Isnin 31-01-2011 malam
Dulu kami sering berjumpa bila ada xtvt santai sesama ramai lagi kawan-kawan sekepala yang suka bergurau dan biasanya agenda pertemuan terlaksana bila ada gathering makan-makan. Walau makan semeja, kadang-kadang kongsi air, tidak menjamin kita boleh percaya apa yang kita bualkan, tidak juga boleh menelan segala kata puji kerana hari ini, (bagi AA secara peribadi) tidak lagi mahu percaya sesiapa apabila melibatkan kepentingan bisnes orang lain. Kerana bila ada orang begitu taksub dan terlalu menjaga perniagaan sehingga hati dan perasaan insan-insan sekeliling yg disebut kawan pun tidak lagi penting, malah tidak teragak-agak pula untuk memperlekeh malah menghina reputasi kawan. Terimakasih atas pengalaman dan pengajaran ini.
Sukar sungguh untuk meyakinkan orang tentang keikhlasan kita, kan? Sukar juga untuk kita menduga bahawa kemesraan yang kita tunjukkan dan kita lihat sebenarnya kemudian menjadi sebuah dendam terhimpun ibarat lahar yang membeku, bila tiba saat panas ianya meletus dan meletup sehingga membakar perasaan. Perasaan aku, khasnya.
Lalu sebuah kesilapan telah membunuh sebuah kemesraan dan terlalu malu pula aku untuk mengakui sebuah persahabatan yang pernah terjalin. Malu atas dasar sedar diri dan kini menyedari rupanya aku tidaklah sehebat dia untuk berdiri sebagai kawan jauh sekali sebagai sahabat, malu untuk menyertai kerana terlalu jauh dan kecil diri untuk seganding mereka yang sejak dulu ku akui hebat, tetapi rupanya jauh lebih hebat dari pandangan mata kasar aku sebelum ini.
Alhamdulilah.. Alhamdulilah terimakasih ya Allah, membuka mataku melihat lebih jauh ke dalam dirinya dan sungguh aku terlupa untuk mengaguminya. Rasa kagum yang dahulu belum cukup rupanya, dan hari ini kehebatan itu sungguh menakjubkan aku. Kenapa aku lupa dan terleka untuk memandang sebelum ini?
Semoga aku belum terlambat untuk menarik diri lebih jauh, mengelak diri supaya tidak menjadi kudis atau kuman kepada kehidupan orang lain, apatah lagi menjadi musuh atau pengkhianat kepada perniagaan orang lain. Hidup bukan untuk dikesali tetapi sesuatu yang terjadi teramat aku kesali sekali. Aku memang tidak pernah hebat, (my profile said “nothing special”) tetapi itu bukan bermakna aku boleh pula diperlekeh, dicemar reputasi (yang tidak seberapa), dihina sebagai penipu dan lebih malang lagi dichop pula sebagai orang yang berhasad dengki. Alangkah rendah sekali label yang diberi dan disemat di hatinya kepada aku.
Sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh seorang aku, setidak-tidak terhadap dia. Atas sebab apa? Atas tujuan apa? Untuk kepentingan apa? Bukankah kami begitu berbeza? Tidak termampu pun aku untuk menyamai dirinya yang serba ada, serba hebat, serba menakjubkan. Terlalu jauh jika hendak dibandingkan pun. Lalu untuk mencari sebarang kelemahannya pun aku tidak mampu, bagaimana pula hendak menjadikannya umpan sebuah hasad dengki? Hanya dia yang tahu, tetapi aku tidak ingin tahu.
Usah bertanya apa-apa tentang tulisan ini, kerana tiada siapa pun akan mendapat tahu tentangnya dari mulut aku. Tidak dari aku. Tetapi sekiranya kerusi meja sofa kereta atau apa saja, boleh mendengar dan bersuara kembali, itu adalah di luar kawalan aku. Siapa kita yang mampu untuk menutup mulut orang dari bercakap dan membuat andaian? Sesungguhnya aku memang TIDAK MAMPU. Tidak perlulah diulangi dalam bentuk apa pun, aku sedia tahu.
Kesilapan paling besar aku terhadapnya adalah kerana aku terlalu mudah untuk bergelak ketawa, terlalu mudah untuk bergurau sehingga terlupa gurauan seorang pelawak ini rupanya menjadi senjata yang menikam aku kembali. Bijak sungguh orang memanipulasikan sebuah kata-kata. Dan kesedaran lain juga ada, gelak tawa dan gurauan bukan mudah pula diterima begitu sahaja. Tentulah kesilapan lain yang muncul adalah, aku TERSILAP menilai orang, dengan menyangka mengenali lebih 3,4 tahun adalah cukup untuk diterima dan “dikenali” tetapi rupanya tidak sama sekali. Aku tidak lagi “dikenali”...
Selepas ini aku tidak terkilan untuk terus tidak dikenalinya kerana “padan muka” aku, kesilapan aku sendiri yang tidak berhati-hati menjaga hati orang. Orang yang harus dikagumi kerana kehebatannya yang tersendiri, kerana kami begitu jauh berbeza dan dia seharusnya menjadi orang yang patut disanjungi. Bukankah orang yang berada-ada itu biasanya disanjung tinggi? juga ingin disanjungi? amat suka disanjungi?
Terimakasih kerana selama ini SUDI mengenali aku, pernah menganggap aku sebagai kawan, pernah memberi makan aku (dan anak-anak aku) di rumah besar tersergam indahnya itu (mohon dihalalkan semuanya), terimakasih juga kerana pernah bersedekah kepada aku, pernah juga belanja makan, pernah juga beri cenderahati, pernah juga mendoakan kesejahteraan di hari ulangtahun, terimakasih juga kerana pernah sama bergelak, bertepuk tampar, pernah menjadi penyokong dalam beberapa hal... Aduhhh banyak sekali jasanya terhadap aku bagai tak terbilang dengan jari. Dia memang baik hati, pemurah dan dihormati.
Dan terlalu sedikit yang kuberikan kepada dia. Terlalu sedikit... Dan aku harap itu mudah untuk dilupakan. Dan aku harap amat berharap untuk terus dilupakan.
Moga Tuhan merahmatinya, memberikan kesejahteraan kepadanya dan keluarga serta memberikan kemakmuran ke atas apa jua yang dilakukan.
Sesungguhnya aku tidak berjaya mengelak untuk merasa terhina dan terluka.
Sesungguhnya aku tidak berjaya mengelak untuk merasa terhina dan terluka.
~...bila sebuah pengkhianatan terancang berjaya menembusi sebuah kekebalan, SERI BULAN tahu yang kecewa adalah HISYAM dan yang merana adalah dirinya sendiri...