Monday, October 19, 2015

Sri Aman 4D3N: merewang sakan untuk jamu orang makan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
19-10-2015


Selepas memuaskan hati dengan Mee Kolok Sarawak di bandar Sri Aman, kami menyambung acara rewang bersama jiran-jiran setempat di rumah Abang Wahab. Kata orang Juasseh, hari bantai.


Beberapa batang pokok kelapa yang tumbuh rendah di pesisir Sungai Batang Lupar belakang rumah, ditebang untuk diambil umbutnya. Sudah berpuluh tahun saya tidak melihat benda sebegini. Masa kecik dulu, kat kampung bila ada kenduri memang selalunya pokok kelapa ditebang untuk umbut dibuat sayur masak lemak putih (campur soo’un) yang enak bersulam sambal belacan.


Lihat anak muda ini. Cekap betul mengupas lapis demi lapis umbut kelapa. Hensem pulak tuh! Hahahahaha... cuma tak tertanya pula nama apa, anak siapa. Segan weh!


Di hadapan rumah, ada bangsal khas yang memang dijadikan tempat memasak dan pelbagai urusan lain yang berkaitan dengan acara memasak kenduri. Tempat yang khas dan luas sebegini sebenarnya lebih memudahkan segala urusan. Saya sekadar meninjau (sambil dalam kepala membayangkan beberapa kisah dan cerita dalam novel SAGA yang saya baca tentang merewang, menyiang daging dan bawang di balai khas... waktu malam dan hujan lebat...air sungai melimpah... dan malam itu Rahmat hilang diculik pengganas.. Uhhh melalut).


Di atas rumah, kaum wanita seperti lazimnya menyiapkan beberapa urusan yang berkaitan dengan bunga telur, bunga pahar dan seumpamanya. Saya sekadar membantu di sana sikit, di sini sikit. Jika boleh semua acara saya nak snap gambar.


Snap dari serambi rumah. Khemah untuk tetamu pada hari langsung esoknya sedang didirikan. Bersebelah saja dengan bangsal memasak tadi. Lihat titi kecil untuk menyeberang longkang kecil itu yang memisahkan bangsal dan khemah.


Di depan rumah atas laman, pelamin sedang disiapkan.




Ikan Talang Masin bersama Nenas Sarawak. Atas gesaan (mungkin juga desakan?) beberapa orang, saya rela hati memasak Gulai Lemak ini. Tetapi beberapa kali diberitahu agar tidak pedas. Yeaa... rata-rata orang Sarawak tidak makan pedas. Ramai rupanya yang teringin nak merasa air tangan ‘Orang Malaya’ nih...!

Alhamdulillah, Gulai Lemak Ikan Masin Talang ni sebenarnya menu hujung jari saya jer. Pun begitu, gementar juga nak masak bagaikan anak dara nak jamu bakal mertua. Hahahaha...!



Petang semakin menjelang. Cuaca memang baik dan jerubu bagaikan menipis. Bila kerja semakin mengurang, sesi bergumbira dan berhibur-hibur juga disediakan. Kaum ibu bapa selamba saja pilih lagu dan berkaraoke menghibur hati suka-suka. Wahhh dah lama tak tengok orang-orang tua bernyanyi camnih... Layannn....!



Sehingga ke malam hari, acara memasak masih berlangsung. Kawah dan tungku api di sana sini. Meriah sungguh.



Daging masak hitam. Walaupun saya bukan penggemar daging, tetapi menu sebegini sangat menggoda selera.


Okey... ini Buah Dabai yang popular di Sarawak. Biasanya ianya dimakan mentah. Sebagai ulam barangkali. Saya tak pernah lihat yang mentah. Yang ini Dabai yang sudah dijeruk. Dibuat khas untuk kenduri ini. Kerana bukan musim Dabai, jadi ianya dijeruk. Seakan-akan buah kurma pula.


Sekali sekala dapat mendekati masyarakat kampung, bukan sahaja seronok mendengar dialek depa bersembang (yang rupanya baru saya tahu seakan-akan bahasa Banjar) dan berseloroh. Sebenarnya tidak susah untuk memahaminya cuma seperti juga bahasa Banjar, saya tidak dapat membalas balik setiap kata bual depa.

Kerana semulajadinya saya ni seorang yang peramah, seronok pula dapat borak-borak dengan sekian ramai warga emas yang ternyata tak segan pula melayan saya. Ada beberapa orang yang rupanya bukanlah orang asal Kampung Hulu tetapi orang luar yang berkahwin dengan orang tempatan lalu menetap di sini. Menjadi sebahagian dari orang kampung Sri Aman selama bertahun-tahun lamanya. Ada yang bertugas sebagai guru, polis, tentera dan lain-lain lalu bertemu jodoh di sini, akhirnya menetap menjadi orang Sri Aman.


Last, puan blog berselfie di malam hari depan kawah. Hahahaha...!

Ada lagi cerita menarik selepas acara memasak ini. Nak tunggu dak?



 ~...sejak azali SERI BULAN sangat memahami bahawa HISYAM tidak mudah terasa hati akan segala senda gurau kasar lembut, waima kadang-kadang disakat teruk oleh Mak Utih yang kekadang bercerita bagai bertih, namun apabila Pak Tunggal Seman menyebut bahawa dia harus memilih antara menetap atau pergi, HISYAM kemudian jadi seorang pemikir dan SERI BULAN terasa bagai tersingkir...~




Friday, October 16, 2015

Sri Aman 4D3N: ke Pasar Tamu lagi kerana Mee Kolok menanti...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Jumaat
16-10-2015


Sabtu, 19 September. Sri Aman, Sarawak. Hari ke-3.

Kami ke Pasar Tamu lagi sekali. Kali ini masuk dari pintu utama. Melihat persekitaran dengan lebih jelas dan memuaskan hati.


Pintu utama. Posing sebagai bukti kehadiran, kunun.


Sama juga seperti pasar kita. Gerai yang panjang menjual pelbagai jenis makanan untuk sarapan pagi. Ada banyak jenis kuih yang serupa sepertimana di tempat kita. Tetapi tetap ada menu tradisi orang Sarawak yang dijual. (Lama sangat saya menangguh menulis entri, saya terlupa banyak info dan nama kuih).


Tapai beras (bukan pulut) yang dibungkus dengan daun pucuk kelapa. Unik kerana di tempat kita tapai dibungkus dalam daun keladi atau daun getah.


Saya beli juga untuk merasa. Rugi tidak mencuba. Sedikit tawar. Mungkin ianya baru di lidah saya, saya hanya anggap, tapai pulut lebih enak. Even tapai ubi pun saya kurang gemar.


Gerai-gerai yang memanjang sebegini mengingatkan saya kepada Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Rata-rata yang berniaga ialah kaum wanita. Mesra peramah apalagi bila tahu ada ‘Orang Malaya’ datang meninjau bertanya-tanya sambil snap sana, snap sini.


Nasi Lemak Sri Aman. Tiada daun pisang pun. Dibungkus dalam plastik jernih dan diikat seperti bunjut sebegitu. Kacang gorengnya nampak mewah sekali. Apapun nasi lemak tidak rare lagi. So tak beli.


Pelbagai jenis beras kampung dengan nama tersendiri yang turut dijual. Tidak. Saya tak beli. Rasa leceh nak bawak balik nanti.


Lihat udang galah laut yang besar tu. Lupa sekilo berapa RM. Kak Ros beli yang sepinggan besar tu. Ikan besar tu ialah Sembilang Laut. Wahhh seekor camtu kalu buat kari...terangkat baq hang!



Ikan salai. Tradisi. Banyak dijual. Cara simpan orang dulu-dulu supaya ikan tahan lama. Sebungkus (ada kira-kira 3–4 ekor, RM10). Tak beli pun.



Telur Ikan Buntal yang telah dijeruk-asinkan. Last pek. Saya beli untuk seorang kawan yang mengirim.


Ok. Untuk sarapan pagi itu, kami singgah di kedai makan berhampiran balai polis Sri Aman (bekas balai suami Kak Ros bertugas puluhan tahun dulu). Dulu gerai ini menjadi milik Kak Ros berniaga, kini diambil alih oleh adiknya setelah Kak Ros sekeluarga berpindah ke Semenanjung.


Ada ker yang tak pernah tengok or rasa Mee Kolok? Mee Kolok menjadi menu tradisi yang popular dan kebanggaan orang Sarawak. Ianya mee kering yang dicelur dan dihidang bersama sayur, sup daging dan sambal kicap yang enak. Saya makan satu mangkuk licin! Yummy sangat!

Balik semula ke rumah Abang Wahab (rumah kenduri) kami menyambung rewang yang meriah dan semakin ramai orang.


Ok nak tunjuk bagaimana rupa Sayur Pucuk Midin. Digoreng belacan seperti kita buat Kangkung Goreng Belacan. Arrhhhh! Memang enak.


Menu tengahari untuk kami yang merewang petang itu (selain kuih-muih) ialah juga Asam Rebus. Buah seakan Pisang Kaki rupanya buah asam yang masam dan sesuai dimasak rebus. Hmmm saya terlupa nak snap buahnya.

Ada entri tentang persiapan lebih rapi, akan saya tulis nanti.



 ~...mendung kelabu dek jerubu tidak lagi menjadi kelambu di hati malahan HISYAM yakin bahawa SERI BULAN akan lebih gembira bila nanti kala bulan mengambang mereka dapat sama-sama berdendang lagu riang di ambin serambi Teratak Nyatuh sambil Mak Utih menanti di tangga tengah dan Pak Utih menunggu di tangga bawah...~




Thursday, October 15, 2015

Sri Aman 4D3N: kambing comel itu...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
15-10-2015


Mak ai lamanya nak siapkan satu entri baru tentang lawatan ke Sri Aman nih... Aduhai..

Masih berkisar kisah saya berjalan-jalan di sekitar Kampung Hulu. Melihat dan menyibuk-nyibuk dalam persiapan keluarga Abang Wahab (abang sulung Kak Ros) yang akan berwalimatulurus pada hari Ahad 20 September.

Kami ke sebuah kebun di mana ada kandang kambing di sana. Untuk mengambil kambing yang sudah ditempah dari seorang penduduk kampung.


Suasana kebun sebegini sudah lama saya tak tengok apalagi menjejak kaki. Titian batang kelapa itu betul-betul menggamit nostalgia. Memori lama. Kala kecik di kampung dulu, saya boleh selamba berlari tanpa gentar. Tetapi kali ini sudah pasti saya tak berani nak lintas, nak letak kaki pun saya dah gentar.

Kami melintas parit itu gunakan titi papan yang walaupun sedikit buruk dan nampak uzur mujur tidak patah dek saya yang kemaruk nak menyeberang. Hahahaha!


Kandang kambing ini memberi peluang saya melihat lebih dekat kambing-kambing yang dibela. Selama ni, tengok dalam tv jer. So saya jakun sekejap. Ada aku kesah kena gelak? hehehe


Selfie dengan kambing. Tak pernah dibuat orang!



Posing kat tangga kandang kambing. Janji adaaa...!




Kambing putih menjadi pilihan.

Kami kemudian ke kandang kedua pula untuk mengambil kambing yang sekor lagi. Kali ini ladang dan kandang yang lebih besar dan seakan zoo pula. Sebab selain ada kambing, juga ada binatang peliharaan lain. Ada ayam  belanda, ada rusa liar (termasuk la anjing-anjing yang menjadi penjaga ladang).





Nampak macam jinak jer rusa hutan ni. Comel!


Kandang yang ini lebih besar dan luas. Saya dibenarkan masuk melihat-lihat dan berkenalan. Hahahaha!


Ada juga spesis seperti kambing biri-biri di sini. Menurut penjaga ladang, kambing dari baka yang bagus-bagus jer kat sini.


Grup baju merah. Abang Wahab (abang Kak Ros), Syukri (adik Kak Ros) dan seorang itu penjaga ladang saya rasa.


Kambing yang dipilih ditimbang terlebih dahulu. Saya tak pernah tengok proses camni. Maklum kami tak pernah bela kambing pun.


Menyertai kaum ibu-ibu para jiran tetangga merewang menjadi suatu lagi pengalaman menarik bagi saya. Walaupun ini bukanlah asing dan kekok bagi saya (yang sering menjadi kaki sibuk bila kenduri keluarga sendiri), tetapi tetap saya teruja. Cara merewang adalah sangat sama dengan kita. Maklum, orang Melayu. Masing-masing datang membawa pisau membantu mana yang sempat sehingga kepada sekecil-kecil kerja.

Lihat, depa bagi sarung tangan kepada saya (untuk elak pedih tangan kupas bawang) tapi kendiannya saya lak malu sebab depa selamba jer tak guna sarung tangan pun.


Persediaan menyembelih kambing. Urusan sembelihan akan dilakukan sendiri oleh adik pengantin (anak kedua tuan rumah) yang merupakan seorang tahfiz lulusan sekolah agama di Kuala Kubu Baru.


Snap dari jenang pintu dapur menghala serambi dapur yang bertangga kayu. Lihat betapa dekatnya Sungai Batang Lupar di belakang itu. Sungai yang terkenal di sini kerana ada paling banyak buaya. Tetapi sekali pun tidak pernah dapat saya lihat sepanjang saya berada di sini walaupun kata depa ada sekali buaya timbul semasa depa campak isi perut ayam. Aduhai... saya terlepas. Ingin sekali sebenarnya saya nak tengok buaya terapung di sungai tu. (walaupun beberapa kali bagai dilarang ‘pantang’ oleh depa)


Masih kukuh dan erat semangat gotong-royong masyarakat Kampung Hulu ini dalam mengendalikan kenduri-kendara. Rata-rata mereka memang melakukan sendiri tanpa perlukan bantuan katering atau orang luar.

Saya teruja menanti pengalaman seterusnya....!




 ~...di mana bulan sedang memancar indah di situlah SERI BULAN merasa harapan masih ada sedangkan HISYAM seperti bermain tarik tali bagai sengaja menduga si buah hati...~




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails