AssalamualaikumKhamis29-09-2011Sejak minggu lepas lagi aku jadi ketagih nak baca novel. Bermula dari novel “Cinta Kau dan Aku” (aku beli kemudian sedar aku dah baca novel ini pinjam dari kawan), kemudian aku beli novel sedih syahdu “Begini Takdirnya” kemudian minggu ini novel baru. Ketiga-tiga novel ni semuanya setebal lebih 500 pages, tapi setiap satu boleh habis baca dalam masa 2 hari jer. > takdak kerja ker si Azie nih? Jangan tanya....
Ulasan novel: Bisik-Bisik Gelora by Fauziah Ashari.
Hari itu ada blogger bertanya, apa novel terkini yang boleh dicadangkan kepadanya.
Kebetulan waktu itu memang AA sedang membaca novel Bisik-Bisik Gelora tetapi belum habis, jadi ulasan dan cadangan baru kini dapat ditulis di entri ini.
Rasanya hampir semua novel tulisan Fauziah Ashari, aku dah beli dan baca. Ada yang aku masih ingat tapi banyak yang sudah lupa.
Novel Bisik-Bisik Gelora ini adalah karya terbaru Fauziah, cetakan pertama 2011. Melihat pada cover, tidak perlu diperkenalkan lagi syarikat penerbitannya.
Watak utama adalah Bainun Arumi (unik sungguh nama ini) dan Jad Izzudin. Bertemu dalam suasana yang mereka tidak pernah duga. Penuh muslihat dan tragis. Pernikahan di usia yang terlalu muda (Arumi sedang menanti keputusan SPM) kerana perangkap kawan-kawan tetapi tetap diterima kedua mereka, lantaran sedar itu adalah balasan ke atas sikap mereka yang tidak baik dan nakal.
Malangnya pernikahan tanda rela kedua mereka tidak berjalan dengan baik terutama apabila ibubapa Arumi meninggal di hari pernikahan lalu memberikan dendam kesumat dan kesedihan kepada Arumi. Membawa diri ke luar negara selama 7 tahun. Meninggalkan suami yang tidak pernah dikenali dimesrai sehingga suami juga membawa dendam kesumat yang lebih parah lagi dari si isteri.
Pertemuan semula mereka rupanya membawa petaka dan kesedihan serta trauma yang maha dahsyat kepada Arumi kerana Jad adalah bekas penjenayah dan bekas banduan. Mereka terpaksa hidup sebumbung sebagai suami isteri tetapi Jad melayannya seperti orang gaji dan hamba tebusan demi sebuah dendam dan maruah yang ingin direbut kembali. Lalu isteri yang harus dipertaruhkan.
Arumi akhirnya sedar bahawa apa yang berlaku dan kepedihan itu adalah akibat dirinya sendiri. Lalu dia redha dan pasrah dengan doa agar dia diterima sebagai isteri yang sebenarnya sebagaimana dia menerima Jad sebagai suaminya. Bertahun-tahun Jad melayannya seperti pelacur di rumah sendiri, di mana setiap layanan harus dibayar. Walau tanpa perasaan, Arumi akhirnya mengandungkan anak Jad. Walaupun segala berlangsung dalam ertikata perkosa dan Jad tidak menerima anak itu kerana Arumi dianggap berlaku curang.
Selama 11 tahun menjadi suami isteri dan kemudian memiliki anak berusia 3 tahun, hubungan dingin mereka menjadi suam dan cuba dihangatkan kembali...
Bagaimana? Kena baca.
Sangat best! Sangat best!
Sampai bawa pegi lunch, kerana tetap Lone Ranger! Walaupun dari peringkat awal hingga ke pertengahan cerita, sangat sedih! ohhh bukan aku tak suka, tapi susah nak kawal diri dan sebak sendiri. Terpaksa berhenti beberapa kali, keluar bilik jalan-jalan sekejap, pegi pantri, minum relax kemudian sambung baca balik. Kalu tidak, orang nampak aku nangis! Ohhh... > kawan aku tegur, kenapa novel kali ini macam lambat jer nak habis? hahahahaha... tersekat-sekat sebab dok kawal jiwa-raga-bakul-sangkar hati!
Ada beberapa perenggan yang aku suka: “Umi, kita ni sebagai manusia jika ingin maju dan meningkatkan hidup serta kesempurnaannya, mesti memerlukan keperluan di mana kita tidak akan perolehi seorang diri. Kita memerlukan orang lain untuk berjaya. Tapi kena ingat, perlukan mereka dengan cara yang baik dan jujur serta ikhlas. Kita tak boleh hidup seorang diri kerana fitrahnya kita ini punya sifat sosial, ialah berkawan, berhubung sesama manusia. Sebab itu, seseorang itu perlu bersama masyarakat untuk membantu hidupnya.”
Kesilapan lalu benar-benar telah mengajarnya untuk bersabar.
Kesalahan lalu telah mengajarnya untuk dewasa menghadapi masalah mendatang.
Arumi, perempuan yang dinikahi penuh tragis. Berpisah, berdendam, bertemu, menyimpan rasa dan kembali mendendami. Mengapa?
Aku suka watak Jad Izzudin itu. Tidak kacak, tidak hebat tetapi dia berada dalam keistimewaan tersendiri. Walaupun bekas banduan, dia cukup sedar dan insaf. Arumi sendiri menerimanya seadanya kerana dia tahu dalam diri Jad tetap ada kebaikan. Kebaikannya sebagai seorang lelaki dan suami yang penyayang. Yang akan menerimanya dengan ikhlas pula. Jad akhirnya berjaya menjadi seorang ahli perniagaan yang begitu berjaya dan hidup kaya-raya.
Banyak pengajaran yang boleh diperolehi (jika dibaca dengan jiwa). Orang yang kita tidak suka usah dibenci sehingga menjadi dendam kesumat kerana tidak mustahil orang itu kelak yang menjadi kesayangan kita, sehingga tidak mungkin berpisah lagi. Dan setiap perbuatan pasti akan menerima balasan di atas setiap baik buruk perlakuan itu. Serta dendam tidak pernah memberikan kepuasan kepada sesiapa pun malah memberikan kesan parah di dalam jiwa...
Bagi yang meminati novel yang happy ending, yeahh... novel ini berakhir dengan kegembiraan walaupun ada diselitkan babak terharu dan romantis. Juga diselitkan beberapa ayat al-Quran serta pengajarannya.
Sedih, kan? Kalu tiba-tiba kita ditinggalkan bersendirian, tanpa kawan tanpa masyarakat, tanpa aktiviti, tanpa kesibukan...
Siapa tidak menitis airmata bila anak sekecil 3 tahun dipukul dibesit dengan talipinggang oleh ayah kandungnya sendiri? Ohhh aku tak boleh bab nih!
Syabas! sebuah lagi karya cemerlang Fauziah Ashari....
~....sehingga hari ini SERI BULAN masih belum dapat melepaskan dendam untuk melemaskan perahu HISYAM di malam hari, kerana takut denai gelap disuluh orang, muka pucat disergah pawang...~