Wednesday, December 23, 2015

Wallet orang dalam rumah saya....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
23-08-2015


Saya tak plan nak tulis entri tentang kes wallet ni, cukup sekadar di FB dengan 2 status. Tapi sebagai penjelasan lebih jelas, saya akan tulis kisah sebenar.

Anak saya IKA, terjumpa wallet lelaki dalam perjalanan pergi kerja. Dalam teksi, ternampak pun masa dah nak turun dari teksi. Somewhere at Jalan Telawi, Bangsar. Jumaat lalu.

Secara spontan saja, dia terus ambil dan bawa ke opis. Terpaksa buka untuk cari info pemilik wallet. Malangnya memang tiada nombor yang boleh diyakini nombor sesiapa. Ada beberapa kad penting, termasuk 2 keping kad kredit, lesen memandu, MyKad, kad debit dan beberapa kad lain termasuk kad keahlian beliau sebagai pelanggan insurans AIA.

Kerana IKA tidak langsung dapat mencari nama pemilik tersebut di akaun Facebook, dia lalu call bank. Pihak bank of course tidak akan beri maklumat sulit, so IKA tinggalkan no hp dia supaya pihak bank mungkin boleh hubungi semula. (Sampai ke sudah memang takda)

Malam itu, saya call Khidmat Pelanggan syarikat insurans AIA dan tiada nombor yang dapat diberi melainkan alamat email. Memang betul, pemilik wallet ada akaun yang masih aktif di AIA. Terimakasih kepada staf Customer Service AIA yang bekerjasama.

Saya terus email pada malam itu juga dengan meninggalkan no telefon saya untuk dihubungi semula oleh Mr Lee.

Dari kad insurans juga, saya tahu Mr Lee bekerja di syarikat telekomunikasi besar di Gardens, MidValley (Bangsar). Saya call beberapa kali tetapi tak berjawab. Ok, Sabtu dan Ahad off day.

Lalu kami mengambil keputusan untuk:
1. mencari Mr Lee di tempat kerjanya, atau...
2. menyerahkan terus wallet tersebut kepada balai berdekatan.



Ada banyak kad. Lesen memandu. Kad isi minyak. Kad sosial yang lain. Duit tu saya tak pasti berapa. Tak rajin nak kira pun.

Jadi pada Isnin berikut, saya dan IKA decided akan singgah di Gardens mencari Mr Lee. Kebetulan, Gardens MidValley tidak asing bagi kami, sebab Ika pernah kena jaga cawangan kerja di sana beberapa bulan dan saya selalu jemput dia di sana. Lalu hampir setiap selok Gardens tu kami tahu. (Saya juga call syarikat yang sama di cawangan KLCC, dan dimaklumkan cawangan Gardens beroperasi setiap hari even Sabtu Ahad sehingga 10:00 malam. Laaaa kalu tahu Sabtu lagi dah bleh pi hantar)

And, petang Senin itu juga sekitar jam 6:00pm Mr Lee call saya. Akhirnya.

Kami teruskan juga niat singgah di Gardens malam itu untuk serah sendiri ke tangan Mr Lee. Bagi saya itu lebih melegakan.

Walaupun saya yakin dia mesti sudah buat report sejak hari kejadian lagi tetapi selagi kami masih simpan wallet dia, selagi itu saya rasa tak selesa dan tak tenang. Barang berharga milik orang dalam rumah kita, kita rasa apa?


Alhamdulillah mudah saja nak cari tempat kerja dia.

Mr Lee: “Thank you very much. I appreciate it.’

Walaupun saya minta dia semak dan periksa walletnya untuk kepastian, saya kagum Mr Lee langsung tak buka. Sekurang-kurangnya tidak di depan kami. Mungkin tidak mahu kami berasa diragui.

Dia menghargai usaha kecil kami pun dah cukup baik. (Rewardnya, selepas itu kami shopping sakan. Opss! bukan dapat bayaran tau, kami reward diri sendiri dengan duit sendiri)

Apapun saya sangat-sangat lega bila dapat selesaikan perkara ini. Pemiliknya sudah mendapat hak miliknya walaupun dia sudah menyekat semua aktiviti kad pentingnya. Saya pun berharap begitu.

Siapa pun dia, apapun bangsa dan agamanya, hak dia tetap hak dia. Bukan saya nak kata kami ni jujur benar, baik benar tetapi kita pun tahu, kita tidak berhak atas hak milik orang lain.

Terimakasih atas kerjasama mereka yang membantu juga memberikan pendapat dan pandangan yang baik.





 ~...SERI BULAN pernah beberapa kali tertinggal kunci rumah sejak menetap di kota metro lagi dan HISYAM sering menjadi tempat mengadu walaupun tidak dijadikan tukang pecah pintu, malahan pernah juga dia bersenda, seandai mereka akan tinggal serumah dia akan sengaja membiarkan SERI BULAN tidur di buaian sampai ke pagi...~




Friday, December 18, 2015

Girls Day Out — siri-siri yang harus disimpan kenangan...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
18-12-2015


Selain dari koleksi gambar dan cerita percutian, saya juga suka simpan gambar-gambar kenangan bersama anak-anak dara saya dalam siri yang saya sebut Girls Day Out.

Sejak anak-anak saya dah besar-besar — dalam ertikata depa dah macam kawan geng sekepala saya — kami selalu keluar bersama-sama. Sejak zaman skulah pun depa tak berapa rajin nak kuar dengan kawan-kawan malah kalu nak tengok wayang pun sayalah biasanya jadi tukang bawak dan bodyguard walaupun depa dah kerja.



Ini lawatan pertama kami ke IKEA Cheras yang baru dibuka. Pada hari pertama pembukaannya dikhabarkan orang bersesak jadi kami menunggu beberapa hari kemudian. Ikea Cheras di Jalan Cochrane hanya 5 minit dari rumah saya. Malah dari bulatan Kg Pandan tu saja dah boleh nampak bumbung dan sigboard besar Ikea.

Tak beli pun sekadar survey saja. Orang ramai tapi tidak bersesak. Hanya mesin automatik bayar parking yang berjela orang beratur. Mujur kami bayar di kaunter bayar barang. 3 jam pertama adalah free.

Agenda paling popular selain wayang dan jimba-jimba kat mall ialah jalan-jalan cari makan.

Last week kebetulan my anak sulung, Dak Amoi balik cuti Keputeraan Sultan Selangor, so kami Girls Day Out lagi. Kali ini Shah Alam Seksyen 7.


Dah lama tak makan di Pak Li’s Kopitiam. Sejak Dak Amoi dah habis skulah kat area situ, kami jarang pegi area Shah Alam.


Saya memilih Kuey Teow Goreng. Sebenarnya tak tau nak pilih apa, sebab di Pak Li’s ni semua sedap-sedap!


Antara menu popular ialah Nasi Ayam. Dak Amoi memilih Nasi Ayam Lemon.


Chak dan Alia masing-masing memilih Chicken Chop. Pun menu popular di Pak Li’s.


Selpiaq baq hang...!



Dessert diorder awal tetapi diminta hantar selepas makan. Ramai tahu, dessert paling top di sini ialah cendolnya.

Selain itu, Snowy Mango. Macam ABC.





Kemudian berpusing-pusing sekitar Seksyen 2 melihat-lihat kawasan skulah Dak Amoi belajar dulu.

Walau dulu agak kerap ke sini belum pernah sekalipun saya masuk Jakel Mall di situ. Takut pun ada sebab mahal.

Kali ini kami singgah. Kerana cuti umum agaknya, Jakel Mall agak lapang. Bestnya meronda dan memilih selain dari staf Jakel yang sangat sabar membantu. Depa macam consultant pulak. Bestnyaa...




Warna blue black agak susah nak cari tapi akhirnya dapat juga.

Phiewww kesat peluh...!




 ~...setiap hari minggu memang ada pekan sehari di hadapan balai raya dn warga Kampung Separuh Desa berduyun keluar berniaga dan tidak kurang sengaja membuang waktu dengan alasan melihat kain tetapi sebenarnya berharap HISYAM akan datang bergandingan dengan SERI BULAN mencari sate burung kuang...~




Sunday, December 13, 2015

Selangor menang...! Mak jangan bising...!

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ahad
13-12-2015

Akhirnya Selangor menang bola semalam.

Kali ke-33 Piala Malaysia. Syabas..!

Macam biasa bila ada game besar camnih kami akan tengok ramai-ramai kat rumah.

Tengok bola mesti meriah dan riuh, kan?

Bebudak siap warning, "Mak jangan bising sangat..!"

Hahaha "Tengok bola mestilah bising baru best!"

Hahahaha me and Toklaki gelak sejiwa.

"Malam esok pun kami nak bising lagi sebab GegarVaganza. Kita kasi gegar ini rumah, kan Ayah?"

Hahahaha bebudak tension. Mak Pak satu kepala.

Yang best, Senin Selangor cutiii...!






 ~......~




Wednesday, December 9, 2015

Kenapa nak dengki? — entri geram manja...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
08-12-2015


Dulu, saya jangka kotornya politik itu tidaklah seteruk ini.

Dulu, saya yakin saya boleh laluinya dengan lancar.

Dulu, saya juga yakin saya boleh kendali setiap cabaran dengan jaya.

Rupanya, memang sangat mencabar walaupun belum sampai goyah lagi kekentalan hati dan semangat saya. Belum menipis keyakinan diri yang saya bina sejak bertahun lamanya. Belum tergoncang kekuatan jiwa saya. InsyaAllah belum.

Tetapi itu bukan bermakna saya tidak memerhati. Tidak berhati-hati. Saya sentiasa bersedia.

Jadi, kalu sesuatu yang depa panggil sebagai “keistimewaan” itu saya miliki kerana diri saya sendiri, korang sakit kat mana?

Bukankah kita diseru untuk sama-sama perbaiki diri dan bersaing sihat untuk memajukan diri dalam kerja. Kerja untuk orang, hasilnya adalah untuk semua. Untuk kita.

Jangan risau tentang lebihnya orang lain dapat, kerana apa yang kita dapat hari ini or mungkin akan datang, wajar disyukuri kerana kita tak pernah rampas hak orang lain.

Kenapa nak dengki?


Tayang-tayang:


Imej saya sebagai diri saya. Cincin besar menggambarkan hati saya yang besar juga badan besar.

Semoga terus tabah!




 ~...jika bukan kerana HISYAM yang senantiasa menjadi pemangkin semangat pendorong kekuatan dan tiang bersandar kala hampir tumbang – walau dia bukan kuat mana pun – tetapi selagi berada di bawah bumbung Teratak Nyatuh yang diyakini kukuh, SERI BULAN tidak akan mungkin menoleh ke arah sungai yang berjeti hampir reput itu di mana mereka pernah tiba kali pertama...~




Friday, December 4, 2015

Putu Perak vs Putu Kelantan: terimakasih pembaca

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
04-12-2015


Sekali sekala bila ada sedikit masa luang yang ada, klik sana sini meninjau beberapa komen yang belum sempat dibaca (malahan lebih banyak yang tidak sempat dibalas), saya sering tertarik dengan sekian banyak perkongsian info dan pengalaman rakan-rakan pembaca.

Entri tentang Putu Perak ni dah lama sangat. Dah 2,3 tahun dulu dah tetapi saya masih menerima komen pada Oktober 24 yang lalu.

Terimakasih kepada sekian ramai pembaca yang sudi berkongsi info bukan sahaja dengan saya tetapi juga pembaca yang lain.


Untuk pengetahuan ini memang gambar ulang siar dari entri tersebut, tetapi pic snap sendiri tidak cilok orang punya.



Kisah tentang Putu Perak ini tersiar di SINI.

Saya juga pernah makan Putu yang ada halba di Kota Bharu Kelantan (tidak tahu di tempat lain ada atau tidak, tak pernah jumpa).




Kisah Putu Kelantan ini juga sudah lama, selama itu juga saya tidak lagi menjejak kaki di bumi Kelantan. Aduhai...rindu Kelantan!

Entri: Jumpa Putu bukan di Pudu.

Entri ini sebagai penghargaan kepada sekian ramai para pembaca yang sudi berkongsi info dan masa untuk memberi komen.

Sekali sekala kita kenang kembali entri lama...





 ~...petang itu Mak Utih begitu gigih membuat Bingka Ubi untuk penganan petang bagi menjamu HISYAM si buah hati teruna pujaan sekampung yang sudah menjadi anak angkat paling tersayang, lalu apabila SERI BULAN disuruh mencari daun pandan, ingin sekali dia menukar daun pandan kepada daun mengkuang...~




Thursday, December 3, 2015

Belasungkawa Pak Yus...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
03-12-2015


Umum mengetahui. Seluruh negara tahu. Malah saya yakin seluruh warga hiburan negara menangisi pemergiannya. Pak Yus Jambu yang menjadi penghibur. Pelawak yang tersendiri.

Pada pagi Isnin lalu, yang menjadi hari pertama grup trio Sepahtu menjadi peneraju segmen Sinar Pagi di konti Sinar.fm, yang saya turut teruja nak dengar....dipenuhi dengan temubual dan perkembangan urusan jenazah.

Suasana sebak dan pilu apabila lepas sorang, sorang rakan-rakan arwah bercakap tentang budi baik arwah. Kenangan pahit manis bersama. Saya yang mendengar turut merasa sebaknya.

Mengenali arwah Pak Yus menerusi siaran di tv dalam sekian banyak program lawak... kita, kami turut merasai kehilangan itu. Sesungguhnya arwah memang menjadi salah seorang penghibur. Menghibur dan mengisi masa lapang kita di hujung minggu.


Membaca beberapa kisah yang ditulis berkaitan arwah, memberikan rasa sebak dan tidak sedikit keinsafan. Insan yang baik bila-bila pun pasti dikenang orang.

Mati itu pasti.

Semoga mereka yang telah pergi, akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.




 ~...bukanlah tidak pernah HISYAM berdepan dengan kematian, bukanlah dia begitu keras hati tidak pernah menangisi kematian jua, cuma apabila dikhabarkan tentang pemergian kedua ibubapanya semasa dia masih bergelut dengan buku dan kuliah di negara jauh bermusim empat, hanya SERI BULAN yang memahami betapa gentarnya dia untuk bersendirian ketika itu...~




Monday, November 30, 2015

Ahh... sebuah rindu

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
30-11-2015


Ahh lamanya tidak bersiaran. Tidak menulis padahal banyak benar perkara yang saya boleh tulis. Jika dulu, ada saja bahan yang hendak ditulis dikongsi.

Hmmm....

Saya berharap sangat saya boleh mengembalikan momentum seorang blogger. Boleh mengembalikan kekuatan semangat seorang blogger. Seperti dulu-dulu. Aduhai.

Untuk permulaan, selamat bercuti sekolah. Selamat bercuti hujung tahun.

Saya merancang untuk terbang juga di bulan Disember, tetapi atas sebab yang tidak dapat dielakkan, jadual terbang saya terpaksa ditunda ke tarikh lain, yang saya pasti sudah tentulah tahun depan.

Kemudian, sepanjang Disember juga saya akan juga sibuk dan menyibuk di beberapa majlis walimatulurus beberapa orang kawan dan saudara-mara.


Simbolik: suara hati saya. Rindu jiwa saya.





 ~...sekian lama kenal dan mengenali, tahu dan mengetahui, diam dan mendiami, sokong dan menyokong, baru kini SERI BULAN sedar HISYAM bukanlah senakal yang dilihat di mata, juga bukan seburuk yang disangka di jiwa tetapi dia tetap menjadi lelaki terbaik yang pernah dikenali juga lelaki idaman yang sukar dimiliki kerana hati sudah terkunci bak mangga besar di pintu pagar...~




Thursday, October 29, 2015

Sri Aman 4D3N: Hari Langsung mujur tiada jerubu langsung

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
28-10-2015


Akhirnya tiba, Ahad 20 September hari langsungnya. Dan tidak diduga, cuaca begitu cerah sekali malahan tiada langsung kesan jerubu. Langit cerah, matahari memancar cantik.

Di sini (dan saya yakin di seluruh negeri Sarawak), majlis kenduri kahwin depa bermula sebelah pagi. Sebab itu persiapan makan minum harus disiapkan seawal jam 4 pagi.


Ini kawasan tukang masak berhampiran bangsal menyediakan lauk pauk. Pemandangan sama seperti juga yang kita lihat di majlis-majlis kenduri kahwin di kampung-kampung kita. Sama.


Seawal jam 8.30 pagi, kumpulan berdikir ini sudah bersedia dengan pakaian sedondon depa dan juga gendang dan beberapa alat muzik lain. Ini dipanggil Zikir Burdah. Mereka akan berdendang lagu seperti marhaban juga.


Sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang kenangan bersama depa ni. Kaum suri rumah ini sangat mesra dan peramah dengan saya. Wahhh seronoknya saya dapat kenal dengan depa ni. And saya kagum dengan aktiviti depa nih...!


Para tetamu iaitu orang-orang sekampung yang dijemput akan hadir seawal jam 8:30 pagi juga dan sama-sama duduk menikmati alunan lagu Zikir Burdah.

Ada seorang emcee wanita (jika tak silap Dayang Nafsiah namanya) yang bercakap dari atas serambi rumah (saya lupa nak snap dia). Celotehnya menghiburkan.


Selpiaq...!


Para tetamu kemudian dijemput ke khemah makan secara serentak. Itulah yang saya rasa berbeza dengan cara kenduri kita. Di tempat kita, tetamu makan dalam tempoh masa yang ditentukan (beberapa jam mengikut jadual dalam kad jemputan). Di sini, tetamu makan secara serentak dan amat jarang tetamu yang datang lambat. Budaya yang sudah sebati.


Makan secara bufet.



Ini ialah umbut kelapa yang saya tayang dalam entri sebelum ini. Walaupun nampak macam Masak Lemak Cili Padi, tetapi ianya tidak pedas hanya lemak. Saya rasa kuning itu hanyalah sekadar warna kunyit.


Dan di sini, hampir semua tetamu makan menggunakan sudu dan garfu. Tempat basuh tangan tidak disediakan, tetapi kumpulan penanggah (tidak pun berbaju t-shirt sedondon seperti di tempat kita), akan berulang alik mengutip pinggan dan sudu untuk membasuh bagi diulang-guna.

Apapun, saya lebih selesa makan dengan tangan.



Pengantin tiba seawal jam 11:00 pagi. Lihat serambi di atas situ, di mana set karaoke dikawal dan majlis diselia oleh seorang emcee.


Ini adalah bacaan gurindam dan pantun nasihat oleh orang lama. Ada nama khasnya, tetapi saya dah lupa. Ianya lebih kepada gurindam nasihat kepada pasangan mempelai. Seronok juga. *Pakcik berbaju kuning coklat itu adalah pasangan saya bertandak malam tadi.


Berbaju merah ialah rombongan pengantin perempuan dari Kelantan.


Dan di tengah kemeriahan pengantin bersanding, direnjis mawar dan tepung tawar, tiba-tiba depa umumkan pemenang Pertandingan Bertandak malam sebelumnya.

Wakakakkaa! Saya adalah pemenang utama. Menerima hadiah wang tunai (RM100 berbahagi dua dengan pasangan) dari penaja yang anggun berbaju merah menyala. Orang kaya dari Miri tuh...!

Pemenang kedua dapat RM50. Saya rasa depa sengaja nak bagi saguhati kepada tetamu-tetamu luar yang datang dan bersikap sporting. Apapun ianya menjadi kenangan manis buat saya.


Selepas makan (di mana jamuan saya nampak selesai sekitar jam 11:00 sebelum pengantin tiba) tetamu dijemput untuk berhibur dengan berkaraoke dan berjoget lambak lagi di laman pelamin.

Majlis berakhir secara beransur sekitar jam 1:00 petang di mana saya lihat depa sudah mula mengemas dan menjelang Zohor tiada lagi sebarang aktiviti kenduri di khemah makan.


Saya pulang pada hari yang sama dengan penerbangan pukul 4:00 pm. Alhamdulillah saya selamat tiba pada petang itu dengan selamatnya walaupun pulang bersendirian dan cuaca di KL terutama sekitar KLIA, dikhabarkan agak kurang baik dan beberapa penerbangan tertangguh.

Dan tanpa diduga lagi, esoknya (Isnin), jerubu kembali melanda Sri Aman dan ia menjadi kawasan paling tinggi IPUnya.

Tayang-tayang:


Buah tangan dari tuan rumah pengantin kepada saya. Ada kek lapis, kuih karas dan bunga telor. Ada juga kraftangan (letter holder) yang menarik. Saya suka!



Ini kek lapis Sarawak yang beli sendiri di Pasar Tamu semasa saya singgah pada hari semalamnya. Saya tempah dari peniaga di situ. Dia buat pada hari saya menempah dan dihantar ke rumah saya menginap pada malam itu juga. Fresh!

Kenangan ke Kampung Hulu sangat indah dan menyeronokkkan. Tidak pernah saya menduga pengalaman ke sana menjadi suatu pengalaman mahal dan bermakna.

Di kesempatan ini, saya mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada seluruh warga Kampung Hulu, Sri Aman terutama sekali keluarga Kak Roskalas, keluarga Abang Wahab (keluarga pengantin), dan juga keluarga Syukri dan Kamisah tempat di mana rumah mereka menjadi tempat penginapan saya sepanjang di sana. Sungguh selesa kerana saya diberi bilik lengkap dengan bilik air untuk saya seorang.

Semoga suatu hari nanti saya berkesempatan untuk ke sana lagi.

Sarawak memang best!




 ~...HISYAM akhirnya menyatakan hasrat hatinya untuk pulang sebentar ke kota metropolitan menjengah segala peninggalannya yang dulu sangat ingin ditinggalkan tetapi apabila SERI BULAN sering mengingatkan bahawa yang ditinggal pergi bukan bererti tidak bermakna tetapi menjadi kenangan abadi yang harus dihargai, lalu HISYAM berkira-kira hendak membeli aset tambahan buat bekal di hari muka...~




Thursday, October 22, 2015

Sri Aman 4D3N: Malam Berzanji, Malam Berjaga, Malam Bertandak hati jangan riak

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
22-10-2015


Pada sebelah malamnya... ada acara berzanji di atas rumah. Jika pengantinnya anak perempuan, biasanya dibuat Malam Berinai. Dan kerana di sini pihak lelaki, hanya majlis marhaban dan berzanji diadakan. Di sini disebut Malam Berdikir.


Seronoknya saya berpeluang melihat masyarakat setempat Kampung Hulu, Sri Aman ini berzanji dan berlagu di ruang tamu. Ohh... kampung yang masih tebal dengan dengan budaya ini sangat menarik hati saya.

Rombongan dari pihak pengantin perempuan juga dijemput datang (rombongan dari Kelantan dan menginap di hotel di sekitar, tidak pasti pula saya di mana).

Depa pun nampak kagum dan seronok melihat kumpulan marhaban sebegini. Di kampung-kampung hari ini pun masih ada yang aktif dalam kumpulan sebegini. Cuma di bandar-bandar, kebanyakan yang aktif hanyalah kaum wanita. Amat kurang nak lihat kaum lelaki di bandar aktif perkara gini.


Selesai berzanji dan dijamu makan malam, ada lagi acara yang ditunggu-tunggu ramai.

Acara Bertandak.

Okey, bertandak sering dikaitkan dengan budaya menari-nari, right? Atau lebih mudah disebut sebagai Joget Lambak.

Yea... menari di sini bukan melompat tetapi menari perlahan dengan rentak yang tertentu mengikut irama pukulan gendang oleh kumpulan wanita. Ohhh teruja betul saya tengok.


Depa ini akan memukul gendang dan bernyanyi lagu-lagu rakyat seperti bergurindam dan berpantun seloka dengan ayat-ayat yang manis dan bahasa bunga-bunga seperti zaman dahulu kala. Ahhh bestnyaaa...!

Malam Bertandak memang sudah menjadi sebahagian budaya dan acara di sini setiap kali ada majlis kenduri kahwin. Hampir semua penduduk kampung akan keluar beramai-ramai memeriahkan malam berjaga iaitu Malam Bertandak.

Di tempat-tempat lain saya kira mungkin disebut Joget Lambak. Malam di kampung saya dahulu kala juga ada acara sebegini yang kami sebut Malam Ghazal Party. Ada pentas, ada band, ada penari. Dan penari biasanya kaum lelaki lembut (mudah sebut, pondan) yang menari. Masa tu saya masih kecil benar. Tetapi bila saya dah masuk sekolah, acara Malam Ghazal Party ni semakin kurang dan terus hilang. Mungkin ianya dianggap sebagai bertentangan dengan budaya dan agama. Saya kira begitu juga...


Bagi masyarakat di sini, Malam Bertandak menjadi sebahagian budaya dan adat resam. Malahan yang menyertai bertandak ini hampir kesemuanya adalah kaum veteran yang sangat pakar tentang step bertandak. Melihat depa bertandak, sangat mengasyikkan terutama melihat orang-orang lama yang handal mengatur langkah mengikut irama gendang dan alunan lagu. Wuaaaa! saya nak cuba!


Melihat deretan kerusi di kiri kanan laman berhadapan pelamin, mengingatkan saya pada cerita Nasib DoReMi yang ada watak Pak Maun (by arwah Mahmud June) yang menari bagai nak rak. Hahahah!

Memang nampak ramai berwatak seakan Pak Maun malam itu cumanya tariannya mereka lebih lembut dan bersopan.


Saya kagum dengan makcik-makcik ini yang begitu pandai bergendang dan berdendang lagu tanpa perlu melihat not atau lirik pun. Wahhhh handalnya depa!


Pada malam itu juga diadakan pertandingan Bertandak yang bersyarat mesti berpasangan lelaki dan perempuan dan depa menggalakkan pasangan tempatan dengan orang luar contohnya rombongan pengantin dari Kelantan dan juga saya sendiri. Hahahahah...!


Pakcik ini pun bukan segak lagi bertandak. Asyik sekali saya tengok depa mengatur langkah.

Biasanya malam bertandak akan berlanjutan hingga ke pagi kerana ianya dianggap suatu hiburan untuk para pekerja yang bertungkus lumus memasak dan membuat persiapan kenduri besar begini.


Saya sempat buat rakaman setiap gelek dan goyang depa malam tu.

Part saya? Hahahaha..! cikit jer lah tayang. Ada rakaman lagu penuh tapi untuk simpanan peribadi je lah.


Sekadar mencuba suka-suka dan bersikap ‘sporting’. Maklum perkara sebegini bukan selalu dapat kita jumpa atau alaminya. Sudah tentu saya tidak mahu lepas peluang mencuba beberapa kali walaupun step memang sumbang-mambang tapi takda sapa kisah pun. Yang seronok, semua orang bersuka ria dan beramah mesra.




Saya tidak tahu sehingga jam berapa Acara Bertandak berlangsung kerana kami pulang sebelum lewat malam.

Ya saya tidak menginap di rumah Tuan Kenduri tetapi menginap di rumah adik Kak Ros yang lain di taman berhampiran yang cuma 5 minit berkereta.






 ~...pernah sekali dulu ketika ada majlis berzanji di rumah sebelah baruh, HISYAM terperangkap oleh pandangan mata anak dara Pak Imam yang bagai sengaja datang awal dan menyibuk-nyibuk di ruang ambin, sehinggakan SERI BULAN merasa HISYAM mungkin tidak akan pulang malam itu tetapi apabila lelaki itu begitu mendesak untuk balik segera, dia segera mengerti erti tidak sudi...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails