Showing posts with label kehidupan. Show all posts
Showing posts with label kehidupan. Show all posts

Tuesday, May 12, 2020

Air apakah yang paling sedap?

Selasa
12-05-2020

Hari ini adalah tarikh akhir bagi PKP Fasa 4. PM sudah mengumumkan, PKP Bersyarat akan disambung sebulan lagi, yakni sehingga 9 Jun 2020. Lepas Raya yer kawan-kawan.

Itu juga bermakna saya akan terus berada di rumah. Work From Home sehingga tarikh itu. Seronoknya.

Tarikh untuk bercuti Raya juga sudah diumumkan oleh HOD. Cuti akan bermula 27–29 Mei (compulsary leave), dan ofis akan dibuka semula pada Isnin 1 Jun.

Bagi setengah orang, or maybe ramai orang, apalah makna Raya jika tidak balik kampung, kan?

Saya, dan keluarga, sudah biasa berhari raya di rumah sendiri terlebih dahulu sebelum kami balik ke kampung pada Hari Raya atau selepas raya pertama. Jadi persiapan kami tetap akan jadi sama seperti tahun-tahun sebelum.

Persiapan rasanya, akan berkurangan berbeza tahun sebelum. Saya tidak order sebarang kerepek berbalang seperti dulu, atau biskut. Setakat ini belum ada senarai kuih yang akan dibeli. Mungkin bergantung pada masa. Adakala, anak-anak akan beli serba sikit untuk rumah.

Saya, lebih nak tumpu kepada menu masakan. Pulut sudah dibeli dan itu tentu menjadi menu wajib hidang nanti.

Korang plan, apa menu utama?

~~~~~

Cerita tentang menu Eat Clean saya.

Kali ini saya hendak tulis tentang air. Air apa saya minum?

Sudah beberapa tahun saya tidak sentuh air bergula. Minum semua air yang tawar atau jus buah tanpa gula.

Kini saya minum Shake HerbaLife setiap pagi dan malam. Sekarang bulan puasa, saya ambil Shake semasa berbuka dan juga sewaktu bersahur. Juga minum air kosong + Aloevera dan juga Teamix (Herbalife).

Sesekali, saya pelbagaikan rasa Shake. Campur buah. Untuk tambah rasa sedap. Pada waktu sahur, saya blend shake dengan kurma.

      

     
Paling best blend dengan Buah Naga.

Kadang-kadang campur cendol.




Untuk orang yang ada gula tinggi seperti saya, setiap jus buah adalah tanpa gula. Dulu rasa susah. Kena ada semangat dan rasa gigih nak sihat, pejam mata dan sekarang, yang susah itu sudah menjadi mudah. Biasakan yang betul.

Untuk mendapatkan hasil kesihatan yang baik, sudah tentu air kosong menjadi keutamaan. Air kosong zero kalori. Setiap hari saya kena pastikan sekurang-kurangnya 3 liter air kosong mesti dihabiskan. Biasanya lebih.

Siapa lagi nak jaga kesihatan kita, jika bukan diri kita sendiri?


 ~...walau Mak Utih sedia hafal apa yang digemari oleh bujang kesayangannya tentang minum petang dan menyarap pagi, tetapi tetap tidak boleh menandingi segala yang dia tahu tentang Pak Utih lalu apabila SERI BULAN cuba mengambil alih, HISYAM merajuk kerana terminum Teh Tarik terlajak sejuk...~



Tuesday, May 5, 2020

PKP: Kita Jaga Kita > Depa Jaga Depa, kini #Aku Jaga Aku...

Thalatha
05-05-2020

Sepanjang musim PKP, pelbagai benda berlaku. Tiada lain yang dibincangkan. Ekonomi, situasi, perancangan, kebimbangan, tidak terkecuali rungutan. Komplen sana sini.

Rata-rata kita tahu situasi kita bagaimana. Peringkat awal dulu, semua berkobar. Kita Jaga Kita. Semua saling memberi nasihat. Kemudian mula timbul kerisauan bilamana ada segelintar orang – segelintir? macam ramai jer? – yang makin berani melawan, menentang arus suasana, mengkritik dan mengambil langkah sendiri dengan membuat perkara yang dia rasa betul, padahal langkah itu silap dan salah sama sekali. Tak takut langsung dengan denda RM1,000 tuh.

Apalah daya kita untuk menasihati orang lain yang tiada kaitan dengan hidup kita, selain dari sebagai ahli masyarakat dan rakyat sahaja. Semakin banyak saranan dan nasihat, semakin ramai pula yang berani bertindak sendiri.

Lalu, bab Kita Jaga Kita tu dah semakin hambar. Saya rasa Depa Jaga Depa jer. Kemudian, semakin ramai pula yang mula bosan dan letih untuk memberi semangat, rasa hambar dengan menulis nasihat, lalu hashtag sudah mula bertukar: #AkuJagaAku.

Sesuatu perkara, or situasi bila terlalu lama, lumrah manusia akan bosan. Ramai sudah bosan duduk di rumah. Mungkin tidak pandai mengisi masa atau depa memang dari dulu jenis tak pandai duduk rumah. Gelisah. Memberontak.

Bagi yang ada kerja, Work From Home pula sudah makin selesa dengan pejabat di rumah sendiri, termasuk saya. Dah mula best, kan?

Our HODs (Head of Department) sudah mula buat survey, berapa ramai yang ingin teruskan WFH berbanding dipanggil masuk ofis. So far, belum ada yang bersedia untuk dipanggil. Kecuali dipaksa – ini melibatkan superior yang harus menghantar report kepada HOD dan harus meeting untuk langkah seterusnya.

Kawan-kawan, di mana pun kita berada samada di rumah sendiri atau tersangkut di rumah family di kampung or tersangkut di rumah anak di bandar, kita tetap masyarakat yang bertanggungjawab. Kena ada rasa prihatin kepada masyarakat yang lain. Sikit pun takpa. Jangan bertindak sendiri seolah-olah virus itu ibarat bakteria demam yang boleh sembuh dalam masa 2–3 hari. Set dalam kepala, virus itu boleh membunuh.

Sharing menu Eat Clean kali ini:
Saya buat Chicken Ball sendiri. Selama ini, semua beli yang ready made. Orang lain sebenarnya, dah ramai yang pandai buat ball sendiri, saya jer baru nak belajar. Pelan-pelan lah belajar.


Isi ayam yang digaul bersama garam bukit, lada hitam, garlic steak seasoning – blend sekali.



Ini antara menu yang terhasil dengan Chicken Ball buat sendiri. Sup Suhuun bersama sayur dengan tambahan isi ayam dibakar AF atau Bergedil Ayam goreng AF, dan Sambal Sihat.

Selain dari menukar minyak masak kepada minyak bunga matahari (minyak kelapa dan minyak zaitun sangat digalakkan), saya juga buat sendiri stok Sambal Sihat. Sambal yang ditumis seperti sambal tumis nasi lemak cuma tiada gula dan perasa. Ianya sedap.

Kadang terfikir, saya ni dah tua, bolehkah nak buat semua benda nih?

Sesuatu yang baru akan menjadi kebiasaan dan kesukaan bilamana kita bersedia mencuba, berusaha melakukannya dan gigih istiqamah. InsyaAllah. Doakan saya yer.


 ~...rupanya tidak mudah untuk melepas diri dari leteran Mak Utih bilamana SERI BULAN berdegil keras hati buat kepala batu hendak juga mengikut HISYAM ke jeram kerana kepingin mandi berendam sambil menunjuk skil berenang kuak lentang dan HISYAM sendiri bagai terasa hendak menguji skil terjun tiruk kepala dulu...~



Thursday, April 23, 2020

Kelas mengaji al-Baghdadi...

Khamis
23-04-2020

Selepas saya menulis perkara besar yang berlaku semasa tempoh berehat blog, kisah saya dapat menantu, saya juga ada aktiviti peribadi sendiri.

Saya join kelas berbayar untuk mengaji. Sebenarnya sebelum saya join, setahun lebih saya cuba mencari tempat yang sesuai dengan jadual hidup saya.

Surau taman saya memang sejak dulu ada kelas mengaji. Tetapi masa bekerja saya tidak memungkinkan saya sertai. Majoriti sesuai untuk kaum suri rumah.

Pusat Pengajian al-Baghdadi, memang sudah lama terkenal. Selalu dah saya nampak iklannya lalu lalang di FB. Pusat paling hampir dengan saya, Ampang. Tetapi untuk ke Ampang, Tuhan sahaja yang tahu betapa jemnya kawasan tu. Lalu tertangguh.

Kemudian saya ternampak iklan Pusat al-Baghdadi Taman Permaisuri Ceras. Ada jadual malam. Yes. Dan akhirnya sudah hampir setahun saya menjadi pelajar.


Kelas bermula 8.30 malam, setiap Isnin. Dan setiap hari Isnin, saya akan overtime 1 jam sahaja, kadang-kala skip terus (ini bila hari hujan dan saya jangka jalan dari ofis akan jem teruk). Biasanya saya singgah surau di taman saya untuk maghrib dan baru ke kelas. Segalanya mudah sangat.


Sebahagian pelajar kelas saya, di hari penyampaian sijil Kelas Pengajian Tamhid (pengajian kami peringkat pertama).

Bersama ustaz kami, Ustaz Amir – mendapat anugerah Guru Cemerlang, muda, bujang, baik dan berlekuk pipi. Ahaks!

Bersama salah seorang rakan blogger (juga friend di FB), ABAH ZINO dan isteri Kak Aisyah, yang  juga merupakan pelajar al-Baghdadi. Kelas depa di tingkat atas, mereka ni pelajar senior.

Saya baru sahaja memulakan Kelas Tajwid, apabila kita mula dikenakan PKP.

Kelas terus berlangsung, secara online.


 ~...semasa majlis berzanji di atas rumah, meski sayup berlawan bunyi hujan yang tetiba menyimbah bumbung zink Teratak Nyatuh, menjadi rentak lagu yang berirama indah tanpa nama, membuatkan setiap kali SERI BULAN memandang ke mata HISYAM, lalu pandangan bertaut... ops! jangan biarkan pandangan bertaut, bahaya...!...~



Tuesday, April 14, 2020

Stay at Home – kita mesti menang...!

Selasa
14-04-2020

Kita sudah hampir menamatkan fasa kedua PKP. Akan masuk fasa ketiga pula. Rasanya majoriti kita sudah betah dengan keadaan ini. Sudah biasa dengan rutin baru. Sudah selesa dengan keadaan ‘terkurung’ begini.

Buatlah apa sahaja asal kita tidak keluar dari kawasan rumah. Bagi yang ada halaman, ada kebun belakang rumah (terutama mereka yang tinggal di kampung-kampung), kebosanan tidak terasa sangat. Masih boleh keluar dari rumah, ke laman menebas rumput atau membelai pokok bunga atau mula berjinak menanam. Dulu selalu tak ada masa, sekarang dah boleh mula belai hobi baru.

Yang ada kebun belakang rumah pun, alahai... seronoknya. Tidaklah bosan sangat asyik mengadap tv dan meja makan sahaja pagi petang siang malam.

Saya membayangkan rumah kampung saya. Yang luas (dua tingkat). Ada laman luas depan belakang. Best kalu time camni, saya ada di kampung. Boleh juga jelajah bahagian belakang rumah, tengok ubi kayu or apa saja yang boleh ditengok.

Tapi, kalu dah sebulan dua camni... lama-lama botak dah laman sebab kena tebas. Pastu dah takda benih pokok dah nak tanam. Semua benda dah buat, lama-lama kehabisan perkara nak buat.

Perkara paling ramai kita buat ialah projek dapur, kan? Mengemas dapur or mencuba resipi baru. Or ulang-buat menu yang dulu selalu tak sempat nak buat.

Saya, tak banyak resipi baru yang saya nak cuba. Lagipun, saya keluar menambah barang dapur setiap 4-5 hari, sekali sahaja. Malas sebenarnya, takut bersesak-sesak. Sebab itu, saya akan pergi seawal jam 7.00 pagi dan sebelum 9 (supermarket bukak jam 8), saya mesti balik. Biasanya selepas jam 9.00 pagi, orang mula ramai. Jadi tidak banyak barang yang saya dapat angkut, sementelah petiais pun cuma selebar tangan sebelah saya saja. Tak muat...!

Dak ALIA yang rajin nak masuk dapur buat itu ini. Dia akan order dari saya apa saja bahan yang dia hendak, selepas dia Google menu tu.




Buttermilk Chicken.

Saya sendiri tak pernah masak menu ni, ALIA cuba buat. Agak berjaya.

Haritu saya nampak kawan lama sekolah saya, dia keluarkan barangan antik koleksi dia dan cuci. Wahh saya takda koleksi apa-apa untuk diselongkar-cuci pun.

Minggu pertama dulu, kami kemas almari kasut. Pastu kemas almari buku. Pastu dah takda kemas-kemas dah.

Kalu dah takda kerja nanti, saya nak selongkar almari tudung dan lipat susun semula. Kalu rajin....

Korang kemas apa?




 ~...air tempayan tepi tangga memang sentiasa penuh sepanjang musim hujan kebelakangan ini dan tangga sentiasa basah dek tempias, ambin tidak berdinding sentiasa dingin nyaman pagi petang siang malam, memberikan pula suasana indah kala malam menjelang semasa pelita minyak tanah meliuk api malap-terang di kala Mak Utih menganyam tikar mengkuang dan HISYAM penjadi penanti SERI BULAN menjadi peneman...~



Monday, April 13, 2020

Kerinduan PKP – kita sama sahaja...

Monday
13-04-2020

Kerinduan.

Bagi mereka yang terpaksa berjauhan dengan keluarga sepanjang PKP, kerana tugas terpaksa atau kerana tidak sempat balik, kerinduan itu adalah sebuah kerinduan paling puncak.

Bagi yang menjalani kehidupan yang hampir sempurna – keluarga lengkap, gaji masih jalan, kerja tetap ada, makanan sentiasa ada atas meja – tetap juga ada banyak kerinduan yang disimpan dalam jiwa. Right?

Kehidupan normal yang dahulu. Rutin yang dahulu.

Pagi-pagi bergegas pergi kerja, hantar anak ke sekolah, turunkan isteri di depan tempat kerjanya (sampai kadang tak sempat nak salam cium dahi pun sebab kalut nak elak jem), makan luar setiap hujung minggu, ngeteh kedai mamak walau minum hanya segelas teh tarik gelas kecik, sosial life... hmmm banyak. Sangat banyak.

Apa yang berlaku sekarang, rutin yang dulu sangat-sangat jarang dibuat, sudah menjadi sebahagian rutin harian pula. Memasak. Haii... dulu memasak boleh bilang dengan jari. Sekarang, pepagi dah menung tengok dalam petiais. Apa menu nak masa hari ini. Apa resipi nak cuba lagi.

Pastu, kena tengok kerja sekolah anak-anak lagi. Serabut juga tu. Bagi yang ada anak-anak kecik yang belum bersekolah, lagi pening saya rasa. Mana nak jawab kenapa tak boleh keluar, kenapa tak boleh main kat luar... kenapa kita duduk rumah saja...

Saya, hari-hari dengar anak-anak jiran keliling melalak, menjerit, bergaduh sesama adik-abang. Saya tahu depa bosan dah. Depa rimas. Boleh serabut mak-ayah yang ada anak kecik yang sukar untuk difahamkan situasi kini.

Kerinduan saya?
Hampir sama dengan setiap orang.

Antara yang lain, saya rindu rutin brisk walk saya.


Saya ke sini hampir setiap Sabtu or Ahad. Walau biasanya seorang, tapi saya layan jer. Now saya rindu tempat ini.


Apa kerinduan korang?

Tayang-tayang AAEatClean:




Nasi beras perang. Pertama kali, susah nak makan sebab ia tawar. Cara terbaik, lauk kena sedap. Ikan Bawal Emas grill (samada AF atau microwave), perap dengan Smoked Paprika. Ulam mentah atau sayur yang dicelur. Yaaa... saya makan ikan tu, seekor.



 ~...mengajar diri sendiri untuk mahir menanak nasi di dapur kayu beratang tinggi, Mak Utih menyimpan geram sendiri bilamana setelah setengah hari masuk belukar di sebelah baruh semalam, SERI BULAN masih tidak tahu mana beluti mana kayu jati malah HISYAM turut disalahkan kerana mengutip kayu api tanpa tahu mana tempurung mana kayu semut sudah hurung...~...~



Thursday, December 3, 2015

Belasungkawa Pak Yus...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
03-12-2015


Umum mengetahui. Seluruh negara tahu. Malah saya yakin seluruh warga hiburan negara menangisi pemergiannya. Pak Yus Jambu yang menjadi penghibur. Pelawak yang tersendiri.

Pada pagi Isnin lalu, yang menjadi hari pertama grup trio Sepahtu menjadi peneraju segmen Sinar Pagi di konti Sinar.fm, yang saya turut teruja nak dengar....dipenuhi dengan temubual dan perkembangan urusan jenazah.

Suasana sebak dan pilu apabila lepas sorang, sorang rakan-rakan arwah bercakap tentang budi baik arwah. Kenangan pahit manis bersama. Saya yang mendengar turut merasa sebaknya.

Mengenali arwah Pak Yus menerusi siaran di tv dalam sekian banyak program lawak... kita, kami turut merasai kehilangan itu. Sesungguhnya arwah memang menjadi salah seorang penghibur. Menghibur dan mengisi masa lapang kita di hujung minggu.


Membaca beberapa kisah yang ditulis berkaitan arwah, memberikan rasa sebak dan tidak sedikit keinsafan. Insan yang baik bila-bila pun pasti dikenang orang.

Mati itu pasti.

Semoga mereka yang telah pergi, akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.




 ~...bukanlah tidak pernah HISYAM berdepan dengan kematian, bukanlah dia begitu keras hati tidak pernah menangisi kematian jua, cuma apabila dikhabarkan tentang pemergian kedua ibubapanya semasa dia masih bergelut dengan buku dan kuliah di negara jauh bermusim empat, hanya SERI BULAN yang memahami betapa gentarnya dia untuk bersendirian ketika itu...~




Friday, October 16, 2015

Sri Aman 4D3N: ke Pasar Tamu lagi kerana Mee Kolok menanti...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
16-10-2015


Sabtu, 19 September. Sri Aman, Sarawak. Hari ke-3.

Kami ke Pasar Tamu lagi sekali. Kali ini masuk dari pintu utama. Melihat persekitaran dengan lebih jelas dan memuaskan hati.


Pintu utama. Posing sebagai bukti kehadiran, kunun.


Sama juga seperti pasar kita. Gerai yang panjang menjual pelbagai jenis makanan untuk sarapan pagi. Ada banyak jenis kuih yang serupa sepertimana di tempat kita. Tetapi tetap ada menu tradisi orang Sarawak yang dijual. (Lama sangat saya menangguh menulis entri, saya terlupa banyak info dan nama kuih).


Tapai beras (bukan pulut) yang dibungkus dengan daun pucuk kelapa. Unik kerana di tempat kita tapai dibungkus dalam daun keladi atau daun getah.


Saya beli juga untuk merasa. Rugi tidak mencuba. Sedikit tawar. Mungkin ianya baru di lidah saya, saya hanya anggap, tapai pulut lebih enak. Even tapai ubi pun saya kurang gemar.


Gerai-gerai yang memanjang sebegini mengingatkan saya kepada Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Rata-rata yang berniaga ialah kaum wanita. Mesra peramah apalagi bila tahu ada ‘Orang Malaya’ datang meninjau bertanya-tanya sambil snap sana, snap sini.


Nasi Lemak Sri Aman. Tiada daun pisang pun. Dibungkus dalam plastik jernih dan diikat seperti bunjut sebegitu. Kacang gorengnya nampak mewah sekali. Apapun nasi lemak tidak rare lagi. So tak beli.


Pelbagai jenis beras kampung dengan nama tersendiri yang turut dijual. Tidak. Saya tak beli. Rasa leceh nak bawak balik nanti.


Lihat udang galah laut yang besar tu. Lupa sekilo berapa RM. Kak Ros beli yang sepinggan besar tu. Ikan besar tu ialah Sembilang Laut. Wahhh seekor camtu kalu buat kari...terangkat baq hang!



Ikan salai. Tradisi. Banyak dijual. Cara simpan orang dulu-dulu supaya ikan tahan lama. Sebungkus (ada kira-kira 3–4 ekor, RM10). Tak beli pun.



Telur Ikan Buntal yang telah dijeruk-asinkan. Last pek. Saya beli untuk seorang kawan yang mengirim.


Ok. Untuk sarapan pagi itu, kami singgah di kedai makan berhampiran balai polis Sri Aman (bekas balai suami Kak Ros bertugas puluhan tahun dulu). Dulu gerai ini menjadi milik Kak Ros berniaga, kini diambil alih oleh adiknya setelah Kak Ros sekeluarga berpindah ke Semenanjung.


Ada ker yang tak pernah tengok or rasa Mee Kolok? Mee Kolok menjadi menu tradisi yang popular dan kebanggaan orang Sarawak. Ianya mee kering yang dicelur dan dihidang bersama sayur, sup daging dan sambal kicap yang enak. Saya makan satu mangkuk licin! Yummy sangat!

Balik semula ke rumah Abang Wahab (rumah kenduri) kami menyambung rewang yang meriah dan semakin ramai orang.


Ok nak tunjuk bagaimana rupa Sayur Pucuk Midin. Digoreng belacan seperti kita buat Kangkung Goreng Belacan. Arrhhhh! Memang enak.


Menu tengahari untuk kami yang merewang petang itu (selain kuih-muih) ialah juga Asam Rebus. Buah seakan Pisang Kaki rupanya buah asam yang masam dan sesuai dimasak rebus. Hmmm saya terlupa nak snap buahnya.

Ada entri tentang persiapan lebih rapi, akan saya tulis nanti.



 ~...mendung kelabu dek jerubu tidak lagi menjadi kelambu di hati malahan HISYAM yakin bahawa SERI BULAN akan lebih gembira bila nanti kala bulan mengambang mereka dapat sama-sama berdendang lagu riang di ambin serambi Teratak Nyatuh sambil Mak Utih menanti di tangga tengah dan Pak Utih menunggu di tangga bawah...~




Thursday, September 17, 2015

Diuji tanpa diduga. Diuji setelah diduga. Menduga akan diuji.

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
17-09-2015


Saya bersiaran dari luar daerah. Jauh dari liputan kawasan Kuala Lumpur.

Semalam cuti Hari Malaysia. Dan sebelumnya cuti sekolah ditutup kerana jerubu melebihi paras paling tidak sihat. Saya sedang bercuti. Inilah sedikit peluang untuk saya menulis sedikit di blog setelah banyak masa saya tertumpu kepada priority lain dalam kehidupan.


Sekadar simpan rekod. Saya terlibat dalam sesi fotografi khas untuk buku program dan terbitan khas sempena ulangtahun ke 30 company tempat saya kija. Sejak sebulan lalu hampir semua department terlibat dalam persiapan sambutan yang diberi nama Gala Nite 30th yang bakal berlangsung pada 19 September, Sabtu mendatang bertempat di Hotel Majestic KL. Dikhabarkan majlis makan malam khas ini sangat grand. Sejauh mana...saya belum tahu.

Menghargai pekerja adalah perkara biasa di tempat saya. Harus saya berani puji, cara penghargaan itu walau mungkin tidak berbeza dengan syarikat lain tetapi sentiasa menjadi sesuatu yang manis bagi saya secara peribadi sebagai seorang pekerja biasa.

Di bahagian saya, sejak saya mula, saya sudah menyaksikan 3 kes yang hampir sama.

Pertama, kawan sekerja yang pernah terpaksa bercuti 6 bulan berjuang dengan kanser ovari.

Kemudian seorang lagi juga dibedah membuang ketumbuhan di dada.

Terbaru seorang lagi, dikhuatiri ketumbuhan di dahi yang dibimbangi menyerang otak.

Mengadu sakit kepala berulang ulang sejak puasa lalu akhirnya dia hampir pengsan di tempat kerja. Pemeriksaan pakar di Tropicana Hospital mengesahkan ada sesuatu di dahi. Bakal dibedah juga minggu hadapan.

Dugaan sebegini membuatkan kami turut merasai bahawa sakit dan musibah itu wajar dikongsi dan semangat harus diberi. (Rawatan ditanggung sepenuhnya oleh insuran yang dibiayai syarikat).


Setiap kita berbeza corak ujian. Ada orang tidak berharta tapi anak-anak ramai dan berjaya. Ada orang sangat kaya tiada masalah kehidupan tetapi pewaris kekayaan tidak dimiliki.

Ada orang mempunyai keluarga besar tetapi adikberadik sering berselisih faham, cemburu iri hati dan buruk sangka. Lalu rajuk berpanjangan.

Dan ketika-ketika tertentu kita merasa seperti orang luar itu lebih memahami kita dan lebih menyayangi kita berbanding darah daging sendiri.

Diduga keadaan sebegitu, ada orang mengambil jalan membeku dan membawa diri bersama rajuk tidak terpujuk. Walau kesal, siapa kita hendak mengubah sangkaan orang.

Saya sedang bercuti. Kerana saya rasa cuti itu perlu.




 ~...Mak Unggal sudah pulang dari baruh sendirian dengan membawa berita Pak Unggal singgah di rumah bini mudanya pula barang sehari dua, membuatkan HISYAM serbasalah untuk pulang ke rumah kerana kelak telinga harus ditadah bila kesal diluah, dan SERI BULAN akan menyindirnya tidak ikhlas menjadi pendengar...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails