28-02-2011
Berdasarkan kisah benar. Tetapi nama-nama watak dan lokasi kejadian tiada kaitan dengan kita atau mana-mana insan yang membaca kisah ini.
Segalanya bagai mimpi. Mungkin boleh juga dianggap mimpi.
Kira-kira 25 tahun lalu, LUNA (bukan nama sebenar) pernah tinggal di suatu kawasan perumahan dengan menyewa sendirian. Pernah melihat seorang jejaka yang ‘sedap mata memandang’ tetapi tidak pernah diketahui namanya. Kekerapan bertembung di persekitaran kediaman, hanyalah sesuatu yang biasa. Lumrah bagi mana-mana orang pun.
Lalu masa berlangsung begitu lama. Bila LUNA sudah berumahtangga, berkeluarga dia tidak pernah ingat tentang jejaka tersebut. Langsung tidak.
Takdir Tuhan juga yang menentukan gelombang pasang surut kehidupan termasuk keadaan rumahtangga LUNA yang terpaksa berakhir. Berakhir dengan baik sekali, tanpa dendam tanpa perebutan malah LUNA sangat berterimakasih kepada bekas suami yang memahami keadaan mereka yang mana jodoh sampai di situ sahaja. Hati yang terbuka menerima takdir, memudahkan lagi hubungan mereka terpaksa diubah menjadi sekadar kawan baik sahaja.
Takdir juga menentukan, LUNA harus menerima pula sesuatu yang dianjurkan oleh orang yang paling dihormatinya. Bila anjuran dari orang tua yang lebih merupakan permintaan, jika tidak boleh dipanggil wasiat sekali pun, tentulah amat berbesar hati andai dapat dipenuhi tanpa berbelah bagi.
Atas sifatnya yang tidak diajar untuk membantah, mengingkari atau melawan, lalu LUNA dinikahkan dengan seorang lelaki yang tidak pernah diketahui namanya sehingga di hari penyatuan mereka. Jejaka itu adalah yang disebutkan di atas tadi, namanya ULULA (Memang pelik nama itu, kan?).
LUNA tidak pernah menduga lelaki itu sudi menerimanya dan anak-anaknya dengan penuh ikhlas, lalu bila kali pertama mereka berhadapan selepas akad nikah, dia lalu bertanya, “Kenapa saya?” (soalan ini sebenarnya tidak memberi makna lagi kerana akad nikah mereka sudah sah).
ULULA tidak menjawab, tetapi kemudian dia membawa LUNA dan 2 orang anaknya ke sebuah premis di sekitar Pudu. Lalu LUNA bertambah hairan kerana dia masih ingat tempat itu, dan ketika itu barulah menyedari ULULA adalah benar seperti yang disangka adalah jejaka yang pernah dilihatnya 25 tahun dulu.
Semasa ULULA begitu sibuk di kedai itu berurusan seolah-olah dia berkuasa, lalu LUNA bertanya kepada seorang gadis.
“Memang dialah yang punya kedai ini, dan dia memang bos saya.” (Isu kedai ini tidak penting pun sebenarnya).
Sehari selepas pernikahan – LUNA masih di rumah lamanya dan ULULA kembali ke rumahnya, yang tidak diketahui LUNA di mana — mereka balik ke kampung LUNA untuk menjengah keluarga, sekaligus memperkenalkan ULULA.
Ternyata dalam keadaan LUNA kesamaran menjalani kehidupan baru, seluruh ahli keluarga sudah bersedia dan menerima ULULA seolah-olah lelaki itu sudah menjadi kesayangan mereka sekian lama. Pelik...
Segalanya akan berjalan mengikut takdir ALLAH, dan LUNA sentiasa yakin bahawa apapun jua yang berlaku, pasti ada hikmah dan balasan. Dia harus sentiasa positif dan yakin...
ULULA tidak menjanjikan apa-apa, tetapi LUNA melihat keikhlasannya melalui perbuatan dan kehidupannya.
ULULA pernah berkata, “Saya tidak mahu berjanji apa-apa. Tetapi saya memang menanti awak, sejak dulu. Kesilapan saya adalah kerana membiarkan masa berlalu terlalu lama sehingga awak berada semakin jauh dari saya....”
“Hari ini, saya mahu awak sentiasa dekat dengan saya kerana saya sentiasa merasa awak hadir dalam jiwa saya, bertahun-tahun lamanya. Andai awak merasa ini sebagai sebuah mimpi, teruslah bermimpi.”
— segalanya begitu pantas berlaku, dalam masa yang sangat singkat. Seolah-olah seperti mimpi, dan jika pembaca yang membaca menganggap ini sebagai sebuah mimpi... ya, mungkin ini sebuah mimpi kerana bukan semua orang berpeluang mengalami keadaan seperti ini —
~...HISYAM sendiri termangu bila didedahkan kisah di atas, lalu untuk pertama kalinya dia begitu takut andai ditakdirkan menjadi orang yang terlewat seperti ULULA...~