ribu?
  • Gaji awak berapa ribu saving apa dah berapa banyak?
atau soklan sebegini:
  • Berapa lama dah awak menjanda, kenapa bercerai or suami meninggal bila?
Semua soklan tu tak akan mungkin saya tanya. Saya tak kuasa nak ambil tahu. Itu bukan gaya saya. Tapi saya boleh tahu hampir SEMUA orang lain punya hal peribadi. Sebab ada saja 2,3 orang yang suka bercerita pada saya. Mulut... itu yang buat saya tak berani langsung nak buka hal peribadi saya pula. Kerana hal macam tu lah.

Bagi saya, lagi sikit orang tahu hal peribadi saya, itu lebih baik.

Dan saya berharap sangat, tidak akan ada sesapa di tempat kerja akan jadi stalker blog saya pula. Tolonglah...

Tayang-tayang:


Dah lama saya tak buat Cucur Udang. So semalam saya buat, bulat-bulat macam orang meniaga tuh. Tak berapa menjadi sebenarnya, tapi rasa tetap terbaik. Saya buat setakat 10 biji, jadi tak berbaloi pula saya nak buat Kuah Kacang. Cicah sos cili dalam botol sudahhh...!







 ~...semasa moreh di surau Kampung Separuh Desa, Pak Imam tetiba berbisik ke telinga capang HISYAM tentang majlis suai-kenal bersama anak daranya akan diadakan dalam masa terdekat lalu HISYAM dengan muka merah tidak tahu hendak menjawab lalu mata segera mencari SERI BULAN yang bijak berkata-kata agar dapat mencari ayat mengelak atau perkataan menepis...~




Tuesday, July 23, 2013

Ramadan 14: hot topic in office — no bonus Raya ni...!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Thalatha
23-07-2013


Petang semalam, our manager mengumumkan bad news. No bonus Raya tahun ni. Terpaksa ditangguhkan sehingga result application company untuk listing di Bursa Saham tu diketahui, dan berjaya. Paling lewat, Disember.

Muka depa tadi, masing-masing... huh tak boleh tengok! Saya menyimpan sengih sendiri. Sebab saya dah 5 tahun tak pernah merasa bonus di 2 company lama, so saya jadi terlupa dah bab bonus-bonus. Ada ke tak da, Raya tetap Raya. Dengan cara kami.

Jadi isu takda bonus Raya ni, menjadi hot topic dari Lantai Bawah sampai Lantai Tiga. Memahami keadaan agaknya, kami dilepaskan balik awal semalam, tak perlu stay OT. Wahh... bonus memang menjadi isu yang sangat besar sebab sejarah depa, bonus setahun 2 kali dan pernah cecah sampai 5 bulan bonus.

Dah nama pun bonus, itu dianggap penghargaan paling besar kepada staf, terutama bagi kita warga pekerja swasta. Cuma, dalam beberapa keadaan kita harus juga memahami kesulitan dan masalah pihak atasan. Beri sedikit masa. Pasti akan ada ganjaran lebih manis nanti. Jangan nak meroyan dulu...! Sabor... sabor.

Oh ya... kakitangan kerajaan dapat berapa bulan?

Tayang-tayang:

Bila nasi dah jadi senarai ke bawah untuk iftar. Kena buat menu lain sebagai alternatif. Mihun goreng. Sebagai penyeri, Bebola Sotong yang dah tak bulat selepas beberapa minit kuar dari minyak panas. Time goreng panas, elok jer bulatnyer. Alaaaaaa...... > merengek tak pasal-pasal?







 ~...ketika ditinggal berduaan dengan SERI BULAN di ambin tidak berdinding dan ruang terbuka luas untuk dijengah melangah, masing-masing hanya mampu pandang memandang berseli jeling-menjeling tapi hati terasa hendak marah kerana HISYAM bukan sahaja menyebut tentang Raya yang tidak mahu dirai, juga mengadu Baju Melayunya sudah lusuh dimakan hari tanda begitu lama mereka sudah bermastautin di Kampung Separuh Desa...~




Monday, July 22, 2013

Ramadan 13: Rendang Kerang — masak sakan-sakan, makannya cuma sejemput...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senayan
22-07-2013


Seperti yang dijanjikan ritu, saya memang nak cover balik usaha MyToklaki mengambil alih tugas memasak untuk berbuka sepanjang hari saya bekerja, 5 hari dalam seminggu. Sabtu & Ahad tentulah saya nak ‘rebut’ balik jawatan tu. Lalu usaha nak masak sedikit sedap dan spesel kenalah ditunaikan juga.

Gigihlah saya & CHAK mengopek kerang rebus sendiri. Nak juga buat Rendang Kerang. Ini kali pertama saya nak buat Rendang Kerang, tapi saya yakin senang jer nak buat. Tak jauh beza dengan rendang ayam.

Hasilnya tidaklah mengecewakan, wpun MyToklaki komplen agak pedas. Lidah nak nipis, katanya. Elehhh mengaku sajalah dah tua... Bebudak makan, steady jer!


Seorang kawan pula menyebut tentang daging dan kacang dhal, lalu buat saya tertarik pula nak masak Dalcha. Tak pernah buat pun sebelum ni, tapi saya sentiasa yakin menu ni mudah saja. Saya boleh agak cemana nak buat, termasuk teknik, dalam ertikata saya boleh agak waktu mana patut masuk sayur, waktu mana patut masuk santan.

Untuk memudahkan diri sendiri, saya soak kacang dhal beberapa jam dan rebus daging (daging tetel) juga beberapa jam.


Hasilnya tidaklah mengecewakan. Rasa pun not bad. Heh heh heh... sapa lagi nak puji. Dan, saya berani kata, wpun saya bukan pandai masak, tak pernah ada kelas pun tapi saya ada kelebihan yang mana saya yakin dengan apa yang saya lihat, saya baca or apa yang saya makan. Mungkin saya warisi sedikit kepandaian memasak MyBonda dan My(arwah)Ayah.

Walaupun lauk memang spesel semalam, tapi saya makan cuma beberapa suap saja. Dah tak tinggi selera. Mungkin sebab umur dah cecah ‘vintage’. Hmmm... masak sakan-sakan sampai berjam tapi makannya cuma sejemput dua. Alahai....







 ~...walau kelapa yang dikukur dek HISYAM bersama gaya ala-ala koboi sudah menjadi rupa kelapa hancur, Mak Utih tetap ingin memberikan pujian sambil disambut sengih sinis Pak Utih yang gemar menyakat, SERI BULAN masih tidak dapat memberikan sebarang pujian kali ini kerana dia sudah hilang sabar HISYAM sengaja menunjuk manja sedangkan SERI BULAN merasa dialah yang perlu ditatang diriba...~




Friday, July 19, 2013

Ramadan 10: belajar memasak melalui telefon, MyToklaki berjaya juga akhirnya...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
19-07-2013


Seperti saya pernah sebut di awal dulu, tahun ini akan menjadi puasa berbeza bagi kami. Jadual kerja saya yang agak sendat dan rutin saya yang “pegi malam balik malam” tak memungkinkan saya menjadi tukang masak tetap untuk berbuka tahun ini.

Lalu penglibatan MyToklaki bersama 2 orang anak dara kecik saya di rumah menjadi lebih untuk tahun ini. Sejak hari pertama lagi, saya hanya boleh sampai rumah paling awal sekitar 6:30pm dan minggu ini pula sampai sewaktu azan sedang berkumandang.

Apa saja yang dimasak dek MyToklaki, adalah menu yang simple  dan agak beza sikit dengan hasil karya saya. Setiap petang, saya terpaksa call ke rumah untuk ingatkan depa supaya kuarkan ikan/lauk dari peti beku. Kalu tak, jenoh la nak tunggu ikan yang keras tu jadi lembut.

Tapi, sebenarnya sejak MyToklaki mengambil alih ‘dapur magic’ saya, hasilnya tidaklah mengecewakan sangat. Dia memang boleh masak, dalam kategori makan untuk anak-beranak.

Contoh: hari pertama ritu dia masak Kurma Ayam. Seterusnya, Sambal Ikan Kembung, Daging Masak Lemak Cili Api, Udang Goreng Kunyit... wpun menu adalah simple tetapi suasana berbuka tetap meriah dan disyukuri.

Yang best, petang semalam dia masak Nasi Lemak dengan Ayam Goreng Berempah. Sebenarnya saya yang plan nak buat, tapi dia dah potong jalan. Ok, bior ler. Orang tengah rajin, jangan dilarang.

Tapi dia tak tau pun nak buat Ayam Goreng Berempah. Terpaksalah saya bagi panduan-ajar melalui hp dari ofis.

Hasilnya:



Tak sangka, menjadi jugak Nasik Lemak & Ayam Goreng Berempah dia. Walaupun belum boleh mendapat Kepujian Kelas Pertama, tapi saya rasa ayam tu layak dapat kredit lah juga. Saya pula sengaja skip OT semalam, untuk sampai ke rumah sedikit awal. Sambal Tumis tu hasil karya saya. Mujur sempat. Kalu idak, ada yang makan nasik lemak berkuah tokyu jer!

Hari Sabtu dan Ahad kenalah saya ‘cover’ balik dengan menu yang sedap dan sedikit special. Hmmm... saya cadang nak masak Rendang Kerang. Ok dak?





 ~...Mak Utih sudah mula menyebut tentang pucuk kelapa hendak dipetik turun, Pak Utih pula sudah berkias tempayan pukul telur untuk bahulu sudah lama tidak didengar bunyi pukulan berentak lalu SERI BULAN sudah faham HISYAM akan menjadi kembali sibuk ke hulu dan ke baruh berpeluh dahi dan buku lali sehingga SERI BULAN yang dikerah menjadi pengiring akhirnya menyerah kalah...~




Wednesday, July 17, 2013

Ramadan 08: Kek Coklat Sepanjang Tahun pulak...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
17-07-2013


Mula-mula saya ingat, susah nak jual Kek Coklat ni. Dulu, di 2,3 ofis dulu susah nak jual sebab staf tak ramai. Yang order pun cuma sorang dua, dan tak konsisten.

Kali ini, saya cuba lagi sebab saya lihat sambutan terhadap benda lain pun boleh tahan. Why not cuba. Dulu lagi, saya memang tahu 2,3 orang pembekal Kek Coklat yang handal. Kali ini saya dapat pembekal, seorang kawan juga. Kenalan keluarga saya yang saya kenal sudah bertahun-tahun.

Saya buat beberapa sample. Saya potong kecil-kecil dan boh dalam banyak bekas kecil untuk dirasa semasa berbuka.


Saya juga cetak kertas iklan yang simple saja. Lengkap dengan gambar kek,  info, saiz ukuran sebenar kek (sebab saya tak bawak sebijik kek ke ofis), dan harga tawaran. Yang penting Kek Coklat ini akan menjadi kek coklat sepanjang tahun. Boleh order bebila jer.


Kemudian saya letak kertas iklan yang simple tu, bersama sample (“Sample untuk dirasa, sila ambil satu”) dan borang tempahan di dalam surau. Surau memang selalu menjadi port terbaik untuk meletak barangan berniaga. Nak letak secara terbuka di work station adalah dilarang.

Belum pun ada yang rasa, saya dah berjaya jual 12 biji kek semalam. Ini tempahan untuk minggu ini. Depa nak makan saja-saja.

Saya berharap, untuk Raya nanti tempahan akan bertambah.

Untung tak perlu banyak, tak perlu drastik. Pelan-pelan kayuh asal konsisten. Saya sentiasa yakin, jika rezeki tak ke mana.

Malah kawan-kawan yang nak try buat sendiri pun, saya galakkan. Jangan sekali-sekali paksa orang beli barang kita. Berjaya jual satu barang pun, adalah pemangkin untuk jualan seterusnya.


*oh ya, Kek Coklat ni tak saya tak jual secara pos. Tak sesuai la kan? Kena delivery by hand.





 ~...semasa tiba dengan kelat muka pucat tersipu, SERI BULAN terpaksa mengakui dia tidak pandai bersila-simpuh sehingga HISYAM terpaksa menumpang pengakuan itu sebagai alasan menutup malu, lalu bila Mak Utih dan Pak Utih tertawa tidak niat mengejek, kedua-dua mereka selamba duduk tanpa kuda-kuda tetapi teringin berjalan unta...~




Monday, July 15, 2013

Ramadan 06: Kurma Daging lauk kenduri vs Sambal Bilis Tempe kopek sendiri...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
15-07-2013


Ramadan pertama, MyToklaki masak Ayam Kurma. Saya pulak gatal mulut bercerita dengan sorang kawan saya tentang lauk Kurma, dalam sembang kami di waktu senggang tengahari. Rupanya, dia pun macam MyToklaki juga, peminat lauk Kurma.

Bersembang la kami tentang betapa susahnya nak cari lauk Kurma Daging macam kenduri dolu-dolu. Yang enak lazat berempah. Dengan ketulan daging besar-besar tapi lembut empuk sehingga ditolak dengan sudu pun daging boleh berderai tapi tak hancur. Mana nak cari lagi... rata-rata kenduri dah jarang masak Kurma Daging camtuh.

Then, tak pasal-pasal saya yang kena buat. Oh yeahh... sebagai memenuhi permintaan dan selera tekak orang yang kepingin nak Kurma Daging with ketulan besar-besar.

Lalu, pagi semalam saya ke pasar Pudu mencari daging segar lagi terbaik. Walaupun saya jarang beli daging sebab hanya MyToklaki jer yang gemar daging (tu pun saya tak nak beli selalu sebab dia ada gout), tapi saya tahu dari siapa yang saya boleh dapat daging terbaik. Penjual tu pun kawan Toklaki juga.

Then saya teringat nak call MyBonda, merisik resipi lauk Kurma Daging. Maklum, MyBonda dan arwah Ayah dulu tukang masak kenduri yang handal, beberapa tahun pula menjaga tender kantin sekolah. Malahan arwah Ayah sepanjang hayatnya memang terkenal di kampung sebagai salah seorang tukang masak kenduri yang dihormati lagi disegani.

Okeh, MyBonda pun bagitahu sesuatu yang saya tak pernah tahu pun sebelum ni. Rupanya ada bahan rahsia (rempah) yang saya tak pernah boh pun selama ni dalam Lauk Kurma. Okeh.. kali ini saya yakin lauk Kurma Daging kawan saya ni akan jadi sebijik macam lauk kenduri...!


Saya tak pernah masak Kurma Daging sebenarnya, selalunya Kurma Ayam jer. Sepanjang memasak ni, saya berharap sangat lauk ni menjadi. Kalu ikutkan lauk kenduri takda kentang, tapi saya sengaja boh kentang. CHAK suka kentang.

Keputusannya: Kurma Daging menjadi (mengikut piawian saya jer lah). MyToklaki makan banyak masa berbuka semalam. Saya tak makan pun.

Okeh... selain tu semalam saya juga masak Sambal Bilis Tempe. Ini memang lauk wajib ada di bulan posa. Pembuka selera sahur kami. Pun ditempah oleh kawan saya jugak, macam tahun lepas. Memang saya buat lebih kali ini, untuk sorang kawan lain pula di tempat kija. Juga sebagai bekalan IKA nak balik semula ke skulah dia esok. (Ini budak memang balik hanya untuk makan sedap-sedap jer!)


Keputusannya: Sambal Bilis Tempe memberikan aroma yang sangat enak lagi menyelerakan. Saya tak makan pun lagi.

Sewaktu kawan saya singgah mengambil semua menu di atas, saya juga sertakan Pengat Keledek (Bersagu) yang sangat enak (pada saya enak ler). No pic, saya malas dah nak snap.

Kesimpulan untuk kesemua menu di atas (melalui sms): “Beyond expectation!”

Kenapa semua lauk tu saya tak makan? Merajuk berbuka posa? Hahahaha takda makna nyerrrr....!

Sebab, saya masak Spagheti sebagai berbuka semalam. Ini kerana memenuhi permintaan dua orang anak dara saya; Dak AMOI & IKA. Hujung minggu jer la nak masak lebih special dari biasa. Sebab rakyat dalam rumah berkumpul semua.


Versi sama jer macam spagheti saya terdahulu, tapi saya snap juga gambar terkini.

Sekian cerita masak-masak dan makan sakan-sakan saya. Jangan marah eh... saya dok tayang gambar makanan jer.





 ~...semasa makan bersila dalam bulatan mengadap dulang berkilat, SERI BULAN sempat menjeling wajah HISYAM yang ternyata tak menyabar hendak menjamah lauk hasil tangan Mak Utih lalu terlupa seketika SERI BULAN hendak beramaran supaya tidak gelojoh kerana dia pernah ada sejarah tercekik tulang sembilang sampai muka merah berbelang...~




Saturday, July 13, 2013

Ramadan 04: Tart Nenas Sepanjang Tahun: for a real fan only!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Sabtuday
13-07-2013


Lagi cerita berniaga di bulan posa.

Ramai yang sudah maklum, saya memang berniaga Tart Nenas Sepanjang Tahun sejak 4 tahun dulu lagi. Sudah ramai pelanggan saya termasuk di Sabah Sarawak dan beberapa negeri yang jauh dari WP.

Paling ketara adalah rakan yang menjadi jiran ofis saya sejak di Jalan Imbi dulu. Depa ni kalu musim raya (tak kira ler Raya Posa, Chinese New Year or Deepavali) akan order. Selalunya tak pernah sikit, paling sikit pun 10 pek.

Kerana Tart Nenas ini memang sepanjang tahun, saya tak pernah ada masalah untuk mendapatkan bekalan. Walaupun sepanjang 4 tahun ni, harganya dah naik 2,3 kali dan keuntungan saya pun semakin kurang sebab saya tak berani nak naikkan harga setiap kali, especially pada regular customer. Delivery cost pun saya masih kekal RM5, dan kadang tu free jer.

Untuk tahun ini, kebetulan saya terlalu sibuk dengan kerja, bisnes Tart Nenas saya sengaja slow kan, sebab takda masa nak buat delivery ke sana ke mari macam dulu. Masa untuk diri sendiri pun kalut.


Saya ulang tayang saja setiap pic Tart yang memang saya rajin snap sejak dulu.


Dan kebetulan juga...
pembekal dah inform saya minggu lepas, bekalan tidak dapat disediakan secukupnya. Kerana tak menang tangan. Tempahan mencecah ribuan pek, means ratusan ribu pieces.

Saya kata, “Takpa, berapa pek yang saya boleh dapat jer lah. 20 pek pun takpa, sebab saya hanya jual untuk bebudak ofis jer.”

Tetapi,
esoknya regular customer di Jalan Imbi tetiba call dan nak pastikan yang depa akan dapat bekalan sekurang-kurang 20 pek untuk Raya kali ini. Alamak!

Dengan alasan, “For a real fans of Tart Nenas only” saya kena deliver juga bekalan pada minggu terakhir Ramadan.

 *Semua pic ulangtayang. Sendiri snap, tak cilok orang punya.


*Pic dari blog seorang customer, blogger Azian Elias.

Saya tidak pernah lupa berterimakasih kepada sekian ramai pelanggan saya selama ini, wpun saya tak meniaga besar-besaran pun. Selain side income, saya dapat ramai kawan baru melalui perniagaan sambilan ini.

Dan bagi yang berminat, sila order selepas Raya. Untuk Raya, saya memang tak boleh janji. Tak berani nak janji pun.





 ~...sabut sudah penuh digantung di bawah bangsal memberi tanda Mak Utih bakal mengacau Bahulu lagi tahun ini dan Pak Utih bersedia merangka jumlah lemang yang bakal ditimang sementara HISYAM bersedia jiwa dan raga untuk menjadi penolong yang rajin lagi bergaya sehingga terlupa SERI BULAN sudah lama tidak diajak bergebang tidak berkawan-sembang lalu melihat teman merajuk pun sudah terbiar hingga sejuk...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails