Showing posts with label COVID-19. Show all posts
Showing posts with label COVID-19. Show all posts

Friday, June 12, 2020

PKPP: Perjuangan yang belum selesai....

Friday
12-06-2020

Selepas 84 hari bekerja dari rumah, saya akhirnya kembali bertugas bekerja di ofis. Ada banyak tugasan menanti. Walau kami terus bekerja tidak tentu masa sepanjang WFH, bekerja di ofis, di work station sendiri, amat berbeza.

Dengan persekitaran yang  mendorong dan komunikasi lebih teratur, saya lebih memilih untuk segera kembali ke pejabat. Lagipun ada banyak projek tender yang sedang diusahakan. Dalam keadaan sekarang, pelbagai usaha harus digiatkan lagi.

Dari hari ke hari, mendengar berita baik dan semakin positif tentang perkembangan COV19 negara, sangatlah memberangsangkan. Dan, apabila sekatan rentas negeri ditarik balik, seluruh rakyat melompat. Saya, apabila sudah mula kembali rutin ulangalik ke pejabat, akan mengambil masa untuk menyusun semula jadual kehidupan. Buat masa ini tidak dapat dipastikan lagi bila waktu sesuai untuk kami rentas negeri. Seronok juga kalu dapat sama-sama bersaing di lebuh raya. Ke sana, ke sini, kan?

Ternyata apabila kembali ke rutin lama, kesibukan itu akan kembali dan saya dapat rasa masa untuk saya graf rancak berblogging akan kembali menurun.

Masuk hari pertama Rabu lalu, orang pertama menegur saya ialah, kakak cleaner. Kami biasanya memang menjadi staf early bird. Dia orang terawal yang saya jumpa di lobi. Terus menegur, “Kak Azie dah kurus! Pipi dah kecik.” Katanya dalam slang Indon.

Hahaha... setidak-tidaknya, itu menjadi suntikan semangat di hari pertama. Dan buat saya rasa lebih seronok dan bahagia.

Perjuangan menghentikan rantaian COV19 harus diteruskan, dan begitu juga perjuangan saya untuk meneruskan komitmen menjadikan amalan eat clean sebagai amalan hidup saya.

Tayang-tayang antara menu eat clean saya:

Seperti biasa, sarapan simple lagi mudah, tapi berkhasiat

Lunch hari pertama kembali ke ofis. Nasi beras perang, bawal emas grill dan sayur rebus.

Snacking. Sebiji oren bersama Greek yogurt. Ini memang paberet saya. Sedap!

Lunch pada hari kedua, semalam. Organic macaroni goreng bersama cendawan, isi ayam dan sayur. Makan bersama ayam bakar AF.

Sesuatu yang berubah ialah, masa bekerja kami sudah menjadi pendek bilamana kami tidak lagi ada kerja lebih masa. No OT sehingga diberitahu.

Seronok betul bila dapat balik kerja ketika matahari masih terang dan boleh sampai rumah sebelum maghrib.



 ~...setiap kali ada rindu menyinggah serambi Teratak Nyatuh, SERI BULAN amat tahu HISYAM pasti melintas laman, pantas sahaja dia menerpa menunjuk wajah sambil menunjuk hidung tak mancung, tapi semakin menebal pula dendamnya bila jejaka idaman Kampung Separuh Desa itu hanya menunduk muka walau mata nampak mengerling...~



Sunday, June 7, 2020

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan

Sunday
07-06-2020

Entri terkini selepas mendengar perutusan terkini dari PM pada petang tadi.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan diubah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun–31 Ogos 2020.

Paling utama, seluruh rakyat menanti Rentas Negeri Dibenarkan. Nahhhh... Sudah melompat bintang semua orang tadi, kan...?

Alhamdulillah. Kita semakin hampir kepada kehidupan kita yang dahulu. Pun, seronok juga kita ada perkara baru, amalan & budaya baru untuk dijadikan rencah kehidupan.

Ahhh betapa TwentyTwenty ni sangat bersejarah.

Ramai dah mula plan, bila nak balik kampung. Entah-entah 10 Jun dah mula jem hiway utara selatan timur barat.

Kami? Rasanya tidak mahu berebut dulu. Lagipun, memo dari ofis sudah mengesahkan, semua staf yang WFH selama ini dipanggil masuk ofis semula seperti biasa bermula 10 Jun. Ada banyak projek menanti. So saya nak fokus dengan kerja-kerja ofis dulu.

InsyaAllah, kita akan semakin ok dari sehari ke sehari. Jaga diri masing-masing, yaa....

*content entri ini juga sama seperti di FB saya.



 ~...pernah berhimpit di dalam bas lompat-lompat ketika sangat teringin hendak ke pekan dek kerinduan dan kebosanan terkurung di Kampung Separuh Desa, lalu HISYAM hanya mampu senyum simpul bila SERI BULAN mabuk kepayang...~



Wednesday, June 3, 2020

Kenangan COVID19 ~ PKP ~ PKPB 2020

Wednesday
03-06-2020

*Sebuah entri copy paste

PKP 2020
Akan Menjadi Sejarah Negara yang Terpahat Dalam Kenangan

FASA 1: 18 MAC - 31 MAC 2020
FASA 2: 01 APR - 14 APR 2020
FASA 3: 15 APR - 28 APR 2020
FASA 4: 29 APR - 12 MEI 2020
FASA 5: 13 MEI - 09 JUN 2020

(PKPB) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
 📌 Tiada solat Jumaat sepanjang tempoh PKP
 📌 PKP dalam bulan puasa. Tiada bazar Ramadan, tiada terawih di masjid.
 📌 Tiada buffet Ramadan di hotel-hotel seperti tahun-tahun sebelumnya.
 📌 Tiada sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung mengunjung.
 📌 Tiada bunyi mercun, tiada yg cedera akibat mercun.
 📍 Harga minyak jatuh sehingga RM1.25/liter
📍 Semua pejabat di seluruh Malaysia diarah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kerja-kerja dilaksanakan sepenuhnya dari rumah.
📍 Semua sekolah ditutup dan pendidikan dilaksanakan di atas talian. Kerja sekolah untuk murid dihantar dalam group whatsapp.
📍 Penjarakan sosial sentiasa diutamakan. Bersalam tangan ditukar dengan meletak tangan di dada.
📍 Pita pelekat dilekatkan di atas lantai-lantai kedai untuk menentukan jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.
📍 Restoran dan kedai-kedai makan ditutup, hanya dibenarkan bungkus dan dibawa pulang sahaja. Food rider ibarat cendawan tumbuh lepas hujan. Ada yang kantoi jual rokok seludup dan ketum.
📍 Hanya beberapa orang sahaja dibenarkan berada di dalam kedai.
📍 Kedai bukan keperluan asas dan perniagaan tidak berkaitan pembekalan makanan diarah tutup.
📍 Keseluruhan acara dan musim sukan di seluruh dunia dibatalkan serta-merta. Aktiviti riadah dan bersenam dalam rumah.
📍 Konsert, pelancongan, festival, acara hiburan dibatalkan.
📍 Majlis perkahwinan dan pelbagai sambutan majlis bersama keluarga dibatalkan. Diganti dengan nikah online.
📍 Tiada lagi jemaah di masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup.
📍 Tidak dibenarkan perkumpulan 50 orang atau lebih, kemudian diubah kepada 20 orang atau lebih, hanya dibenarkan 10 orang atau kurang dari itu juga tidak dibenarkan.
📍 Taman permainan kanak-kanak ditutup.
📍 Kekurangan stok penutup muka, gaun, dan sarung tangan untuk kegunaan pekerja barisan hadapan.
📍 Kekurangan alat bantuan pernafasan bagi pesakit kritikal.
📍 Berlakunya pembelian panik sehingga kekurangan alat pembasmian, tiada sabun cuci tangan, tiada cecair pembersih tangan
📍 Rak-rak di kedai menjadi kosong.
📍 Kilang-kilang pembuatan, kilang penyulingan dan perniagaan lain telah menukar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan visors, penutup muka, cecair pencuci tangan dan PPE.
📍 Kerajaan telah melaksanakan sekatan jalan di setiap kawasan dan tertutup kepada pergerakan yang tidak penting.
📍 Tiket kapal terbang murah, namun kita tidak boleh keluar melancong.
📍 Sidang media dari Kementerian Kesihatan di keudarakan setiap hari.
📍 Kemaskini kes baru, yang telah sembuh dan pesakit yang meninggal dunia dilakukan setiap hari jam 5 ptg.
📍 Jalan raya menjadi kosong sunyi sepi tanpa kelibat manusia dan kenderaan selepas jam 8 mlm.
📍 Ramai orang memakai penutup muka dan sarung tangan apabila keluar.
📍 Pekerja perkhidmatan penting menjadi takut untuk keluar rumah.
📍 Pekerja kesihatan pula, menjadi takut untuk pulang ke rumah dan berjumpa keluarga.
📍 “Mendatarkan lengkung graf” itulah yang sering dikatakan, bersama dengan kata-kata “Kita lakukan ini bersama” dan “Kita harus menang”


Ini adalah Novel Coronavirus (Covid-19) suatu penyakit pandemik, yang diwartakan pada 18 Mac 2020.


 ~...bersalam dengan Mak Utih dan Pak Utih di muka pintu untuk pulang ke kampung sendiri yang sebenarnya adalah kota Metropolitan Darul Salam yang serba indah lagi mewah, mata HISYAM bergenang mengenang orang di belakang dan SERI BULAN menahan sebak di balik pintu dapur agar airmata tidak berhambur...~



Monday, June 1, 2020

SOP & New Normal: yang ini, tak tahu nak gelak atau nangis...

Monday
01-06-2020

Semakin ramai staf kami dipanggil masuk. Semakin banyak department mula operasi sepenuhnya.

Hanya sekumpulan kecil kami sahaja masih meneruskan WFH. Menanti arahan dan pengesahan akhir pada hari terakhir PKPB fasa ini, samada masuk ofis semula sepenuhnya atau bagaimana.

Seorang rakan sealiran di pejabat lain, mengadu bosnya tak begitu menjaga SOP. Mungkin alasan staf tidak ramai (tak sampai 10 orang), maka mereka boleh masuk bekerja seperti biasa tanpa melalui ‘tembak suhu’. Katanya, alat tembak tu pun takda. Depa duduk pun agak rapat. Kesian.

Saya hanya mampu nasihat, jika Bos tak nak buat, staf kena pandai-pandai jaga diri sendiri. Elak berkumpul, kerap-kerap cuci tangan, pakai mask sentiasa. Bawa sanitizer sendiri dan guna selalu.

SOP di tempat kerja saya sangat ketat. Hanya satu pintu dibuka. Semua orang kena tembak dahi. Sesiapa yang tinggi suhu dan diragui kesihatan, memang kena balik. Takda alasan untuk masuk. Work station diubah sedikit untuk lebih penjarakan. Social distancing. Sebelum ini pun, workstation kami memang sudah berjarak, kali ini akan dijarakkan lagi.

Cuma, agak lucu bila ada cadangan dari salah seorang HOD, mahu kami buat workstation kami seperti ini:

Tiru Wuhan agaknya.

Siap bagi arahan pada orang tertentu akan kumpul kotak dan ‘pasang partition’ seperti dalam gambar.

Our workstation memang sudah ada partition (rendah sikit la tapi...) malah lebih berjarak dari contoh gambar tu.

Bila cadangan ini ditunjuk, berderet depa pakat tergelak dalam whatsapp group.

Adehhh...!




 ~...SERI BULAN sering rindukan tempat-tempat makan yang bukan sedap mana, tapi seronok bergelak dengan kawan-kawan seiring dan sejalan sehingga HISYAM sendiri jadi penasaran lalu dia sedar mata wanita itu sering menjelingnya yang berdiri tegak di sebalik tiang seri kerana cemburu gagal memburu...~



Tuesday, May 12, 2020

Air apakah yang paling sedap?

Selasa
12-05-2020

Hari ini adalah tarikh akhir bagi PKP Fasa 4. PM sudah mengumumkan, PKP Bersyarat akan disambung sebulan lagi, yakni sehingga 9 Jun 2020. Lepas Raya yer kawan-kawan.

Itu juga bermakna saya akan terus berada di rumah. Work From Home sehingga tarikh itu. Seronoknya.

Tarikh untuk bercuti Raya juga sudah diumumkan oleh HOD. Cuti akan bermula 27–29 Mei (compulsary leave), dan ofis akan dibuka semula pada Isnin 1 Jun.

Bagi setengah orang, or maybe ramai orang, apalah makna Raya jika tidak balik kampung, kan?

Saya, dan keluarga, sudah biasa berhari raya di rumah sendiri terlebih dahulu sebelum kami balik ke kampung pada Hari Raya atau selepas raya pertama. Jadi persiapan kami tetap akan jadi sama seperti tahun-tahun sebelum.

Persiapan rasanya, akan berkurangan berbeza tahun sebelum. Saya tidak order sebarang kerepek berbalang seperti dulu, atau biskut. Setakat ini belum ada senarai kuih yang akan dibeli. Mungkin bergantung pada masa. Adakala, anak-anak akan beli serba sikit untuk rumah.

Saya, lebih nak tumpu kepada menu masakan. Pulut sudah dibeli dan itu tentu menjadi menu wajib hidang nanti.

Korang plan, apa menu utama?

~~~~~

Cerita tentang menu Eat Clean saya.

Kali ini saya hendak tulis tentang air. Air apa saya minum?

Sudah beberapa tahun saya tidak sentuh air bergula. Minum semua air yang tawar atau jus buah tanpa gula.

Kini saya minum Shake HerbaLife setiap pagi dan malam. Sekarang bulan puasa, saya ambil Shake semasa berbuka dan juga sewaktu bersahur. Juga minum air kosong + Aloevera dan juga Teamix (Herbalife).

Sesekali, saya pelbagaikan rasa Shake. Campur buah. Untuk tambah rasa sedap. Pada waktu sahur, saya blend shake dengan kurma.

      

     
Paling best blend dengan Buah Naga.

Kadang-kadang campur cendol.




Untuk orang yang ada gula tinggi seperti saya, setiap jus buah adalah tanpa gula. Dulu rasa susah. Kena ada semangat dan rasa gigih nak sihat, pejam mata dan sekarang, yang susah itu sudah menjadi mudah. Biasakan yang betul.

Untuk mendapatkan hasil kesihatan yang baik, sudah tentu air kosong menjadi keutamaan. Air kosong zero kalori. Setiap hari saya kena pastikan sekurang-kurangnya 3 liter air kosong mesti dihabiskan. Biasanya lebih.

Siapa lagi nak jaga kesihatan kita, jika bukan diri kita sendiri?


 ~...walau Mak Utih sedia hafal apa yang digemari oleh bujang kesayangannya tentang minum petang dan menyarap pagi, tetapi tetap tidak boleh menandingi segala yang dia tahu tentang Pak Utih lalu apabila SERI BULAN cuba mengambil alih, HISYAM merajuk kerana terminum Teh Tarik terlajak sejuk...~



Sunday, May 3, 2020

“Rumah lah yang paling best!”

Sunday
03-05-2020


Pernah dengar ayat tu? Iklan di tv. “Rumah lah yang paling best!”

Benar. Sepanjang PKP, semua orang berada di rumah. Bagi yang bekerja, majoriti terpaksa bekerja dari rumah. Work From Home.

Saya, angkut semua equipment dan set up mini office di bilik belajar anak. Minggu pertama yang sedikit huru-hara, akhirnya menjadi suasana yang agak selesa kerana masa yang boleh diselaraskan sendiri asalkan dateline dijaga dan komitment hampir setara seperti berada di ofis dulu.

Esok, 4 Mei. Kerajaan sudah mengumumkan, beberapa sektor sudah boleh dibuka. Banyak juga walaupun sebenarnya, Fasa 4 PKP hanya akan berakhir 12 Mei.

Ada pro & cons nya. Saya sangat berharap agar saya tidak dipanggil masuk pejabat. Atau paling awal pun selepas Raya. Kalu lagi lewat, lagi baik.

Akhirnya, Sabtu semalam, bos-bos besar tempat kerja saya akhirnya mengambil langkah akan memulakan operasi pada Isnin 4 Mei dengan New Normal.

Hanya sebahagian staf dipilih untuk masuk. Sebahagian lagi, kekal Work From Home, termasuk saya (saya dibisikkan tentang beberapa sebab & kriteria kenapa kami terpilih kekal di rumah).

Suasana work station juga bakal diubah. Kedudukan akan dijarakkan lagi – sebelum ini pun kami sebenarnya tidaklah duduk rapat sangat pun – suatu New Normal yang terpaksa diambil.

Perkara besar yang lebih penting, kami akan menghadapi Cut Pay. Beberapa tangga gaji tertentu akan dipotong gaji bermula 30% – 35%. Tiada lagi OT & COLA (Cost of Living Allowance) sehingga 3–6 bulan mendatang.



Bagaimanapun perkara itu akan berubah mengikut keadaan dan budi bicara majikan.

Pun, tetap bersyukur. Alhamdulillah, jaminan diberi bahawa tiada pembuangan pekerja akan berlaku.

Semoga COV19 akan segera berlalu walaupun masih belum ada tanda penawarnya ditemui.



 ~...melihat tangga ambin Teratak Nyatuh yang semakin berlumut, tangkai batok di serambi juga bagai licin tidak terusap, HISYAM sedar SERI BULAN bagai merajuk boikot memeruk jiwa menjeruk rasa di dalam bilik kerana HISYAM endah tak endah sejak balik dari merantau dari hutan dara, mungkin sudah diikat asmara puteri bunian atau mungkin juga sudah bertemu mambang menjadi kawan setia...~



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails