Showing posts with label kematian. Show all posts
Showing posts with label kematian. Show all posts

Thursday, December 3, 2015

Belasungkawa Pak Yus...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
03-12-2015


Umum mengetahui. Seluruh negara tahu. Malah saya yakin seluruh warga hiburan negara menangisi pemergiannya. Pak Yus Jambu yang menjadi penghibur. Pelawak yang tersendiri.

Pada pagi Isnin lalu, yang menjadi hari pertama grup trio Sepahtu menjadi peneraju segmen Sinar Pagi di konti Sinar.fm, yang saya turut teruja nak dengar....dipenuhi dengan temubual dan perkembangan urusan jenazah.

Suasana sebak dan pilu apabila lepas sorang, sorang rakan-rakan arwah bercakap tentang budi baik arwah. Kenangan pahit manis bersama. Saya yang mendengar turut merasa sebaknya.

Mengenali arwah Pak Yus menerusi siaran di tv dalam sekian banyak program lawak... kita, kami turut merasai kehilangan itu. Sesungguhnya arwah memang menjadi salah seorang penghibur. Menghibur dan mengisi masa lapang kita di hujung minggu.


Membaca beberapa kisah yang ditulis berkaitan arwah, memberikan rasa sebak dan tidak sedikit keinsafan. Insan yang baik bila-bila pun pasti dikenang orang.

Mati itu pasti.

Semoga mereka yang telah pergi, akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.




 ~...bukanlah tidak pernah HISYAM berdepan dengan kematian, bukanlah dia begitu keras hati tidak pernah menangisi kematian jua, cuma apabila dikhabarkan tentang pemergian kedua ibubapanya semasa dia masih bergelut dengan buku dan kuliah di negara jauh bermusim empat, hanya SERI BULAN yang memahami betapa gentarnya dia untuk bersendirian ketika itu...~




Tuesday, September 15, 2015

Uncle Bob sudah tiada...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Selasa
15-09-2015


Saya sudah membaca dan melihat saat Uncle Bob jatuh sakit dan dimasukkan ke hospital termasuklah beberapa minggu di ICU kerana koma di beberapa status ringkas ahli keluarga dan juga di wall isterinya Puan Hajjah Noraini yang lebih kami kenali sebagai Kak Nanie or Auntie Nanie. Rakan blogger yang aktif menulis sejak pencen, rakan blogger yang kami kenali bertahun lama.

Setiap kali ada gathering blogger dan depa sempat hadir, pasti pasangan ini menjadi tumpuan kerana ramah mesranya depa dan sifat penyayang dan pengasih, seperti kami semua anak beranak. Uncle Bob walaupun bukan blogger tetapi sangat sporting, memahami dan mesra berkawan-kawan.

Sepanjang Uncle Bob sakit, saya langsung tidak sempat melawat. Kesibukan kerja dan bersulam ketika itu bulan puasa... saya hanya membaca. Kemudian Uncle Bob pula dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain. Dan Syawal lalu mereka berhari raya di hospital.

Kemudian apabila beliau stabil akhirnya gembira membaca Uncle Bob boleh balik ke rumah dan melalui rawatan susulan dan fisioterapi di rumah.

Sehinggalah, pada petang Jumaat 28 Ogos lalu, saya dikhabarkan Uncle Bob meninggal di rumahnya. Selamat disemadikan pada hari yang sama di Batu Caves.

Dua hari selepas itu saya menziarah Kak Nanie di rumahnya. Beliau nampak tenang walaupun masih sedih. Masih ada ketawa bersama kami walaupun ada airmata bergenang.


Menceritakan pengalaman menjaga Uncle semasa hayatnya di hospital dan saat akhir di rumah.


Blogger Kakcik Seroja dan Mak Chaq Putrajaya (Azilah) yang turut bersama menziarah.


Meski berasa sangat kehilangan, semoga terus tabah dan redha.


Saya sempat snap katil arwah yang memang ditempatkan di ruang hadapan rumah.


Blogger AtukBaik dan MamaWana turut hadir. Semangat kawan-kawan amat diperlukan saat sebegini. Saya tahu. Cuba memahami walau tidak sama dengan bahu yang memikul.

Beberapa hari lalu juga kita menerima khabar sedih tentang tragedi kren tumbang di Mekah. Ramai terkorban dan 5 antaranya jemaah Malaysia. Terpilih olehNya untuk disemadikan di tanah suci.

Semoga mereka yang telah pergi terdahulu sentiasa dirahmati olehNya.

Dan... apa yang kita lihat dan pandang or baca... menjadi teladan, keinsafan juga kesyukuran.

Selamat bercuti esok.

Jangan buat pasal. Kerana kita tidak mahu membaca kes tragedi lagi.




 ~...HISYAM ditinggal sendirian kerana Pak Unggal dan Mak Unggal ke baruh barang seminggu lalu dia ternanti-nanti adakah Pak Utih akan mempelawa dia menginap di Teratak Nyatuh dan dapatlah peluang untuk dia menyakat SERI BULAN atau merengek pura-pura kepingin masak lemak ikan puyu bersama ubi kayu...~




Monday, September 22, 2014

Sebuah kehilangan lagi dalam keluarga kami....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
22-09-2014


Selepas 2 orang abang, dan arwah Ayah, keluarga kami kehilangan seorang lagi lelaki dalam keluarga kami. MyAbangIpar (suami Kak Yang), meninggal dunia sehari selepas ulangtahun kelahirannya yang ke 57. Di Hospital Taiping (selepas dibawa dari Hospital Parit Buntar). Diagnosis awal mendapati jangkitan kuman di paru-paru dan disahkan kritikal. Tidak sampai pun 24 jam dimasukkan ke ICU, beliau meninggal pada jam 7.50 pagi, 17 September lalu.

Tuhan Maha Menyayangi. Arwah memang seorang yang baik. Sangat baik. Sejak dari dia menjadi sebahagian keluarga kami, tidak pernah berlaku apa pun yang mengecewakan, melukakan atau yang pahit. Langsung tiada. Beliau memang seorang abang ipar dan ayah dan menantu yang baik.

Meninggalkan 7 orang anak, 2 orang menantu dan ramai anak-anak angkat serta ratusan anak-anak murid. Bermula dari guru biasa, hinggalah jawatan terakhir selaku Guru Besar, beliau memang menjadi orang yang setiasa dikenang.


Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar. Sangat mudah mendapat kerjasama dari pelbagai pihak sehingga peringkat PPD.

Juga mendapat tempat persemadian yang mudah, di bawah pohon rendang dan di tepi jalan.


Mereka anak-anak yang baik. Rindu Abah sentiasa.

Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Aaminn....





 ~...pernah sekali dulu, kala menghadapi kematian, SERI BULAN tidak ingin airmata dilihat orang tetapi HISYAM tahu sebuah kesedihan tidak semestinya dengan airmata, tetapi sebuah doa ikhlas yang jujur walaupun tidak terluah bait kata...~




Sunday, March 16, 2014

Sahabat KLfm: rupanya dia sudah meninggal...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ahad
16-03-2014


Petang tadi, saya terkejut terkedu bila terbaca status seorang sahabat lama. Sahabat KLFM dulu. Jarang dia update. 4,5 bulan sekali baru update. Dan biasanya, bila dia update pun, adalah ayat-ayat madah or puisi indah beberapa baris. Dan juga... selalunya saya la seorang yang akan komen di situ sebagai seorang sahabat yang menyokong.

Rupanya dia sudah meninggal. Disebutkan tarikhnya 9 November 2013, jam 6:30 pagi. Dah lama rupanya. Status di-update oleh adik arwah. Saya rasa terperanjat kerana saya rasa saya mengenali beliau begitu lama. Sejak 2002 lagi. Cuma persahabatan kami di alam maya ada on-off. Jarang sangat kami berhubung dalam sms. Sekali sekala, 5,6 bulan sekali dia sms tanya khabar. Kadang-kadang maklumkan kepada saya tentang beberapa siri rawatan yang beliau hadiri. Memang beliau berpenyakit.

Saya pernah menulis tentang saya dan MyToklaki melawat beliau di rumahnya. Entri di SINI:

Jenoh saya cari semula entri tu.


Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.



 ~...untuk menghadapi sebuah kesedihan bukanlah mudah tetapi selagi HISYAM ada sentiasa, SERI BULAN tahu kesedihan itu amatlah rendah lagi perlahan...~




Monday, January 20, 2014

“Lama dah tak nampak Pakcik Harakah...”

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
20-01-2014


Setiap kali ke Pasar Pudu, MyToklaki akan bawak satu beg pasar khas untuk ikan, dan saya bawa satu beg runcit (utk bahan kering dan sayur).

Biasanya kami beli barang basah dulu, such as ikan, sotong, daging bla bla.... dan bila beg basah tu dah berat (wpun kadang tak penuh pun) [itulah tujuan soh dia yang bawak beg tu], MyToklaki akan keluar dari area pasar dan tunggu saya di parking. Biasanya kat bawah jambatan tu la. Tengok orang berjual buah or berjual barang lelong RM5 or berjual ubat... dan saya menyambung ronda-ronda dengan senang hatinya mengisi beg yang lagi satu ikut-suka-hati-tok-nenek-aku-saja.

MyToklaki menunggu saya sambil bersembang dengan beberapa orang yang muka muka itu juga dok selalu jumpa termasuk beberapa orang yang memang setaman dengan kami.

Termasuk sorang tua nama Pakcik Abu ni. Dia peramah. Berkopiah putih. Berjual suratkhabar Harakah. Sejak sekian lama. Saya tak pernah sembang, tapi bila saya selesai saya jumpa MyToklaki di situ dan kadang-kadang senyum jer dengan Pakcik Abu nih...

Sehinggalah, suatu hari MyToklaki sebut, “Lama dah tak nampak Pakcik Harakah tuh.”

Minggu berikutnya, dia tunjukkan saya sticker yang tertampal pada tiang jambatan. 3 minggu lalu. Saya tak sempat snap masa tu.

Minggu lepas saya purposely pegi dekat dan snap.


Semoga Allah merahmati arwah dan dicucuri rahmat ke atas rohnya.





 ~...dua hari tidak menjengah dapur Teratak Nyatuh, HISYAM sudah terasa bagai berhari-hari rindu itu terkepung antara tiang seri dengan tiang tengah, lalu terasa bagai hendak melompat parit dan memintas bendul untuk segera sampai ke pintu dapur kerana hasrat hendak menyergah Mak Utih terhalang dek SERI BULAN yang tiba-tiba tegak berdiri di jenang pintu dengan mata bergenang...~




Tuesday, October 8, 2013

Pak Asyiem Songkok KLfm meninggal dunia...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
08-10-2013


Seorang teman, sahabat masa KLfm dulu, yang sudah lama menjadi menjadi sahabat dan kenalan, malah pernah beberapa tahun menjadi AJK dalam suatu organisasi yang kami terlibat sama. Setelah lebih 2 minggu koma di Hospital Pantai, KL akibat penyakit asma yang kronik, PAK ASYIEM Songkok meninggal dunia pagi ini kira-kira jam 2.52 am.

Arwah terkenal dengan semangat patriotiknya terhadap negara. Beberapa kali masuk akhbar dan tv berkaitan semangat beliau.




Jenazah dikhabarkan dibawa ke Melaka kampung halamannya untuk disemadikan.

Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang diredhai. Aaminnn....

*ya... benar. Kita akan meninggal pada hari kelahiran kita. Hari ini adalah juga hari kelahiran Pak Asyiem.



 ~....mati itu pasti, hidup insyaAllah..~




Thursday, February 7, 2013

Belasungkawa AZLI PAAT: kerana dia, kami bertemu...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Khamis
07-02-2013


Lanjutan dari menerima berita pemergian pakar IT, En AZLI PAAT, (boleh rujuk entri saya sebelum ini) saya menyertai beberapa orang sahabat KLFM, pergi menziarah di rumah arwah di Bukit Segambut malam tadi.


Ambulan sudah tesedia. Jenazah sedang dibawa masuk untuk dibawa ke Hospital Selayang untuk post-mortem dan urusan prosedur selanjutnya.

Menurut seorang jurucakap keluarga, sebaik sahaja urusan tersebut selesai, jenazah akan dibawa ke kampung kelahiran arwah, Kg Pedada Kuning, Peserai, Batu Pahat.


Anak kedua arwah, Naim, berucap pendek di hadapan tetamu yang hadir malam tadi. Mengucapkan terimakasih serta memohon sesiapa yang mengenali arwah, memaafkan dan menghalalkan apa jua kesilapan arwah sepanjang mengenali. Naim juga menyebut andai ada sesiapa yang mempunyai urusan yang belum selesai atau ada arwah berhutang, berhubung dengannya untuk diuruskan. Naim memberikan no hp nya untuk dihubungi, tapi saya tak salin. Bagi saya, kita yang lebih terhutang budi kepada arwah kerana penglibatan beliau dalam IT dan interaksi orang awam.


Beberapa orang sahabat KLFM yang saya kenali juga ramai yang kelihatan malam tadi. Kami sudah saling mengenali sejak menjadi ahli komuniti sahabat KLFM bermula tahun 2003 (or 2004?).

Saya sendiri mendaftar dan mendapat nombor 1868 dan keahlian bertambah sehingga ratusan ribu pendaftar.

En AZLI merupakan orang yang memperkenalkan sistem interaksi mudah melalui kod nombor 32728 (DAPAT mengikut keyboard hp). Kita berinteraksi sesama ahli dan juga dengan beberapa organisasi begitu mudah.

Saya sendiri mula aktif berinteraksi di laman Kampung MMS KLFM kali pertama ialah pada 01-10-2005 (saya berhenti menghantar MMS ketika jumlah MMS saya mencapai angka ahli saya 1868). Banyak sekali program berlangsung pada zaman itu dan arwah sendiri selalu hadir dalam banyak program tersebut dengan penuh merendah diri.

Ramai juga yang mungkin ingat, arwah juga yang memperkenalkan RakanCop di mana melalui sistem DAPAT, maklumat jenayah dapat sampai kepada pihak polis dengan lebih mudah dan cepat.

Dua orang sahabat bercakap ayat yang sama malam tadi, "Kerana beliau lah kita bertemu..."

Bertemu bermaksud, kami bersahabat secara ikhlas dan telus dan turut melibatkan keluarga masing-masing, menjadi kenalan bertahun-tahun lamanya. Saling menyokong, saling memeriahkan dan seharusnya kami berterimakasih dan terhutang budi kepada arwah AZLI.

Selain dari itu, ada banyak lagi sumbangan beliau dalam bidang IT untuk negara kita hingga menerima beberapa anugerah. Kita bangga mempunyai seorang pakar IT muda, berbangsa Melayu dan beragama Islam dan kehilangan beliau merupakan kehilangan yang besar.

Semoga segala jasanya mendapat ganjaran yang setimpal dan arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Aamiin.




 ~...kenal kali pertama bukan untuk terus memaling muka hanya kerana tidak seperti impian tetapi membenci seseorang sehingga menjadi igauan itu suatu perkara terburuk yang akan terjadi...~




Wednesday, February 6, 2013

Pakar IT DAPAT Vista, En AZLI PAAT meninggal dunia...

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
06-02-2013


Berita diterima kira-kira jam 9.00 malam tadi. Meninggal di rumahnya di Segambut.



Mengenali arwah sejak zaman Radio KLfm, memulakan laman web utk para pendengar berchatting. DAPAT, idea dari arwah memperkenalkan pula laman web interaksi untuk pendengar bergabung di bawah satu komuniti. Selepas bertukar nama kepada KLfm, DAPAT Vista banyak bekerjasama merapatkan hubungan pendengar dan penyiar.

Paling berkesan adalah laman web Kampung MMS yang sangat popular, mampu mengumpul ahli pendengar Sahabat KLFM sehingga puluhan ribu pendaftar. Masa itu Facebook pun tak wujud lagi, dan itulah ‘facebook’ kami. Bermesra dan komen-mengomen di Kampung MMS.



Saya sendiri ada beberapa siri kenangan program dengan arwah.


Semasa seminar IT di PD, 2010. Lama tak jumpa, dan ini menjadi pertemuan akhir kami.

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga arwah. Semoga dirahmati dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di sisiNYA.




 ~...mati itu pasti, hidup InsyaAllah...~




Monday, December 10, 2012

Ibunda mertua saya meninggal dunia....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Senin
10-12-2012


Hari ini, 10-12-2012, jam 9.15 am, ibunda mertua saya, yang dimasukkan ke Hospital Besar KL pada sehari sebelumnya, telah meninggal dunia kerana komplikasi jantung dan jangkitan kuman di paru-paru.

Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuari dan segalanya selesai sebelum jam 3.00 petang tadi.



Semoga dicucuri rahmat ke atas roh ibunda mertua saya. Saya sangat sedih dan terasa kehilangannya. Saya yang membawa beliau ke hospital semalam dan menunggu sehingga ke lewat petang. Saya rasa saya sudah cuba melakukan yang terbaik untuk beliau sepanjang saya menjadi menantu beliau.

Al-Fatihah.



 




Tuesday, June 26, 2012

“Ayah, Kubur Mak Masih Merah...”

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 
Senin
25-06-2012


Seorang suami, seorang ayah baru kematian isteri tercinta. Kematian bermakna kehilangan. 

Kehilangan yang sangat besar. Teman hidup, teman bercakap, teman sehati sejiwa. Yang memahami, yang melayani, menjaga makan pakai sehingga ke tahap stoking di kaki pun dipakaikan isteri. Lalu kehilangan itu menjadi kesedihan dan kekurangan yang sangat terasa.

Konfliknya, selepas baru 3 minggu dia membuat keputusan untuk berkahwin lagi. 

Pada mulanya, aku terfikir dia akan berkahwin dengan seorang wanita solo di kampung tu nama Kak Kiah (ntah janda ntah anak dara tua). Tetapi bila tiba suatu ketika si ayah yang kesunyian dan dibayangi banyak kenangan bersama arwah isteri... merenung baju yang digosok oleh ARIN (masa mula aku tak pasti Ari ni menantu ke anak pompuan dia). Kemudian baru aku jelas, ARIN tu memang anak pompuan dia (kemudian baru tahu ARIN tu cuma anak angkat, patut pun dia tak berani tinggal dengan ayah dia tu, depa bukan muhrim).


  

Konflik timbul bila si ayah keseorangan dan anak-anak risaukan kebajikannya dalam menjalani hari tua sendirian kerana selama ini semua keperluan dilakukan penuh setia dan cemerlang oleh arwah si isteri. Si ayah menyelesaikan masalah dengan cadangan berkahwin lain.

Anak-anak terutama yang sulong dan yang si Acik (nomot 3 le kot) terangan membantah. Malu konon orang berkata, kubur mak masih merah tapi ayah dah gatal nak kahwin lain. Tapi selaku orang tua, tentulah ayah membuat keputusan ini demi kebaikan semua. Terutama untuk anak-anak, supaya mereka tidak lagi bertolak tarik menjaganya.

Nampak jelas, anak-anak lelakinya yang dua itu menentang kerana mereka tidak memahami hati seorang tua. Yang memandang jauh ke hadapan, tidak mahu menyusahkan anak-anak yang jelas mempunyai masalah masing-masing.

Memang, bukan berdosa besar pun jika tak tunaikan pesanan orang yang telah pergi. Tapi jika dengan berkahwin lain itu lebih baik, kahwinlah. Apatah lagi dengan alasan untuk kebaikan seorang anak yang sarat mengandung tetapi ditinggalkan suami. Kan? Aku sokong!

Drama ni memang best. Arahan BADE Hj Azmi, terbitan syarikat Rosham Noor. Astro Ch105.

Lihat pengajaran. Bukan senang jadi isteri nih. Orang jantan nih, 2 perkara besar kena jaga:

1. Perut depa.
2. Katil tidor depa.

Tak susah tapi tak senang juga.

Well, tepuk bantal lena sendiri. Samada bermimpi best atau mimpi jatuh katil, pandai-pandailah korang. Hikhikhik!




~...SERI BULAN ingin sekali bulan mengambang hingga ke subuh tetapi rupanya bulan setakat menyinar suram hingga bumbung Teratak Nyatuh sehingga tidak sempat menyuluh wajah mendung tapi tenang si HISYAM yang mengaku muram tetapi masih sempat mandi berendam...~





 

Wednesday, February 22, 2012

SUDIR: Selepas 20 Tahun....

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Rabu
22-02-2012


Hari ini 22 Februari, sudah 20 tahun beliau pergi meninggalkan kita. Manusia yang baik pasti meninggalkan nama yang baik juga. Untuk kita kenang dan ingati.

Ramai kita membesar dengan lagu-lagunya. Berdendang dan berhibur dengan lagu dari penyanyi 70-0an, 80-an yang seangkatannya.

Aku di sekolah menengah ketika itu. Nama SUDIRMAN Hj ARSHAD sudah menjadi nama besar. Ramai tahu sejauh mana kejayaan beliau. Setinggi mana penghormatan yang beliau terima dan juga begitu banyak penghargaan yang diberikan kepada beliau. Selayaknya.

Yang dikenang dan sentiasa disanjung orang ialah, dia lain dari yang lain. The only one. Dia anak orang kampung. Tapi berjaya menjadi peguam (singing lawyer). Anak jati Pahang. Anak bongsu kan? Menjadi kesayangan seluruh ahli keluarga. Banyak kisahnya semasa kecil ditulis beliau sendiri dalam suatu ruangan khas dlm majalah popular ketika itu URTV. Kadang-kadang sedih baca kisah dia dengan arwah ibunya. Dengan lukisan-lukisan tangan beliau sendiri. Signature berkaca mata hitam dan jambul bentuk “S” tuh.



Beratus lagu beliau pelbagai rentak dan tak pernah terfikir oleh kita untuk dilagukan. Macam sempoi santai tapi itulah yang disiulkan ramai orang, esp. lagu rancak lagi catchy e.g. Balik Kampung, Aku Penganggur, Hidup Sederhana (Basikal Tua), Chow Kit Road...

juga lagu mendayu beliau; Nilai Cinta Mu, Patah Hati, Pelangi Petang, Hujan, Jauh Di Sudut Hati...

dan tidak ketinggalan tentulah lagu-lagu patriotik yang kita warisi bertahun-tahun; Tegakkan Bendera Kita, Warisan...

lagu kasih-sayang: Ayah dan Ibu, yang pernah buat sorang anak menakan aku (masa umur 4,5 tahun dulu) dengar jer mesti menjerit nangis lari cari Mak dia sebab takut hilang Mak.

Aku tahu banyak juga lagu dia. Tapi paling berkesan di hati adalah lagu Jauh Di Sudut Hati dan lagu Patah Hatiku. Aku pernah ada ringtone lagu Patah Hati ini. Tapi dah takda sekarang.

Lirik: Patah Hatiku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri
Tak tentu haluan

Patah hati ku
Membawa derita
Merajuklah diri
Merajuk diri tak tentu haluan

Ku harap janjimu
Bahagia selalu
Sayang
Rupanya patah
Rupanya patah di tengah jalan

Hendak diulang... Hendak diulang
Resah menanggung
Sayang
Kenanglah jangan
Kenanglah jangan disebut pun jangan

Hancur hatiku
Di dalam nestapa
Mengenangkan nasib
Mengenang nasib diriku malang

Maksud hatiku
Maksud hatiku
Bahagia bersama
Sayang
Apakan daya
Diriku miskin
Harta tak punya

Ingin ku petik
Bintang yang tinggi
Sayang
Tanganku hangus
Tanganku hangus disambar petir

Rasanya lagu ni asalnya nyanyian Sharifah Aini. Lagu ini sering menjadi lagu latar untuk drama-drama sedih esp. arahan Rashid Sibir dulu. Boleh nangis woooo....!

Alfatihah buat arwah SUDIR, juga mereka yang telah pergi. Termasuk pelakon Latif Ibrahim yang meninggal pada 20hb yang lalu.






~...ramai anak dara Kampung Separuh Desa menyangka, begitu lama membujang sebenarnya kerana HISYAM patah hati, tetapi keputusan itu sesuatu yang pandir buat seorang lelaki hebat sepertinya, dan SERI BULAN tidak upaya menolak anggapan mereka kerana tidak mahu terperangkap dalam soalan tanpa jawapan...~









Friday, December 23, 2011

Maaf, lewat menulis berita kematian ini...

Assalamualaikum
JumAAt
23-12-2011


Maaf, sori berlori.

Lambat update berita ini:

Lihat iklan di sebelah.

Dukacita dimaklumkan, ADIK ANISSA telah meninggal dunia pada pagi 22-12-2011, (semalam) di hospital Kajang.

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau.

Alfatihah.

*thanks, info from ICE.







Thursday, November 24, 2011

Belasungkawa LIANA AFIERA MALIK: Maaf, aku tak peka sebelum ini...

Assalamualaikum
Khamis
24-11-2011


Bermula dari sini My Love Sudah Sampai...:




Komen tu buat aku bertanya (macam soklan bodoh jer aku sebab terkejut), dan kemudian aku dapat jawapan di inbox FB.

Beberapa link juga disertakan, dan barulah aku sedar novelis LIANA AFIERA MALIK memang telah meninggal dunia pada pada 31 Julai 2011 lalu ketika berumur 38 tahun kerana masalah kesihatan.

Patut pun menyepi beberapa ketika. Malah ketika di Pesta Buku dulu pun selalu peminat bertanya novel terbaru dan tiada siapa yang tahu (mungkin ada tapi tiada jawapan tepat).

Aku pernah menulis tentang karya beliau di entri ini: PESTA BUKU 2011: Bukan Puteri Lindungan Bulan kembali...!

Copy paste text inbox seorang teman:

“Lebih sedih lagi, sebulan lepas pemergian Liana, suami nya pula meninggal kerana kemalangan... tinggalkan 3 anak yatim piatu umur 1 - 4 tahon....

tragis...”

Maaf kerana aku tidak pernah membaca berita ini.

Terimakasih kepada pihak-pihak yang memaklumkan.

Alfatihah...


~...andai sudah takdir menentukan berpisah itu dengan cara kematian, SERI BULAN mahu HISYAM berusaha mencari kebahagiaan itu dengan restu semua orang di sekeliling mereka selama ini, bukan mencekup mana yang sempat bimbang nanti mendapat kasih sayang secara merempat...~







Wednesday, October 19, 2011

Terputuslah hubungan...

Sebelum menerima berita kematian, malam itu memang aku tak boleh tidor.

Malam itu juga, aku bersembang dgn sorang kawan baik yang kenal seluruh ahli keluarga aku.

Dia bertanyakan khabar My Abah Mertua.

Beberapa jam kemudian, berita kematian diterima.

Lalu terputuslah seluruh hubungan dengan insan-insan yang disayangi, kecuali....




*Terimakasih atas ucapan dan doa.









Thursday, July 7, 2011

Alfatihah: blogger MAKCIK MERIAM meninggal...

Salam
07-07-2011
Entri kedua, di malam Jumaat.


Entri ini entri duka. Baru terbaca di blog FAIROS @ ACIK. Tentang kematian. Tentang pemergian teman blogger kami.

Aku kenal blogger ini di blog ACIK. Dia orang Kelantan, selalu masuk mengomen di blog ACIK dan tak ingat bila kami saling sapa menyapa. Dia akhirnya tersenarai di blog list AA, pun tak ingat bila. Dah lama. AA pun selalu masuk blog dia sepertimana dia pun sering mengomen di blog AA.

Lately, terlalu sibuk dan jarang ada masa BW, sementelah blog beliau tidak diupdate lama (lalu tidak berada di ranking atas...) tidak tahu apa yang berlaku.

Rupanya MAKCIK MERIAM sudah tiada. Beliau meninggal dunia pada 2 Julai lalu kerana kanser ovari yang dihidapi sekian lama. Tabah sungguh beliau sehingga aku sendiri tidak dapat mengesan beliau rupanya sedang sakit. (entri tentang pemergian beliau diupdate oleh anak beliau)

Alfatihah buat arwah, salam takziah buat seluruh ahli keluarga MAKCIK MERIAM. Semoga ditempat di kalangan orang-orang yang beriman.



AA pasti merindui MAKCIK...

Mati adalah pasti,
Hidup insyaAllah...










Sunday, May 22, 2011

Tanah Runtuh: Hancur Luluh Melihat Gambar...

Salam pagi Ahad
22-05-2011


Semalam hari bekerja, dan petang agak kesibukan sehingga tak sempat tengok berita.

Kemudian di majlis rumah Abang Long, kami adik beradik berkumpul, terdengar berita tentang kejadian tanah runtuh menimpa Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Bt 14 Hulu Langat yang menimbuskan separuh kawasan kediaman dan 24 orang terperangkap.

Dari majlis, aku terus menelefon seorang teman yang pernah sama-sama menjadi sukarelawan bersama Yayasan dahulu. Pada jam 10 malam, menurutnya 5 orang mangsa disahkan meninggal, selebihnya belum ditemui.

Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga kejadian ini menginsafkan kita dan memberikan iktibar.



Pic ehsan blog: JOEGRIMJOW

Sebenarnya baru bulan lepas AA pergi ke kawasan Felcra Semungkis, Bt 14 Hulu Langat tu.








Wednesday, May 11, 2011

Kemalangan dan Kematian: Kita Hanya Merancang...

Salam
11-05-2011


*Salam takziah buat seluruh ahli keluarga blogger KAKCIK SEROJA, atas pemergian ayahandanya, semalam.


Aku baru sampai depan ofis, bila terdengar bunyi call dari dlm beg. Ada 2 ‘missed call’.

Aku call balik, dan tanya. “Mak, Iwan kena langgar lari!” Terperanjat aku. Mujur dia kata, dia boleh berjalan kaki balik ke rumah dan itu memberitahu aku yang dia tidak parah.

Naik ke ofis, inform my manager dan aku bergerak balik. Rupanya, tangan luka, nampak isi dan lutut terkoyak. Dia sedang berjalan kaki ke sekolah dengan beberapa orang kawan bila tiba-tiba motor meluru laju dan “tersentuh” dia. Kalu betul-betul langgar, aku rasa kecederaan itu pasti lebih lagi.


Ini kat tangan. Kesan dia jatuh terguling.

Selesai di klinik, aku kembali ke tempat kerja. Nak buat report pun, berkira-kira sebab apa yang hendak diceritakan dalam statement? Sungguh malang bila kes-kes sebegini terjadi, kita tidak ada maklumat tepat. Nombor plate motor tidak sempat diambil, wajah pemandu tidak sempat dicam, hanya warna motor (hitam). Selain itu? Apa yang boleh dijadikan bahan siasatan? Malangnya.

Kejadian berlaku di lintasan lampu isyarat (paling popular) di Pandan Jaya, berdepan dengan gerai buah (gerai durian).

Tapi, apa boleh buat. Benda dah nak jadi, redha...

****

Kira-kira jam 2.03 petang, KAKCIK SEROJA call. Menangis dan hanya ayat ini, “Ayah Kakcik dah takda.”

Tak sempat pun aku nak jawab, putus. Innalillah...

Sudah sampai masanya. Relakan pemergiannya. Redha dengan ketentuan NYA.

Aku sms beberapa orang kenalan yang aku tahu nombor dan semoga berita disampaikan pula melalui blog. Moga sama-sama mendoakan.

Baru saja pagi semalam, aku memberikan komen ini:


Di blog AYU Citarasa Rinduan.


Memang aku sendiri ingin juga menulis sesuatu tentang adik Kak Cik. Kerana kesnya hampir serupa benar dengan apa yang kami sekeluarga lalui.

Tapi bila kematian menjadi jawapan kepada sebuah penantian, aku tidak pasti samada erti tulisan itu nanti memberi makna atau tidak. Lalu tunggulah andai aku menulis tentang itu, tentulah dengan hasrat yang besar walaupun sudah kurang maknanya...

Singgah sebentar menziarah di rumah Kakcik selepas kerja semalam, ternyata jenazah sudah dibawa ke masjid. Dan aku bertemu Kak Cik dan seluruh ahli keluarganya di Masjid Al-Adzim, Kg Pandan. Jenazah sedang dimandikan. (meminjamkan bahu untuk melepaskan sesak di dada dalam pelukan kemas bukan susah, kesedihan bukan untuk ditambah, tapi untuk dilegakan)

Sepatah kata Abg Mus, suami Kakcik, “Mujur ada cucu yang kendalikan.” — ALONG anak sulung Kakcik adalah salah seorang Imam di Masjid Al-Adzim.

Maaf Kak Cik, tidak upaya nak ikut sehingga ke kubur sebab kena balik segera.

Sekali lagi, takziah buat seluruh ahli keluarga Kakcik Seroja. Moga tabah dan bersabar.


*“Habuan” seseorang tidak sama. Berbanding aku yang tidak langsung sempat mengadap walaupun kali akhir, semasa arwah AYAH pergi dahulu. Malah, aku sampai ketika sudah pun dikebumikan. Aku redha...











Tuesday, January 25, 2011

Berita Hari Ini: Hampir Semua Kita Tak Suka...

Salam.

Lihat kembali tajuk entri, betul atau tidak?

Ya... dari kisah pelajar histeria di Pahang, berlari di balkoni belakang sekolah, tak sedar diri, tapak tangan luka boleh dia jilat darah sendiri.

Heeee ngeri. Malas nak ulas bab histeria ni. Sudah ada blogger yang menulis tentangnya. Pengalaman sendiri AA semasa Tingkatan 5 dulu, pernah kena histeria. Malas nak kenang.

Bermula di suatu petang di padang sekolah, latihan rumah sukan. Tak ingat bagaimana ia bermula, masa tu adik aku pun sedang lari (saringan 100 meter kot...). Tiba-tiba jer... uishhh kami menjerit di dalam kelas. Tak ler berapa teruk sangat masa petang tu. Cuma beberapa orang saja yang kena...

Tapi esok paginya, perhimpunan sekolah tak pasti sapa yang mula dulu, dan aku terlibat sama. Lepas sorang, sorang pula yang menjerit sehingga setiap yang kena tu tak boleh berdekatan. Terpaksa dipisahkan jauh, sehingga penuh kantin ketika itu. Akhirnya hari itu sekolah ditutup, sebab ramai yang kena. Zaman itu dianggap kejadian kecil, tak masuk suratkhabar pun. Pihak sekolah ambil pendekatan sendiri menyelesaikannya. Ada Ustaz di panggil ke sekolah... dan ...

Aku kat rumah baring macam sedar tak sedar. My BONDA dan arwah Ayah buat apa ntah, aku minum air penawar. Yang ingat My BONDA tanya apa yang aku nampak, tapi aku tak jawab. Aku diam jerrrrrr... Sungguh aku diam terus. Agaknya My BONDA tahu apa sebenarnya kot. Kisah itu selesai begitu sahaja.

***

Tadi, di berita TV, seorang ibu (bukan warga tempatan) tikam bayinya sendiri (ada 5 kesan tikaman, bayi diletak dalam baldi). Ibunya ditangkap, dan kelihatan bingung tak tentu arah. Baru melahirkan.

Kenapa? Meroyan kah? Tak sayang anak, kah? Sedangkan dia sudah ada anak berusia 3 tahun. Bercerai? Kata adiknya, mereka tak tahu dia itu sedang mengandung. Masalah sosial apa lagikah kali ini?

Esok, di dada akhbar berita apa lagi?

alaaa... janganlah dok ligat nak cari berita Fasha Sandha jer. Biarlah, yang pasti dia tak menangis bengkak mata pun. Orang seperti dia sudah lali dengan kecewa, paling-paling dia akan kata, “hidup mesti diteruskan.”

Aku berhasrat nak tengok siri Samarinda yang baru di TV3, akan mula malam ini, lakunan FASHA SANDA; Samson And Delaila. Terpaksa menutup sebelah mata melupakan dirinya yang sebenar (kita pun tak tahu), aku nak fokus kepada lakunan berkesannya saja. Mana tahu, lagu drama tu nanti guna lagu Sixth Sense lagi? yeahhhh.... (lately, banyak betul drama yang gunakan lagu-lagu dari kumpulan Sixth Sense ni)

Walau apapun kontroversi, di suatu sudut dirinya aku pernah dengar tentang displinnya, komitmen kerjanya, bagaimana dia sangat manners dengan orang-orang yang bekerja dengannya terutama orang yang lebih tua... jadi jika dia sentiasa laku wpun “panas”, kenapa? Ada kelebihan yang dapat menutup beberapa kelemahan dirinya.

Manusia biasa tidak terlepas tersilap (tapi kalu dah berkali-kali itu namanya kebiasaan), apatah lagi bila berada dalam keadaan yang mudah sekali menerima pengaruh, atau persekitaran yang mendorong. Lalu, siapa kita hendak mengatakan dia itu buruk laku.

Apa sekali pun, isu bikini tidak pernah aku setuju walau apa pun alasannya...!



~...sewaktu JALIL cuba menunjuk handal dan jantannya sehingga menerjah ke dalam kelas, SERI BULAN sudah terasa hendak menerajang mendedahkan Taekwandonya, tapi HISYAM lebih dulu berSilat Pulut yang sebenarnya lebih sumbang dari mambang...!~







Friday, January 14, 2011

Chairil Anwar: Aku Tingkatan 4 Masa Tu...

Chairil Anwar dilahirkan di Medan, 26 Julai 1922. Dia dibesarkan dalam keluarga yang cukup berantakan. Kedua ibu bapanya bercerai, dan ayahnya berkahwin lagi. Selepas perceraian itu, saat habis SMA, Chairil mengikut ibunya ke Jakarta.

Semasa kecil di Medan, Chairil sangat rapat dengan neneknya. Keakraban ini begitu memberi kesan kepada hidup Chairil. Dalam hidupnya yang amat jarang berduka, salah satu kepedihan terhebat adalah saat neneknya meninggal dunia. Chairil melukiskan kedukaan itu dalam sajak yang luar biasa pedih:


Bukan kematian benar yang menusuk kalbu...
Keredaanmu menerima segala tiba...
Tak kutahu setinggi itu atas debu...
Dan duka maha tuan bertahta

Sesudah nenek, ibu adalah wanita kedua yang paling Chairil puja. Dia bahkan terbiasa membilang nama ayahnya, Tulus, di depan sang Ibu, sebagai tanda menyebelahi nasib si ibu. Dan di depan ibunya, Chairil acapkali kehilangan sisinya yang liar. Beberapa puisi Chairil juga menunjukkan kecintaannya pada ibunya.

Sejak kecil, semangat Chairil terkenal kedegilannya. Seorang teman dekatnya Sjamsul Ridwan, pernah membuat suatu tulisan tentang kehidupan Chairil Anwar ketika semasa kecil. Menurut dia, salah satu sifat Chairil pada masa kanak-kanaknya ialah pantang dikalahkan, baik pantang kalah dalam suatu persaingan, maupun dalam mendapatkan keinginan hatinya. Keinginan dan hasrat untuk mendapatkan itulah yang menyebabkan jiwanya selalu meluap-luap, menyala-nyala, boleh dikatakan tidak pernah diam.

Rakannya, Jassin pun punya kenangan tentang ini. “Kami pernah bermain bulu tangkis bersama, dan dia kalah. Tapi dia tak mengakui kekalahannya, dan mengajak bertanding terus. Akhirnya saya kalah. Semua itu kerana kami bertanding di depan para gadis.”

Wanita adalah dunia Chairil sesudah buku. Tercatat nama Ida, Sri Ayati, Gadis Rasyid, Mirat, dan Roosmeini sebagai gadis yang dikejar-kejar Chairil. Dan semua nama gadis itu bahkan masuk ke dalam puisi-puisi Chairil. Namun, kepada gadis Karawang, Hapsah, Chairil telah menikahinya.

Pernikahan itu tak berumur panjang. Disebabkan kesulitan ekonomi, dan gaya hidup Chairil yang tak berubah, Hapsah meminta cerai. Saat anaknya berumur 7 bulan, Chairil pun menjadi duda.

Tak lama setelah itu, pukul 15.15 WIB, 28 April 1949, Chairil meninggal dunia. Ada beberapa versi tentang sakitnya. Tapi yang pasti, TBC kronis dan sipilis (jika sekarang lebih disebut Aids).

Umur Chairil memang pendek, 27 tahun. Tapi kependekan itu meninggalkan banyak hal bagi perkembangan kesusasteraan Indonesia. Malah dia menjadi contoh terbaik, untuk sikap yang tidak bersungguh-sungguh di dalam menggeluti kesenian. Sikap inilah yang membuat anaknya, Evawani Chairil Anwar, seorang notaris di Bekasi, harus meminta maaf, saat mengenang kematian ayahnya, di tahun 1999, “Saya minta maaf, karena kini saya hidup di suatu dunia yang bertentangan dengan dunia Chairil Anwar.”


*AA antara peminat puisi-puisi Chairil Anwar. Mula dikenalkan dengan sajaknya semasa di Tingkatan 4 lagi. Belajar sastera dengan seorang guru lelaki (Cikgu Osman Ahmad). Dan serasi pula dengan jiwa, subjek ini memang mudah untuk dikuasai (skor A1 masa SPM).

Banyak sajak-sajaknya melekat di hati...antaranya, Senja Di Pelabuhan Kecil, Nisan...

dan yang paling terkesan buat aku masa itu ialah:

AKU
Kalau sampai waktuku
’Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak perduli

Aku mau hidup seribu tahun lagi
*Maret 1943


~...begitu panjang jalinan platonik HISYAM dan SERI BULAN, tidak pernah terakam sebarang sajak, tidak pernah terlontar sebarang puisi, kerana yakin berpijak di bumi nyata jauh lebih baik dari telentang di padang merenung bulan yang suram...!~


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails